Wednesday, October 27, 2010

Anak Kecil,Ibu Tua dan Sekeping Iman



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

“…pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Al-Maidah: 3)

Baru-baru ini saya menerima e-mail yang sama saya terima kira-kira hampir dua bulan lepas. Namun kali ini tergerak hati saya untuk berkongsi kandungan e-mail tersebut untuk renungan kita bersama. Mungkin ada di kalangan pembaca yang sudahmenerima kandungan e-mail yang sama namun iktibar dari cerita inimenyentuh hati dan nurani kita. Janganlah mempersoalkan dari sudut kebenaran atau tidak akan cerita ini, yang paling penting isi ceritanya yang boleh kita kongsi untuk bermuhasabah
Persoalannya sekarang ialah sejauh mana sumbangan kita untuk memartabatkan syiar Islam kepada masyarakat dan setakat mana usaha kita untuk menyampaikan dakwah kepada saudara kita yang bukan Islam.
Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang.
Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.
Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini."

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa.
Semoga kita dan ahli keluarga kita sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk sentiasa menegakkan syiar Islam.
Read more...

Friday, October 22, 2010

Jadilah Umat Yang Terhormat..



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (al-Maaidah: 2)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari)


Semasa membaca sebuah buku “ Menjadi Ibu bapa Genius : Berdasarkan Nasihat Luqman al Hakim” , saya tertarik dengan satu pesanan Luqman tentang menjadi orang terhormat. Hari ini Allah telah mengangkat rasa hormat yang ada pada manusia terutamakita umat Islam kerana kelalaian kita menjadi hamba Allah yang taat dan patuh. Hari ini ramai masyarakat memandang mudah kerja-kerja agama.

Akhirnya kita menjadi umat yang lemah. Orang bukan Islam tidak lagi memandang kita dengan rasa hormat. Islam diperlekeh oleh musuh-musuh Islam kerana kelemahan kita berpegang teguh dengan tali Allah. Bagaimana orang bukan Islam hendak menghormati kita jika orang-orang Islam sendiri bercakaran, bermusuhan dan berpuak-puak sesama Islam. Kita melakukan kerosakan dan kezaliman antara sesama kita dan kecintaan atas nama persaudaraan Islam sudah kian terhakis dan hilang. Kita kata kita patuh dengan berpegang dengan Al Quran dan sunnah tapi dalam ketika yang lain tindak-tanduk kita seolah-olah bertentangan dengan tuntutan Allah dan Rasul.

Bagaimana orang Islam akan tertarik dan terpesona dengan keindahan Islam jika kita sendiri mencemarinya. Contoh yang paling mudah, ketika azan berkemundang di corong-corong mesjid dan surau, berapa ramai umat Islam yang bergegas menuju ke rumah Allah untuk menunaikan kewajiban solat? Kalau ada , alahamdulillah. Tapi yang pastinya masih ramai yang memandang enteng dan sepi laungan azan. Jadi apa bezanya kita dengan orang bukan Islam?

Pesan Luqman kepada puteranya untuk menjadi orang yang terhormat: “ Puteraku, aku nasihatkan kepadamu beberapa perkara yang apabila kamu berpegang teguh, maka kamu akan tetap menjadi orang yang terhormat. Pertama, pamerkan akhlakmu pada orang dekat dan orang jauh. Kedua, jangan bersikap kejam pada orang yang baik mahupun orang yang jahat. Ketiga, sambunglah silaturahim dengan keturunanmu. Keempat, jagalah saudara-saudaramu dan selamatkanlah mereka daripada pengadu domba yang sentiasa berusaha untuk merosakkan hubunganmu dan ingin memperdayakanmu. Hendaklah saudara-saudaramu itu merupakan orang-orang yang apabila kamu berpisah daripada mereka ataupun mereka berpisah daripadamu, kamu tidak mencela mereka dan mereka tidak mencelamu.” (Ihya’Ulum Ad-Din, jil 3. hlm 157-158)

Firman Allah : “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;”
(Am-Nisaa : 36)


Dapatkah kita menjadi umat yang hebat dan terhormat bukan sahaja di sisi manusia tapi yang pentingnya di sisi Allah Ta’ala. Insyallah jika semua umat Islam kembali kepada fitrah Allah, berpegang dengan hukum Allah dan yang paling penting meletakkan Islam di kedudukan yang teratas dalam melayari kehidupan. Soalan ini saya lontarkan kepada diri saya sendiri yang banyak melakukan dosa dan maksiat.
Semoga Allah membuka pintu-pintu hati kita menjadi umat yang soleh dan sentiasa dalam lindungan-NYA.
Read more...

Wednesday, October 13, 2010

DUN Galas : Antara Kemanusiaan dan Keduniaan



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. ( al-i-‘Imran :185)

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Sesiapa bercita-citakan kehidupan akhirat, maka Tuhan menjadikan kekayaan dalam hatinya, dihimpunkan segala kepentingannya, dan diberikan kepadanya kenikmatan hidup ini seberapa perlunya. Sesiapa bercita-citakan kehidupan dunia, Allah menjadikan kemiskinan antara dua matanya, dipisahkan daripadanya apa yang menjadi keperluannya dan tidak di-berikan kepadanya kenikmatan hidup dunia kecuali apa yang sudah ditentukan.” – (Hadis riwayat aT-Tarmizi).



Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini telah menyebabkan kadar sewa rumah di sekitar bandar Gua Musang kini melambung manakala gerai makanan mulai tumbuh dengan banyaknya. Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200 sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu.

Petikan di ata merupakan sebahagian daripad berita yang dimuatkan di dada akhbar baru-baru ini. DUN Galas hanya wujud selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh SPR pada 1985 dan di letakkan di bawah parlimen baru iaitu Gua Musang. Walaupun DUN Galas kurang diberi publisiti sebelum ini tapi ia menjadi pusat pentadbiran Gua Musang yang semakin berkembang. Kini Galas kembali menjadi sebutan selepas kematian wakil rakyatnya Allahyarham Che Hashim Sulaima. (Sedekahkan al Fatihah kepada beliau).
Namun apa yang ingin saya coretkan di sini ialah bagaimana sebahagian kecil manusia sanggup mengenepikan perasaan kemanusiaan hanya kerana ingin mengaut keuntungan dunia secara segera. Apa tidaknya, ada pemilik rumah yang tergamak menyuruh ( kalau dalam bahasa yang agak kurang sopan “menghalau”) penyewa keluar dalam tempoh 24 jam hanya semata-mata dikaburi oleh habuan dunia. Tidakkah mereka terfikir selama ini sejak bertahun-tahun atau berbulan-bulan lamanya, siapakah orang yang sanggup menyewa rumah mereka daripada terbiar kosong.

Dalam hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa pada suatu masa nanti semakin ramai manusia yang hatinya terpaut kepada dunia. Hadis itu bermaksud: “Akan datang kepada umatku suatu zaman, di mana mereka lebih cinta kepada lima perkara dan lupa kepada lima perkara lain iaitu cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat; cinta kepada harta dan lupa kepada hari hisab (perhitungan); cinta kepada makhluk dan lupa kepada khaliq (penciptanya); cinta kepada dosa dan lupa kepada taubat; cinta kepada mahligai dan lupa kepada makam (kuburan).”

Mungkin akan ada kata-kata sinis yang mengatakan, inilah masanya nak cari keuntungan, bila lagi? Memang tidak salah untuk kita mencari keuntungan di dunia tapi janganlah sampai kita mengorbankan rasa kemanusiaan kita dan juga mengambil kesempatan yang melampau batas. Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari harta sebanyak mungkin asalkan caranya halal dan perkara paling mustahak ialah jangan sampai harta benda atau kekayaan itu dijadikan tujuan hidup. Jangan sampai harta dunia menipu dan mengheret kita ke dalam kemusnahan.

Firman Allah : Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Al- Haddid:20)

Bukanlah maksud saya hendak memperlekeh sesiapapun tetapi sekadar ingat mengingati kepada diri saya sendiri yang serba kekurangan dan juga pada mereka yang dapat menerima dengan hati terbuka. Kita tidak mahu dalam perlumbaan mengejar dunia yang sedikit kita tercicir segala nilai keimanan, ketakwaan dan peri kemanusiaan.
Semoga Allah sentiasa mengampun segala dosa-dosa dan kekhilafan kita dalam melayari kehidupan di dunia ini. Amin.
Read more...

Friday, October 8, 2010

Ziarah : Syeikh Muhammad Ibn Ibrahim Al-Kattani


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“…niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…”
(AL-MUJADILAH:11)

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu'min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya” (AT-TAUBAH:122)


Allahamdulillah dengan izin Allah seorang muhaddith di negara Mesir , Allamah Al- Muhaddis Syeikh Muhammad Ibn Ibrahim Abdul Ba`ith Al-Husaini Al-Kattani berkunjung ke negara kita ini dan seterusnya diberi kekuatan, Insyaallah akan mengadakan beberapa siri kuliah beliau di beberapa lokasi. Bagi yang ada kelapangan inilah peluang untuk mendengar dan memperdalami ilmu Allah. Sedikit biodata tentang Syeikh Muhammad Ibn Ibrahim Al-Kattani

PENGENALAN DIRI

NAMA : Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba’ith bin Ahmad bin Ghanim
ASAL KETURUNAN : Nasab keturunannya bersambung sehingga Sayyidina Husain RA
BAPA : Ibrahim bin Abdul Ba’ith bin Ahmad bin Ghanim
TARIKH LAHIR : 01 Jun 1946 M
TEMPAT LAHIR : Bandar As-Saghr, Iskandariah, Mesir


Biodata Syeikh:

Beliau merupakan seorang muhaddith di negara Mesir. Dr. Umar Abdullah Kamil berkata mengenainya, “Saya tidak pernah bertemu dengan orang yang sealim beliau di dunia ini.

Kebanyakan kandungan syarahannya tidak terdapat di dalam kitab-kitab kerana ilmunya diambil terus daripada Allah.” Beliau pernah menyatakan, bahawa beliau menjadi sedemikian setelah bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Dalam mimpi tersebut, Rasulullah memberikannya kitab karangan Syeikh Yusuf ibn Ismail al-Nabhani yang bertajuk Hujjah Allah ‘ala al ‘Alamin. Kemudian Rasulullah bersabda kepadanya, “Semoga Allah membuka ke atas kamu segala sesuatu.” Beliau mempunyai ramai guru; di antaranya ialah ayahandanya sendiri, Syeikh Ibrahim ibn Abdul Ba’ith. Beliau mengambil Tariqat al Syazuliyyah daripada ayahandanya ini. Di antara gurunya yang lain ialah Syeikh Soleh ibn Muhammad al Ja’fari, Imam Masjid al Azhar. Daripada Syeikh Soleh beliau mengambil Tariqat al Ahmadiah al Idrisiah.

Beliau pernah menceritakan pengalaman dengan gurunya ini dengan menyatakan bahawa beliau pernah pergi ke majlis pengajian Syeikh Soleh untuk meminta ijazah Hizib al Saifi. Namun, beliau merasa rendah diri untuk memintanya. Tetapi, tiba-tiba Syeikh Soleh berkata kepada ahli majlis pengajiannya bahawa Hizib Saifi ini telah diijazahkan kepada semua keturunan Sayyiduna Ali. Dengan perkataan Syeikh Soleh itu, bererti beliau telah mendapat ijazah tersebut kerana beliau adalah dari keturunan Sayyiduna Husain.

Di antara gurunya juga ialah Abu al Faidh al Kattani. Daripada gurunya ini, beliau mengambil Tariqat al Kattaniah yang dengannya beliau dinisbahkan dengan gelaran al Kattani. Di antara gurunya juga ialah al Muhaddisth Syeikh Abdullah Siddiq al Ghumari. Pada suatu ketika dulu, beliau pernah belajar bersama-sama Dr. Ali Jum’ah yang merupakan Mufti Mesir sekarang ini, dengan Syeikh Abdullah al Ghumari. Semasa belajar, beliau sering membetulkan bacaan Dr. Ali Jum’ah yang salah.

Di antara gurunya lagi, iaitu sanad beliau yang tertinggi ialah al Musnid Syeikh Abdul Hayy al Kattani. Daripada gurunya ini, beliau meriwayatkan kitab sanadnya yang bertajuk Fahras al Faharis yang di dalamnya mengandungi senarai 700 orang gurunya.
Jadual tentatif

CADANGAN JADUAL PROGRAM


8 Oktober 2010 (Jumaat)


9.00 Malam Ceramah Perdana di Masjid Al-Muttaqin, Bandar Darul Aman. (Belum pasti)


9 Oktober 2010 (Sabtu)

9.00 Pagi Majlis Periwayatan & Pelancaran Majlis Sama’ Kitab Hadis di Dewan Sultan Badlishah, Maktab Mahmud.

8.00 Malam Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 1 di Maktab Pengajian Islam, Kodiang.


10 Oktober 2010 (Ahad)

9.00 Pagi Kunjungan ke Jabatan Mufti Negeri Kedah & Pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah.

8.00 Malam Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 2 di Kompleks Al-Bukhari


11 Oktober 2010 (Isnin)

9.00 Pagi Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 3 di Kolej Universiti Insaniah


8.00 Malam Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 4 di Masjid Bakar Arang, Sg. Petani.


12 Oktober 2010 (Selasa)

10.00 Pagi Kunjungan ke Yayasan Khairiah, Kupang, Baling.

8.00 Malam Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 5 di Masjid Jamiul Ma’mur, Kulim.


13 Oktober 2010 (Rabu)

9.00 Pagi Kunjungan ke Maahad Tarbiah Islamiah, Derang.

8.00 Malam Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 6 di Maahad Tahfiz Imam An-Nawawi (MATIN), Perlis.


14 Oktober 2010 (Khamis)


9.00 Malam Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 7 di Masjid Darul Ulum.

8.00 Malam Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi Siri 8 di Masjid Al-Bukhari.


15 Oktober 2010 (Jumaat)


9.00 Pagi Acara Penangguhan Majlis Sama’ Ahadis An-Nabawi di Dewan Sri Mentaloon.

2.00 Ptg Lawatan ke Majlis Agama Islam Pulau Pinang & Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

8.00 Mlm Muhadharoh di Masjid Bertam


16 Oktober 2010 (Sabtu)


9.00 Pagi Majlis di an-Nahdhoh Inn

5.00 Ptg Berangkat pulang ke Airport Bayan Lepas.
Read more...

Monday, October 4, 2010

Bila Kita Diuji


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

DIA lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (al-Mulk:2)

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan shalat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)
Nabi bersabda : Ertinya : Sesungguhnya besarnya balasan baik adalah dengan besarnya ujian dan bala (tahap ganjaran adalah setimpal dengan tahap kesukaran mihna’), dan Allah s.w.t apabila kasihkan satu kaum lalu akan didatangkan baginya ujian, sesiapa yang mampu redha maka ia beroleh redha Allah dan barangsiapa yang engkar , maka akan beroleh azab Allah.” ( Riwayat At-Tirmizi, 4/601)


Kata orang “Hidup ini penuh dengan keindahan.” Namun apabila datang kesukaran dan kesempitan dalam hidup segalanya pasti berubah. Bila keadaan ini berlaku, hanya mereka yang percaya kepada qada’ dan qadar Allahdan disulami dengan kesabaran sahaja yang mampu mengharunginya.

Ini yang berlaku keatas salah seorang sahabat saya baru-baru ini. Warna-warna keindahan dalam keluarganya tiba-tiba bertukar menjadi warna-warna suram. Kisahnya bermula apabila sebelum kedatangan Ramadhan al Mubarak, isteri sahabat saya tiba-tiba jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri. Walaupun dikejutkan oleh anak-anak dan jiran-jiran namun tiada sebarang tindak balas.

Kebetulan sahabat saya bertugas di luar kawasan. Jiran sahabat saya mengambil keputusan menghantar mangsa ke hospital . Setelah tiba di hospital dan pemeriksaan dilakukan, mendapati kadar tekanan darah tinggi isteri sahabat saya terlalu tinggi hingga menyebabkan saluran darah di bahagian kepalanya pecah. Pendarahan otak berlaku dan pembedahan segera perlu dilakukan. Menunggu sahabat saya pulang dalam jarak hampir 500KM untuk menandatangani persetujuan pembedahan merupakan detik-detik getir .

Setelah tiba hampir lewat malam, akhirnya isteri sahabat saya memasuki dewan pembedahan. Doktor dan jururawat berusaha mengeluarkan semua darah yang sudah memasuki bahagian otak. Alhamdulillah dengan izin Allah, pembedahan berjaya dilakukan. Namun suasana keceriaan dalam keluarga sahabat saya tidak seperti dulunya.

“Dan bersabarlah kamu, karena sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Anfal: 46)

“Sungguh menakjubkan perkara orang yang beriman, karena segala perkaranya adalah baik. Jika ia mendapatkan kenikmatan, ia bersyukur karena (ia mengatahui) bahwa hal tersebut adalah memang baik baginya. Dan jika ia tertimpa musibah atau kesulitan, ia bersabar karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut adalah baik baginya.” (HR. Muslim)

Doktor memberitahu sahabat saya, peluang isterinya untuk kembali normal adalah sukar. Maksudnya , isteri sahabat saya akan hilang perseimbangan dan pertimbangan hidup dalam banyak hal. Ingatannya banyak yang akan hilang. Dia akanbersikap seperti keanak-anakkan.

Ternyata kehidupan keluarga sahabat saya berubah dalamsekelip mata. Inilah dugaan dan ketentuan Allah yang semua insan perlu sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dalam hidup ini. Bayangkan si isteri yang kelmarinnya bergurau senda dan bermesra dengan si suami dan anak-anak. Isteri yang selama ini membereskan segala hal-hal rumahtangga. Isteri yang menyediakan makan minum suami dan anak-anak. Isteri yang menjadi teman bersembang dan meluahkan perasaan. Tiba-tiba dia menjadi manusia yang lupa semua itu dalam sekelip mata. Dia bagaikan manusia asing dalam dunia kehidupan kita.

Maka inila ujian yang perlu ditanggung oleh sahabat saya. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bermulalah episod baru dalam kehidupan sahabat saya. Jika selama ini makan, pakai dan urusan rumahtangga dikelolakan oleh si isteri, kini sahabat saya menghadapi semua itu dengan penuh kesabaran.

“Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa” (. Al-Baqarah : 177)

Dalam keadaan begini, selain bermunajat dan memohon kepada Allah, sokongan daripada para sahabat dan saudara mara amatlah perlu. Inilah kekuatan semangat yang diperlukan oleh sahabat saya untuk meneruskan kehidupannya menghadapi hari-hari mendatang. Sahabat saya melalui hari-hari sukar ini dengan sabar, tabah dan tenang. Sesekali apabila bercerita mengenai penderitaannya, genangan air mata kelihatan memenuhi kelopak matanya. Apa tidaknya, sukar menerima hakikat, orang tersayang yang selalu bermesra dan cergas melakukan kerja-kerja rumahtangga kini bagaikan seorang bayi yang lahir semula yang perlu dibelai dan sesekali menjadi keliru serta tidak mengerti akan kehidupan barunya.

Maka saya tertanya-tanya, hari ini dia diuji, kita pula bila dan bagaimana? wallahualam bissawab.

Semoga Allah Ta’ala sentiasa memberi kekuatan rohani dan jasmani kepada sahabat saya untuk terus sabar dan tenang menghadapi apa jua kemungkinan. Berdoalah kita agar isterinya sembuh dan kembali semula sepert i hari-hari yang berlalu. Dengan izin dan kekuasaan Allah, tiada apa yang mustahil dalam kehidupan ini.
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company