Friday, March 14, 2014

MHA 370 dan Perancangan ALLAH


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Kehilangan  kapal terbang MAS MH370  sudah masuk hari keenam tapi malangnya masih belum diketemui.  Inilah perancangan ALLAH.  Walau secanggih mana peralatan yang digunakan dengan bantuan puluhan kapal laut dan kapal terbang, namun misteri kehilangan MH370 masih menemui jalan buntu.

Semakin lama ia belum dijumpai maka semakin banyak spekulasi dan andaian serta teori yang dibuat sama ada oleh golongan professional dan juga orang ramai.  Malahan ada juga  tohmahan dan ulasan nakal dimuatnaik dalam media-media social oleh mereka yang tak bertanggungjawab.  Sebagai orang Islam kita perlu ingat mengenai bahayanya lidah.  Kawal dan peliharalah lidah kita.  Usah menyebar situasi dan spekulasi yang tak pasti.  Ia hanya mengundang dosa yang berpanjangan.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : "...Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik atau diam". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Di saat negara dilanda kedukaan dan  keluarga  mangsa yang terlibat menanti penuh harap, masih ada manusia yang bebal mempersenda dan memperlekeh usaha pihak-pihak tertentu dalam misi mencari MH370.  Walaupun kita berlainan fahaman politik atau ideologi tapi janganlah sampai isu kemanusiaan sebegini kita sanggup mengeruhkan lagi suasana dengan membuat tuduhan yang tidak berasas.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kalau di barat, rakyat tanpa mengira fahaman bersatu menyelesaikan masalah sebegini, tapi malangnya bagi kita yang majority beragama Islam sanggup menangguk di air keruh.  Memperlekeh usaha pihak berkuasa yang bersungguh-sungguh mencari jawapan kepada misteri yang belum terungkai.
Nabi SAW bersabda maksudnya : " Bukanlah beriman orang yang suka mencela, mengutuk, mengeji dan bercakap kotor".

Bersama-samalah kita memanjat doa ke hadrat ALLAH Ta’ala agar kebuntuan hilangnya MH370 ini akan menemukan jawapannya secepat mungkin.  Sesungguhnya kita hambaNYA yang kerdil tidak berdaya dan mampu melakukan apa jua melainkan hanyalah dengan kudrat dan iradat dari ALLAH.

Read more...

There was an error in this gadget

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company