Sunday, May 5, 2013

Ambillah Iktibar : Kronologi Pembunuhan Saiddina Uthman r.a


Hari ini 5 Mei 2013, tarikh penentuan adakah Negara kita akan menerima perubahan landskap politik yang drastic ataupun tidak.  Semua terletak dalam ketentuan ALLAH dengan asbabnya kita sebagai pengundi.  Yang pasti undilah dengan akal fikiran yang waras demi masa depan Islam, bangsa dan Negara dan bukan ikut nafsu  dan jiwa yang panas.  Saya perturunkan kisah pembunuhan Saiddina Uthman r.a sebagai iktibar kepada umat Iislam di Negara ini khasnya dan seluruh dunia amnya yang sedang menghadapi konflik sesame ummah.  Baca dengan hati terbuka dan berfikir dengan jiwa  yang membina.

Sebermula maka beraneka fitnah dilontarkan demi memburukkan Uthman r.a, dituduh melakukan bid’ah mengumpulkan dan membukukan al-Quran, membakar mushaf yang lain, memukul ‘Ammar sehingga pecah ususnya, dipukul Ibn Mas’ud sehingga patah rusuknya, membatalkan sunnah mengqasarkan solat ketika musafir, tidak menyertai peperangan Badar, tewas dan lari dari medan Uhud, tidak hadir ketika perjanjian Bai’ah al-Ridhwan, dan pelbagai lagi, sehinggalah surat palsu ciptaan munafiq keparat yang disandarkan kepada Ali, Talhah, dan al-Zubair yang kononnya mengarahkan mereka untuk mencetuskan pemberontakan keatas beliau bahkan dibunuh jika enggan melepaskan jawatan khalifah kaum muslimin.

Semua fitnah tersebut adalah batil! Tuduhan yang tiada asal-usul, menyeleweng daripada cerita sebenar,entah bagaimana dan dimana diperolehi cerita beliau memukul Ibn Mas’ud dan ‘Ammar, jika benar sekalipun, bagaimana ‘Ammar masih boleh terus hidup ketika ususnya telah pecah?, beliau membersihkan mushaf yang lain adalah demi menjadikan ketidakcelaruan umat mentelaah al-Quran,maka disatukan dan kita menggelarnya sebagai mushaf Uthmani, hal pengumpulan al-Quran telah pun dilakukan di zaman pemerintahan Abu Bakar lagi setelah melihat ramainya huffaz al-Quran syahid dalam peperangan, bagaimana usaha murni sebegini dianggap bid’ah dan batil? Tidak disetainya Badar kerana dibawah jagaannya, anak baginda s.a.w, Ruqayyah yang sedang sakit, nabi s.a.w menyebut bahawa beliau medapat pahala mereka yang syahid di Badar, kekalahan dan larinya dari medan Uhud telah Allah ampuni, bagaimana mungkin ditimbulkan semula oleh mereka? Bai’ahnya diwakilkan dengan tangan rasul s.a.w ketika peristiwa bai’ah al-Ridhwan,ketidakhadirannya kerana diperintah oleh baginda s.a.w untuk mengawasi kota mekah.
(riwayat al-Bukhari dalam kitab Fadhail al-Sahabat). 

Setelah semua hujah fitnah mereka dipatahkan, hasilnya, satu surat palsu yang disandarkan kepada Ali bin Abu Thalib, untuk jatuhkan Uthman! Cetuskan pemberontakan! Perangai yang sungguh keji dan syaitan ditunjukkan oleh munafiq, padanlah Allah menjanjikan mereka dengan neraka yang paling bawah!

“Sesungguhnya orang munafiq itu ditempatkan di neraka yang paling bawah( paling dahsyat azabnya) maka kamu sekali-kali tidak akan mendapati penolong bagi mereka.”
( al-Nisa’ : 145) 

Bagaimana seorang insan yang dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w boleh difitnah sedemikian teruk, telah disebut ketika hayat baginda s.a.w, bahawa beliau akan mati sebagai seorang syahid. Sabda Nabi s.a.w ketika baginda berada diatas bukit Uhud bersama dengan Abu Bakar, Umar, dan Uthman, tiba-tiba Uhud bergegar, sabdanya,

“Tetaplah wahai Uhud!( berhenti dari bergoncang) sesungguhnya diatas engkau seorang nabi, seorang yang membenarkan dan dua orang syahid.”

Kata Ibn Hajar al-Asqolani ketika menceritakan tentang Uthman didalam kitabnya, al-Isobah:

“ Sesungguhnya telah datang riwayat yang mutawatir bahawa nabi s.a.w memberi khabar gembira kepada Uthman dengan syurga..”


Uthman r.a sangat bersabar dengan tuduhan keatas dirinya demi mengelak perpecahan kaum Muslimin
walaupun dirinya menjadi taruhan untuk dikorbankan, kelembutan dan kesantunannya menyebabkan pengkhianat dan musuh agama mengambil kesempatan mencetus dan menimbulkan kekacauan demi menjahanamkan Islam. Beliau sangat terkenal dengan sifat pemalunya sehinggakan para malaikat turut berasa malu dengannya, sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Aishah: 

“ adakah patut aku tidak berasa malu dengan lelaki yang para malaikat juga malu dengannya?”( Sahih Muslim)

Para sahabat mempertahankan kebenaran Uthman sehingga saatnya ingin dibunuh, sehingga disaat itu juga beliau berusaha untuk mengelakkan percecahan dan pergaduhan sesama muslim, rela dirinya dibunuh, ditegah sekalian sahabat yang cuba membela dan mempertahankannya, diarahkan para sahabat, antaranya Ibn al-Zubair, Hasan ibn Ali, Abu Hurairah untuk kembali ke rumah masing-masing, darahnya sanggup ditumpahkan demi menyelamatkan kesatuan ummah

Zaid bin Tsabit datang menemui Saidina Uthman : “ sesungguhnya mereka golongan Ansar berada di hadapan pintu rumahmu,” mereka berkata, jika engkau hendak ( kami mempertahankan engkau ),sesungguhnya kami adalah Ansarullah!” namun Uthman menolaknya, katanya, “ aku tidak berhajatkan semua itu, cukuplah.(tahanlah diri kalian daripada menghunuskan pedang peperangan).”(riwayat Ibn ‘Asakir) 

Ketika harinya dibunuh, beliau seakan telah mengetahuinya, beliau memakai seluar pada hari tersebut, bimbang terbuka auratnya, benar beliau seorang yang sangat pemalu, sedang beliau tidak pernah memakainya ketika jahiliyyah mahupun era Islam. Beliau juga bermimpi berbuka puasa bersama baginda s.a.w, Umar al-Khatab dan Abu Bakar al-Siddiq di dalam syurga. (riwayat Ahmad dalam Musnadnya).

Pemberontak yang terdiri daripada perancang pemberontakan dan mereka yang diperdaya dan termakan hasutan untuk turut serta dalam pemberontakan, mereka mengepung rumah khalifah selama hampir sebulan, mereka merempuh masuk ketika para sahabat telah kembali ke rumah masing-masing setelah diperintahkan oleh ‘Uthman, pintu rumahnya di bakar, diugutnya untuk melepaskan jawatan, atau dibunuh! 

“Aku tidak akan menanggalkan pakaian( jawatan khalifah) yang telah Allah pakaikan kepadaku! Aku akan terus berada dikedudukanku sekarang sehingga Allah memuliakan ahli sa’adah (orang yang dijanjikan kebahagiaan oleh Allah) dan menghina ahli syaqa’( orang yang dijanjikan kecelakaan oleh Allah ). ” demikian kata Uthman sebagaimana yang diriwayatkan didalam tarikh al-Tabari ketika diugut meletakkan jawatan khalifah kaum muslimin.

Akhirnya beliau dibunuh, ditetak perutnya..mengalir darah syahid.. menitis darah di mushaf yang berada ditangannya,isterinya Na‘ilah, yang cuba mempertahankan suami tercinta, putus tangannya ditetak pemberontak laknatullah. Kedua-dua pihak gembira dan berbahagia dengan peristiwa ini, berbahagialah Uthman menemui tuhannya sebagai syahid,berbuka puasa bersama Baginda s.a.w didalam syurga, sedang munafiq bergembira dengan kejayaan perancangan mereka menjatuhkan khalifah, nantikanlah kalian azab Allah yang membakar di akhirat kelak.. 

Bergelap dunia Islam tanpa khalifah,akhirnya Ali bin Abu Thalib diangkat menjadi khalifah menggantikan Uthman, beliau mengambil alih tampuk kepimpinan dalam keadaan yang sangat susah, ketika pemberontak bersenang-lenang ditengah masyarakat muslim. Fitnah tersebar Ummu al-mu’minin, Aishah, yang berada di Makkah menjadi gundah-gulana dengan hal yang menimpa dunia Islam, beliau merasakan perlu melakukan sesuatu demi menebus darah khalifah yang ditumpahkan secara zalim ,dikumpulkan kekuatan tentera, turut bersamanya dua orang sahabat yang turut dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w, al-Zubair ibn ‘Awwam, dan Talhah ibn ‘Ubaidillah, mereka mara menuju ke kota Basrah, bukan untuk menafikan pemerintahan Ali, tetapi dengan maksud yang satu, iaitu mencari kesepakatan dengan kepimpinan Ali untuk membela darah Uthman.

Kesepakatan akhirnya berjaya dicapai, mereka tidur dan berehat dengan keadaan yang sangat tenang pada malam setelah kesepakatan tercapai, pemberontak yang turut berada di dalam tentera Ali sudah merasa tidak senang dengan kesepakatan tersebut, ini kerana ia membawa maksud, tidak lama lagi, pedang-pedang kebenaran akan dihalakan ke tengkuk mereka pula,akhirnya kesepakatan itu dicemari lagi oleh keparat munafiq yang menyerang secara sembunyi tentera ‘Aishah dan juga tentera ‘Ali, sehingga ‘Aishah menyangka ‘Ali belot! Mereka menyerang kita di waktu malam! ‘Ali juga menyangka sedemikian keatas ‘Aishah! ( al-Bidayah wa al-Nihayah: Ibn Kathir)

Tercetuslah peperangan yang dinamai sebagai peperangan Jamal antara tentera Aishah dan tentera Ali, kedua-dua pihak berasa sedih dan sesak dada mereka dengan hal yang berlaku ini, kaum munafiqin bergembira bertepuk tangan, Talhah gugur syahid dalam peperangan ini, Ali menangisinya,di sapu wajah Talhah yang dipenuhi tanah.. “Alangkah bagusnya jika aku mati dua puluh tahun dahulu sebelum berlakunya hal ini” kata Ali.. ( al-Awasim min al-Qawasim, tahqiq al-Khatib)
di merata tempat.


Kesan fitnah pembunuhan ‘Uthman ini berentetan sehingga tercetusnya pula peperangan Siffin antara tentera Ali dan Mu’awiyyah, yang merupakan gabenor Syam yang sangat berwibawa, beliau dilantik ketika pemerintahan Uthman. 

‘Ali menuntut bai’ah-janji setia-ke atas pemerintahannya dari Mu’awiyyah, namun beliau enggan memberikan bai’ah sehingga darah ‘Uthman dibela, bunuh dahulu pembunuh Uthman! Atau serahkan sahaja tengkok pemberontak itu kepada kami! Bukan Ali tidak berusaha mencari dan menegakkan hukuman keatas pembunuhan Uthman, tetapi kerana bukti yang sangat kurang kerana penjahat sebenar sangat pandai berselindung bertopengkan muslim,kemungkinan yang berlaku apabila bunuh seorang pencetus kekacauan, tiada lagi jalan untuk menutup fitnah, ditakuti tersalah menjatuhkan hukuman, maka kekacauan yang lebih besar didalam dunia Islam akan berlaku dan tidak mampu lagi dibendung, hal ini hampir sahaja berjaya dilakukan, namun, akibat tercetusnya peperangan Jamal yang dicetuskan oleh pemberontak yang bersembunyi di dalam tentera Ali, menyebabkan kesukaran untuk dihadapkan penjahat sebenar ke muka pengadilan.

Hasilnya tercetuslah peperangan antara dua pasukan tentera yang dikepalai oleh mereka berdua, masing-masing merasakan mereka berada dikedudukan yang benar demi menuntut bela keatas darah Uthman. Kedua-dua mereka berusaha untuk mengelakkan tercetusnya peperangan, mereka berdua adalah dari kalangan sahabat baginda s.a.w. Namun alangkah sedihnya hari ini kedengaran suara sumbang mereka yang cuba mencemari sejarah Islam, mentohmah para sahabat, mencaci Mu’awiyah yang enggan berbai’ah kepada Ali, sehinggakan berperang dengan kepimpinan Ali, sedang nabi s.a.w melarang daripada mencaci para sahabatnya! Sabdanya,
“ Jangan kamu mencaci para sahabatku! Demi jiwaku yang berada di tangan Allah, walaupun kamu membelanjakan harta di jalan Allah emas sebesar bukit uhud sekalipun, nescaya tidak sama dengan seorang pun daripada mereka atau separuh sekalipun” 

Hari ini banyak kedengaran suara sumbang golongan yang merendah-rendahkan sekalian sahabat yang diredhai oleh Allah. Sedang perbalahan mereka para sahabat adalah atas dasar ijtihad, mereka tetap digelari sebagai mukmin. Firman Allah :

“jika ada dua kelompok dari kaum mukminin bertelagah, maka damaikanlah keduanya dengan adil dan saksama, sesungguhnya Allah sangat suka orang yang adil” al-Hujurat :9

Para ulama’ ada yang menyatakan kedua-dua mereka berada dikedudukan yang betul, ada yang menyatakan Ali berada dikedudukan yang betul dan Mu’awiyyah tersalah ijtihad didalam hal ini, sebahagian ulama’ pula menyebut bahawa mereka yang tidak terbabit langsung didalam peperangan ini adalah yang paling betul.( Minhaj Sunnah : Ibn Taimiyyah )

Walaubagaimanapun, kekallah kemuliaan para sahabat disisi Allah, mereka bertelagah, namun dihati mereka sesak dengan hal yang ditelagahkan, jiwa mereka saling mencintai. Pelbagai tohmahan kedengaran sehingga hari ini, perdamaian yang dicapai antara Ali dan mu’awiyyah dalam peristiwa tahkim dingkari, timbul pula satu puak yang tidak berpuas hati dengan perdamaian tersebut, berpecah mereka yang tidak berpuas hati itu menubuhkan satu puak baru yang digelari sebagai khawarij, habis sekalian sahabat dikafirkan

Sabda nabi s.a.w : “ orang yang dibunuh dan membunuh, kedua-duanya didalam neraka,” sahabat bertanya, “orang yang membunuh didalam neraka, bagaimana orang yang dibunuh juga dimasukkan ke nereka?” sabda nabi, “ sesungguhnya dia juga berusaha untuk membunuh saudaranya”( sahih bukhari)

Mereka menganggap kedua-dua puak mukmin yang bertelagah dimasukkan kedalam neraka, sesungguhnya ini adalah kefahaman yang batil! Menta’wil nas secara batil,Bagaimana Ali dan Aishah boleh dikatakan akan dihumban ke neraka kerana berperang di peperangan Jamal? Bagaimana Ali dan Mu’awiyyah ingin dikatakan akan dicampak kedalam neraka kerana bersengketa di peperangan Siffin? Sedang mereka telah dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w? kerana itu para ulama menyatakan dosa perbalahan mereka dibebankan keatas bahu pencetus huru-hara. Kepalanya Abdullah bin Saba’! ketahuilah wahai saudaraku, mereka para sahabat saling mencintai antara satu sama lain, tidak pernah terdetik sekalipun di hati mereka untuk bersengketa, lebih lagi berbunuhan! Mereka tidak termasuk didalam hadith yang dinyatakan diatas tadi!

Demikian kucar-kacir dunia Islam ketika itu, semuanya bermula dari pembunuhan Uthman, beliau tidak bersalah, beliau dizalimi, porak-peranda kaum muslimin. Semoga ini menjadi iktibar kepada kita, sentiasalah kita mencintai dan menyayangi sekalian sahabat, berimanlah kita dengan firman Allah : 

“ wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu berita perkhabaran dari orang fasik, maka selidikilah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa kamu mengetahui keadaannya yang sebenar, menyebabkan kamu menyesal dengan perbuatan itu”( al-Hujurat :6 )
الخطاب - 

Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company