Friday, February 26, 2010

Rasulullah bukannya Idola....

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

“DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
. (al-Ahzab: 21)

“Siapa idola kamu?” Tanya pengacara kepada salah seorang peserta rancangan hiburan.
“ Micheal Jackson merupakan idola saya,” jawab remaja tersebut penuh bangga.
Di suatu situasi yang berlainan, seorang pelajar IPT telah ditanya dalam satu majlis ilmu oleh si penceramah “Siapa idola anda?”
“Idola saya ialah Nabi Muhammad, ” balas pelajar tersebut .

Masyaallah…Tabarakallah..Lihat betapa mudah para remaja hari ini menggunakan kata-kata tanpa berfikir apakah akibatnya. Mungkin para remaja yang saya jadikan contoh di atas tidak mengetahui atau memahami apakah makna sebenar perkataan “idola” yang diucapkan. Mungkin istilah “idola” pada ertikata yang sebenar itu tiada dalam kamus pemikirannya. Lagipun bukan dia saja yang menggunakan perkataan tersebut, malahan ramai lagi manusia di luar sana bermula dari orang bawahan yang bersembang di kedai kopi hingga ke guru-guru dan para akedamik menggunakan istilah “idola” tanpa prejudis. Malahan ada di kalangan ustaz yang menggunapakai istilah ini tanpa memikirkan apa kesan dan risikonya .

Tahukah anak-anak remaja bahawa perkataan IDOLA itu berasal daripada perkataan Inggeris IDOL yang sebenarnya membawa maksud BERHALA? . Mungkin anak-anak remaja semasa mengucapkan perkataan itu tidak berniat atau bermaksud menjadi atau menyamakan seseorang itu dengan berhala atau bahan sembahannnya. Secara etimologi, idola berasal dari bahasa Latin, Idolium yang beerti orang halus, bayangan, hantu, arca berhala, dan berhala. Mengikut takrifan kamus Oxford (Edisi ketiga 2001), IDOL dalam bahasa Inggeris membawa maksud patung; berhala; pujaan; orang atau benda yang terlampau disanjung. Dalam konteks pengunaan, perkataan ini lebih sesuai menjurus kepada pemujaan benda, patung atau berhala. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui beberapa terbitan perkataan lain seperti berikut :
1. IDOLATRY = Penyembahan berhala
2. IDOLATER = Penyembah berhala; musyrikin
3. IDOLATROUS = (Bersifat) menyembah atau memuja
4. IDOLIZE = (Terlampau) menyanjung.
5. IDOLIZATION = Pemujaan; pendewaan.

Kini kita perhatikan pula sejarah penggunaan kata IDOL dalam bahasa Inggeris seperti yang diberikan dalam Kamus Oxford. (Untuk perhatian umum, Kamus Dewan memberikan makna “berhala’.) Dalam bahasa Inggeris, kata IDOL datangnya daripada dua sumber, iaitu: (i) daripada penggunaan Kristian dan Yahudi, dan (ii) daripada penggunaan Greek dan Latin. Senarai makna idol dalam bahasa Inggeris adalah seperti berikut:

1. An image or similitude of a deity or divinity used as an object of worship: applied to those worshipped by pagans.

2. Applied polemically to images or figures of divine beings and saints, and more generally to any material object of worship in a Christian church.

3. A representation of a deity under some monstrous and non-natural form.

4. Any thing or person that is the object of excessive and supreme devotion or that usurps the place of God in human affection:

a) a thing;

b) A person so adored. Contoh yang diberikan ialah: “A hero who was the idol of his army.”


5. An image, effigy, or figure of a person or thing, especially a statue.
(sumber www.esasterawan.net/esasterawan)

Jelaslah, kata idola dalam bahasa Melayu membawa separuh daripada erti yang keempat di atas. Yang paling menggerunkan ialah keseluruhan pengertian itu. Ini merupakan sebahagian dari makna kata idola, iaitu sesuatu atau seseorang yang “dipuja atau yang menggantikan tempat Tuhan dalam hati manusia.” Persoalannya sekarang , wajarkah kita menggunakan kata idola? Apatah lagi dalam konteks keagamaan.

Mungkin pada hakikat awalnya si penutur menggunakan istilah “idola” bertujuan menyuruh kita ‘mengidola’ Nabi Muhammad, dengan kata lain sebenarnya menyuruh kita meneladani sifat dan sikap Nabi. Persoalannya, mengapa perlu kita mengambil sesuatu dari barat sedangkan Islam mempunyai istilahnya sendiri yang cukup cantik dan sedap disebut iaitu Qudwah Hasanah. Rasulullah sebagai Qudwah Hasanah.

Mungkin nanti ada di kalangan manusia yang memperlekeh dan memandang remeh hal ini dengan berkata,” Itu cuma dari segi istilah saja bukannya ada niatpun”. Inilah permasalahan orang kita hari ini, meniru sesuatu dari budaya asing tapi meneliti dan mengkaji baik dan buruknya.

Hari ini penggunaan istilah idola sering dikaitkan dengan para diva, artis, pemuzik, tokoh-tokoh, malahan terdapat pemimpin dan orang terpelajar sering mengaitkan idola dengan Nabi Muhammad SAW. Mungkin anak-anak remaja semasa mengucapkan perkataan itu tidak berniat atau bermaksud menjadi atau menyamakan seseorang itu dengan berhala atau bahan sembahannnya . Naluri remaja sering diwarnai dengan sikap ingin meniru, mencontoh, dan mengagumi seseorang. Remaja menjalani proses belajar dengan cara meniru dan mencontohi pengalaman orang lain, karena mereka sebenarnya dalam proses mencari identiti.

Yang membimbangkan kita ialah apa sanggupkah kita terus menggunakan istilah atau perkataan yang sedahsyat ini kerana makna atau pengertiaannya yang boleh menjerat kita dalam dosa syirik? Sanggupkah kita membiarkan remaja kita terus menggunapakai istilah ini sehingga boleh menjejaskan akidah mereka. Persoalan ini sebenarnya pernah dilontarkan oleh salah seorang tokoh akademik, iaitu Prof, Datuk Dr. Zainal Kling pada November 2005. Beliau meminta agar media massa mencari istilah yang sesuai bagi menggantikan perkataan `diva' dan `idola' kerana gelaran itu bertentangan dengan akidah Islam. Namun saranan itu dianggap sepi.

Sebenarnya dalam artikel saya sempena mengingati bulan kelahiran Rasulullah s.a.w ingin saya perjelaskan kepada anak-anak remaja bahawa Rasulullah itu sebenarnya adalah sebagai suri tauladan ataupun role model yang paling utama dalam setiap aspek kehidupan. Itulah gelaran yang layak diberi kepada seorang kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang sangat-sangat kita cintai. Kita patut menjadikan kehidupan rasul sebagai ikutan tanpa ragu dan syak. Kalaulah manusia mencari seseorang yang boleh menjadi role model lengkap dalam setiap aspek kehidupan, mereka tidak akan menjumpainya melainkan ianya wujud dalam diri Nabi Muhammad s.a.w. Oleh sebab itulah Allah telah menyifatkan baginda sebagai Qudwah hasanah (contoh tauladan) bagi seluruh manusia.

Rasulullah S.a.w tidak diutus semata-mata mahu dipuja-puja dan diagung-agungkan. Malahan Rasulullah s.s.w tidak diutus semata-mata menjadi simbol agama Islam. Sebaliknya, Rasulullah diutus sebagai Qudwah hasanah, supaya kehidupan baginda, keperibadian baginda dan keunggulan baginda menjadi bekal utama kepada umat sepanjang zaman.

Menyambut maulidur Rasul bukan bermakna kita sekadar mengagung-agungkan tarikh kelahiran Rasulullah tapi adalah untuk kita mengingati dan sentiasa mensyukuri betapa KELAHIRAN Rasulullah adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Rasulullah dilahirkan untuk menyelamat umat seluruh alam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

"Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, yang menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
(Surah al-Jumuah: 2)


Michael J.Hart dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History telah meletakkan Nabi Muhammad s.a.w sebagai tokoh di tempat paling teratas. Subhanallah. Petikan kata-kata Michael J.Hart mengenai pemilihannya:
My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels.

Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world's great religions, and became an immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive.
Baca selanjutnya http://drazwan.blogspot.com/ dan juga http://www.adherents.com/adh_influ.html

Jika orang bukan Islam mengkagumi Rasulullah s.a.w, apatah lagi kita sebagai pengikut baginda yang sering melafazkan rasa cinta kepada Allah dan Rasul. Kepada anak-anak remaja siapakah lagi yang boleh kita jadikan contoh dan tauladan yang baik untuk diikuti dalam menjalani kehidupan ini. Sudah tentulah peribadi dan kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w menjadi ikutan kita. Saidina Aisyah r.ha berkata bahawa sesungguhnya akhlak dan peribadi Rasulullah s.a.w itu adalah sebagai Peribadi Al Quran.

Seorang sahabat bernama Hindun ibn Abi Halah r.a. adalah di kalangan mereka yang amat pandai menyifatkan peribadi Nabi SAW. Suatu ketika, beliau ditanya oleh cucunda Nabi SAW iaitu al Hasan ibn Ali r.a mengenai peribadi mulianya itu. Maka Hindun ibn Abi Halah r.a menyatakan:

"Rasulullah SAW adalah seorang yang sentiasa bersedih (kerana takut kepada Allah). Baginda SAW selalu berfikir bahkan hampir tidak sempat berehat. Baginda SAW lebih banyak berdiam, Baginda SAW tidak berbicara kecuali apabila perlu. Baginda SAW membuka dan menutup bicaranya dengan menyebut nama Allah. Perbicaraannya padat dengan makna sekalipun ringkas. Kata-katanya jelas, tidak menjurus ke arah sesuatu yang sia-sia atau berlebih-lebihan dan tiada pula yang kurang difahami. Baginda SAW tidak bersikap kasar dan tidak pernah menghina". (Syamail al-Muhammadiyyah oleh al-Tirmizi)

Sesungguhnya kehidupan Rasulullah seluruhnya adalah role model atau pun suri tauladan yang perlu kita sanjung.

1.Remaja Contoh : Rasulullah adalah merupakan contoh yang jelas sebagai seorang remaja dan pemuda yang baik dan berakhlak mulia sehinggalah beliau digelar al amin di kalangan kaumnya. Tutur katanya dihiasi dengan kata-kata yang manis dan bersopan. Ketika berbicara, baginda menggunakan ayat-ayat yang padat dan lengkap, ringkas dan mudah difahami oleh orang-orang yang mendengarnya.Semasa membantu Sayidatina Khadijah dalam perniagaan, baginda jujur dan amanah dalam menjalankan perniagaan.

2. Pendakwah dan pendidik: Rasulullah adalah seorang pendakwah yang paling cemerlang dalam menyeru umat manusia kepada Allah Taala dengan menggunakan konsep hikmah dan mauizah hasanah (peringatan dengan cara yang baik). Baginda berdakwah secara berhemah, menghormati orang lain, tidak mengeluarkan kata-kata nista atau cela. Selagi orang yang menjadi sasaran dakwahnya mahu mendengar dan menerima, baginda tidak jemu mendidik tetapi jika mereka berpaling, maka pada Allah tempat Rasulullah mengadu. Tapi kita hari ini nak berdakwah kepada orang lain, nak cerita tentang kehebatan Islam tapi pada zahirnya muka nak senyum kat orang lain pun susah. Kalau amalan sekecil itu yang diajar oleh Rasulullah pun tak termampu nak diterap dalam diri apatah lagi amalan yang berat dan besar.


3. Pentadbir dan Seorang ketua negara yang Berjaya : Rasulullah memegang kuasa politik yang paling tinggi. Mentadbir setiap urusan politik dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Rasulullah mendidik dan memimpin hati manusia dengan dikenalkan manusia kepada Penciptanya iatu Allah yang Maha Pengasih, Maha Berkuasa, Maha Besar, Maha Gagah, Maha Penyayang dan Maha Pengampun.

4. Suami Mithali dan Ketua keluarga yang Penyayang: Baginda adalah contoh seorang suami mithali dalam pergaulan dengan keluarga. Sabar dengan kerenah isteri-isteri baginda dan meyayangi anak dan cucu baginda. Rasulullah s.a.w. merupakan seorang suami yang sentiasa menghormati dan menjaga perasaan isterinya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Aisyah r.ha. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika berada di dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”

6. Ketua Perang yang hebat: Rasulullah merupakan seorang ketua perang yang mahir , berani dan penuh dedikasi. Baginda mahir mengatur strategi di medan perang malahan baginda merupakan orang yang sentiasa berada di barisan depan apabila menghadapi peperangan menentang musuh. Namun baginda juga merupakan ketua perang yang cukup berhemah.
Dalam Perang Mu’tah, Rasulullah (s.a.w) berpesan kepada tentera Islam supaya melalui kawasan di mana al-Harith bin Amir dibunuh, dan supaya mengajak orang-orang di sana kepada Islam, sekiranya mereka berdegil maka hendaklah setelah memohon pertolongan dari Allah memerangi mereka dengan ungkapan sabdanya yang bermaksud:
Ayuh! dengan Nama Allah seranglah mereka yang kufur dengan Allah, janganlah kamu khianati atau menyamun, jangan bunuh anak-anak kecil atau perempuan, atau tua lara, atau orang bertapa di biara, jangan kamu tebang kurma-kurma atau pokok-pokok dan jangan roboh bangunan-bangunan.


7. Berakhlak Mulia : Apalagi yang dapat kita bandingkan dalam diri Rasulullah. Baginda adalah contoh dan tauladan bagi sekalian alam. Meyayangi para sahabat tiada tolok bandingnya.Apabila dua atau tiga hari Rasulullah s.a.w. tidak nampak salah seorang sahabatnya atau tidak bertemu di mana-mana, nescaya ditanya dan dicari oleh baginda. Baginda yang menziarahi kerumah sahabat tersebut tanpa rasa sombong. Malah baginda sembahyang, makan dan duduk bersama para sahabat. Mengasihi umatnya melebihi segala-gala, hinggakan di saat kewafatannya, baginda masih mengingati umatnya. Amatlah malang jika kita tidak sayang dan cinta pada Rasulullah s.a.w. Apabila musuh-musuh Islam dulu dan hari ini menghina dan mencerca Rasulullah s.a.w dimanakah kita. Apakah yang kita lakukan bila Nabi Muhammad kekasih Allah dipersendakan? Inikah yang dikatakan kasih kepada Rasul Allah. Cukupkah dengan bersimpati dan kemudian melupakannya atau sekadar berselawat nyaring bagaikan terkeluar halkum memuji Rasulullah hanya pada setiap kali perayaan Maulidur Rasul sahaja. Tepuklah dada dan tanyalah keimanan kita.
Wahai anka-anak remaja, kembalikan syiar Islam. Semarakkanlah perjuangan dan tarbiah Rasulullah. Hidupkan sunnah baginda. Tidak mustahil malah sudah terbukti, jika umat Islam dapat melaksanakan syariat mengikut sunnah Rasulullah s.a.w, umat Islam akan bangkit menjadi bangsa yang paling berdisiplin, beradab dan berakhlak. Dihormati , dicontohi malahan digeruni bukan kerana kemajuan material, tapi keindahan, kekentalan dan kejituan akhlak umat Islam mencontohi Rasulullah sebagai Qudwah hasanah.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, nabi Muhammad s.a.w.
Moga jumpa lagi..insyaallah

Rujukan

Muhammad Abd Syukur et.al. Diari Hidup Rasulullah S.A.W .Pts Publications and Distributors Sdn.Bhd. Kuala Lumpur 2009

Imam Jalaluddin As Sayuthi . Asbab Nuzul Al-Quran.Darul Fajr, Kuala Lumpur.2008

Mas Zuraini Miswan. Rencana: Ikut Sunnah Hidup Terdisplin. Majalah Ayu. Karya One Sdn BhdBil5 Tahun1 Mei 1996

www.esasterawan.net/esasterawan

http://drazwan.blogspot.com/

Read more...

Wednesday, February 24, 2010

Dia bukan anakku?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Segala Puji Bagi Allah, yang mengampuni dosa, menerima taubat, azab-Nya keras sekali lagi berkekalan, tiada Tuhan melainlan Allah dan kepada-Nya tempat kita kembali. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ke atas ahli keluarga baginda,para sahabat dan para pengikutnya yang mengasihani baginda hingga ke hari kiamat.


“Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kejahatan mereka.”
(Asy-Syura : 25)


Astagfirullah………..beristigfar panjang saya apabila membaca beberapa tajuk akhbar perdana minggu lepas. Dalam minggu itu sahaja, empat bayi dibuang dengan begitu kejam dan trajis sekali. Hati saya diruntun kesedihan dan kepiluan yang amat sangat. Pada hari Isnin, 8 Feb 2010 seorang bayi dibuang di hadapan rumah pegawai polis di Kedah, 9 Feb 2010 mayat bayi perempuan dijumpai tertanam di Bukit Mertajam dan pada hari Rabu 10 Feb 2010 seorang bayi yang masih bertali pusat ditemui mati di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di Kampung Permatang Duyong Melaka. Ketika ditemui bayi itu dihurungi semut. Dan yang terbaru pada 13 Feb 2010, dengan tali pusat yang masih segar dan uri melekat di tubuhnya, bayi lelaki berkulit cerah ini dicampakkan ke dalam tong sampah di Kuala Krai, Kelantan. Masyaallah …Tabarakallah

Saya perturunkan sebahagian rekod pembuangan bayi antara tahun 2000 hingga 2006. Ini hanya sumber yang direkod, bagaimana dengan bayi yang dibuang dan dibunuh tanpa di kesan. Angkanya terlalu menakutkan.

Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh Negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 200 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang telah membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT). Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari tahun 2000 hingga tahun lalu dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Berikut jadual antara 2000 hingga 2006



(Sumber Seminar kaunseling Keluarga 2008 – Hashim Hj Bedu et al)

Apa sudah jadi dengan anak-anak remaja kita pada hari ini. Apakah salah bayi-bayi tersebut sehingga dibuang, dibunuh dan dilempar begitu? Pada remaja, saya tahu darah muda mengalir dalam setiap pembuluh darah anda, anda berjiwa remaja ingin kebebasan dan keseronokkan tapi ini tidak bermakna kita harus mengikut nafsu bila berbuat sesuatu.

Sabda Rasulullah:
“Sesungguhnya syaitan itu menjalar dalam tubuh manusia bagaikan aliran darah. Maka bendunglah aliran itu dengan lapar”


Wahai remaja, jangan terpedaya dengan perhiasan dunia dan keseronokkan yang sementara. Anda jatuh cinta kepada seorang pemuda yang belum anda tahu hati budinya. Lalu anda wahai anakku! Tidak mengendahkan kata nasihat keluarga dan ibu bapa. Anda tinggalkan keluarga dan ibu bapa atas nama kononnya mengonkong hidupmu. Anda lebih percaya kepada “cinta suci” si jejaka yang pandai menggoda dengan kata-kata. Maka atas rasa nilai cinta, anda akhirnya tertipu dan terpedaya. Anda sanggup serahkan segalanya padahal anda terpelajar dan berpendidikan. Sedangkan anda masih punya pegangan agama: Islam sebagai penyelamat. Sedangkan anda percaya kepada dosa dan pahala tapi malangnya kerana kesoronokkan yang sementara anda tertewas dengan godaan syaitan. Anda serahkan kehormatan anda dan anda kehilangannya buat selama-lama. Bagi si jejaka, dia tidak kehilangan apa-apa.

“ Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main”
(Al-Ankabuut : 64)


Wahai anak-anak remajaku! Kini anda mula menyesal. Tapi apa gunanya. Anda sudah terlanjur dek bisikan syaitan. Bila anda berbadan dua pelbagai sesalan bermain di fikiran anda. Akhirnya anda membunuh benih hasil perbuatan haram anda ataupun anda membuang saja bayi anda itu setelah ia lahir ke dunia ini. Berkata anda di dalam hati “Dia bukan anakku…. ” Astagfirullah….bayi itu tidak berdosa. Mengapa ia perlu menanggung sengsara hasil perlakuan hina anda wahai anak-anak remaja! Sebab itu Allah melarang mendekati perbuatan zina, apatah lagi melakukannya.

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah sesuatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.”
(Al-Isra’:32)


Ibnu Qayyim Al Jauziyah dalam kitabnya “Penyakit dan Penawarnya” menghuraikan zina adalah jenayah yang paling besar, kerana dia merosak kemaslahatan, susunan alam dalam melindungi keturunan dan melindungi kehormatan,penjagaan terhadap yang haram, juga merosak kemaslahatan hingga menjerumus kepada kes jenayah.

Dirawikan dari Nabi Muhammad s.a.w, baginda bersabda:
“Di kaum Bani Israel ada seorang rahib. Syaitan hendak menjeratnya dengan cara merasuk ke tubuh seorang jariah. Kemudian diilhamkan ke dalam hati keluarganya agar mengubatinya saja kepada seorang rahib. Mereka membawa kepada rahib dan dia menolaknya. Namun mereka selalu dating hingga rahib itu terpaksa menerimanya.
Ketika jariah itu ada di sisi rahib untuk diubati, syaitan datang menggodanya sehingga sang rahib mendekat dan menjimaknya sampai jadi hamil. Syaitan lalu berbisik kepadanya,” Dia hanya akan mencemarkanmu saja bila keluargamu dating. Maka bunuhlah dia! Rahib itu lalu membunuh dan menguburkannya. Kemudian syaitan membisikkan kepada hati keluarganya bahawa rahib telah menghamili, membunuh dan mengubur anaknya. Apabila diketahuinya keluarga itu segera dating kepada rahib dan bertanya tentang anaknya. Rahib berkata yang dia telah mati. Namun mereka hendak menyeret dan membunuh rahib tersebut.

Maka syaitan menghampiri rahib dan berkata,”Akulah yang menyerupai jariah itu hingga sakit. Aku pula yang menggoda hati keluarganya. Maka taatlah kepada ku, tentu kau ku selamatkan dari mereka.”
“Dengan apa/”Tanya rahib.
Syaitan berkata,”Bersujudlah kepadaku dua kali!” Kemudian rahib sujud kepada syaitan dua kali, lantas syaitan berkata,”Sungguh aku tidak perlu menanggungmu”

Inilah juga yang diperingatkan oleh Allah SWT:

“Dan seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia : Kafirlah (menyangkallah) engkau. Maka tatkala manusia itu kafir ia berkata: Aku berlepas diri daripadamu….”
(As-Hasyr : 16)


Sememangnya anak-anak remaja, bila hati dan darah muda anda memberontak, anda mudah tersesat dalam mencari diri. Hanya remaja yang benar-benar beristiqamah dalam perjuangan menentang nafsu dan menjadikan Islam yang berteraskan AlQuran dan Sunnah sebagai perisai yang dapat mengharungi pancaroba hidup. Apatah lagi dalam kehidupan dunia sekarang yang penuh fitnah dan maksiat. Remaja hari ini dimomokkan dengan hiburan yang melampau sehingga mereka mudah menyeleweng (dari jalan yang benar) dan syaitan laknatullah sentiasa dibisikkannya dengan nafsu ammarah bi suu’ (nafsu yang menggoda manusia melakukan kejahatan) yang akhirnya mencampakkan remaja ke lembah kemaksiatan. Apabila kamu wahai anak-anakku para remaja, tenggelam dalam lautan maksiat dan syahwat maka jatuhlah taraf anda menyamai taraf seekor binatang

Wahai anak-anak remaja, jika anda sudah terlanjur atau hidup bergelumang dosa, itu bukan bermakna berakhirnya hidup dan masa depan anda. Biarpun anda sudah tergelincir di lembah penuh dosa dan merasakan jauh dari Allah tapi anda sebenarnya masih punya peluang untuk kembali mencari jalan pulang.Pintu taubat masih sentiasa terbuka pada setiap saat dan detik. Anda boleh mengetuk pintu taubat pada bila-bila masa selagi anda belum dijemput oleh Malaikat maut. Pulanglah kepangkal jalan. Bertaubatlah ..Seungguhnya Allah pasti akan menerima taubat mu asalkan anda bersungguh-sungguh dan menyesali apa yang telah dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun terhadap orang yang bertaubat dan beriman dan beramal soleh kemudian dia menerima petunjuk.”
( Surah Thaha: 82)


Wahai anak-anakku, bersegeralah bertaubat. Ingat pada Allah, kasihanilah ibu bapa anda dan yang pasti cintailah diri anda yang masih muda remaja. Perjalanan hidup anda masih jauh. Usah terus tersesat dan tersesat. Bertaubatlah sebelum ketinggalan atau terlepas peluang untuk bertaubat . Yang lebih mengerikan…bertaubatlah wahai anakku sebelum ajal menjemput kamu dan sebelum orang yang berdosa itu berkata:

(demikian keadaan orang-orang kafir itu) hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata:”Ya Tuhanku, kembalikan aku (ke dunia) agar aku berbuat amal soleh terhadap yang aku telah tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkanny saja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.”
(Al-Mu’minun :99-100)


Semoga Allah memberi kita taufik untuk bertaubat dan memohon keampunan dari Nya.
Amin. Jumpa lagi…Insyaallah

Rujukan

Dr Soleh bin Ghonim As Sadlani. Rahsia taubat dan Istighfar. Al Hidayah 2008

Hashim Hj Bedu et.al. Keruntuhan Akhlak dan Gejala Sosial Dalam Keluarga: Isu dan cabaran. Kertas Kerja di Seminar Kauseling Keluarga 2008

Ibnu Qayyim Al Jauziyah. Penyakit dan Penawarnya. Jilid2 Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2009

Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008

Imam Habib Abdullah Haddad, Nasihat Agama Dan Wasiat Iman, Pustaka Nasional, Singapura. 2001

M.Ali Chassan Umar . Alam Kubur: Digali dari Al Quran dan Hadith. Cetakan C.V Toha Putra. Singapura.1980

Read more...

Wednesday, February 17, 2010

Bila bercuti panjang

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.


“ Barangsiapa yang ingin kepada kehidupan dunia dan perhiasannya. Kami akan bayar secukupnya terhadap perbuatannya di dunia, dan mereka tidak akan dirugikan. Mereka tiada mendapat di Hari Akhirat kelak, melainkan balasan api neraka, dan di sana tiada berguna segala apa yang mereka usahakan, dan sesialah apa yang telah mereka kerjakan dulu.”
(Surah Hud :15-16)



Saya mengambil keputusan berehat panjang sempena cuti Tahun Baru Cina kali ini. Saya tinggalkan dunia internet buat seketika. Malahan saya juga tidak membuka komputer meja atau komputer riba saya sepanjang tiga hari bercuti. Saya habiskan masa membaca akhbar dan membelek-belek beberapa buah buku yang saya beli tapi tidak terbaca kerana kesuntukkan masa.

Namun kadang kala bercuti panjang tanpa melakukan apa-apa akan menyebabkan kita mula terasa malas. Badan terasa berat. Mata sering saja ingin beradu dan minda mula terasa lemah. Maka teringat akan saya pesan Luqman Al Hakim mengenai sikap malas dan gelisah.

Kata Luqman kepada puteranya,”Puteraku, jauhilah kemalasan dan kegelisahan. Apabila kamu malas, kamu tidak boleh melaksanakan tugasmu. Sementara apabila kamu gelisah, kamu tidak mampu bersabar melaksanakan tugasmu.”

Bila berehat terlalu panjang maka pelbagai perkara akan menerobos dan bermain di fikiran. Macam-macam benda yang difikirkan. Kadangkala terhenti lamunan saya seketika, lalu terdetik di dalam hati : Alangkah baiknya bila bermenung panjang begini saya gunakan untuk bermuhasabah diri. Menghitung segala dosa yang sering dilakukan, merenung kembali betapa banyak masa kita bazirkan dengan membuat kerja yang sia-sia dan mencongak berapa banyak amalan yang kita sudah kumpulkan untuk dibawa sebagai bekalan akhirat.

Teringat saya petikan “Bimbingan mukminin “ karangan Imam Al Ghazali tentang bagaimana perlunya kita mengenang nasib diri :

Setiap pagi setelah solat subuh, hendaklah kita mengosong hati kita dari segala perkara yang lalu. Mengenang nasib dan berkata kepada diri sendiri: Aku tidak mempunyai sesuatu benda yang berhargapun untuk diriku selain dari umurku saja. Setiapkali ku rasa umurku berlanjutan, setiap kali itulah ku rasa modalku berkurangan. Hari ini adalah suatu hari yang baru yang telah ditakdirkan oleh Allah bagiku untuk hidup lagi. Dipanjangkan umurku serta dibenarkan aku mengecap nikmatNya lagi. Awas! Jangan sampai kau sia-siakan hari ini, kerana setiap nafas dari nafas-nafasmu adalah mutiara yang tidak boleh dinilai. Janganlah engkau bermalas-malas dan condong pada melakukan sesuatu yang tak berguna atau berehat-rehat saja, sehingga engkau terluput dari tingkatan-tingkatan yang tertinggi yang dijanjikan kepada orang yang berpangkat ‘illiyin (tingkatan tertinggi yang diredhai Allah) seperti yang dicapai oleh orang lain, sedangkan engkau tidak dapat apa-apa.

Masyaallah, betapa ruginya saya. Bila duduk bermenung kononnya hendak bermuhasabah dan bermuraqabah (meneliti diri) tapi seringkali saya tertewas. Yang pastinya banyak berlegar di benak saya melebihi permasalahan duniawi dari persoalan akhirat. Dan yang paling membimbangkan apabila panjang angan-angan bermain di kotak pemikiran kita. Ini menunjuk betapa lemahnya iman orang awam seperti saya.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Siapa menyintai dunia dan mengagungkannya, hilanglah ketakutan terhadap Akhirat dari hatinya.”


Adam as berwasiat kepada anaknya Syits dan diperintahkannya agar wasiat itu disampaikan kepada anak-anaknya sesuadah itu. Wasiat itu ada Lima perkara.

Pertama : Katakan kepada putera-puteramu, janganlah kalian terpaut kepada dunia. Sesungguhnya aku di Syurga terpaut dengan yang tidak seberapa, kemudian Allah mengeluarkanku darinya.

Kedua: Katakan kepada mereka, janganlah kalian turuti kehendak isterimu, sesungguhnya akau telah menuruti kehendak isteriku dan aku makan syajarah, namun akhirnya aku menemui penyesalan.

Ketiga: Katakan kepada mereka, jika hendak berbuat sesuatu fikirlah apa akibatnya. Kalaulah aku fikirkan akibatnya tentulah aku tidak menerima nasib ini.

Keempat : Jika hatimu terpaut oleh sesuatu tinggalkan saja ia. Sesungguhnya ketika aku makan syajarah, hatiku amat terpaut padanya, namun aku tidak kembali sehingga ditimpa penyesalan.

Dan Kelima : bermesyuaratlah dalam segala urusan. Jika aku bermesyuarat dengan para Malaikat, tentulah nasib seperti ini tidak akan menimpaku.”

Masa berlalu begitu pantas sekali. Hari berganti hari…tup…tup sedar tak sedar cuti dah nak habis. Termenung saya sejenak memikirkan apa yang telah saya manfaat dan lakukan sepanjang cuti. Keinsafan dan kesedaran datang dan pergi bersilih ganti. Lemahnya iman. Sekejab ingat sekejab boleh lalai dan alpa. Bak kata sahabat saya berseloroh bercerita tentang keinsafan Mat Rempit. Bila lihat rakan meninggal kerana terlibat dalam kemalangan, perasaan insaf mula meresap. Lepas itu bawa motorpun perlahan dan berhati-hati. Tapi insafnya pada hari tu saja, esok bila dah lupa, maka merempitlah balik tak ingat dunia.

Moga-moga saya dan para pembaca sentiasa mengambil iktibar dan bermuhasabah diri. Semoga Allah terus memberi kita kekuatan untuk terus beribadah dan beriman kepada-Nya.
Dan Semoga kita tidak termasuk di kalangan mereka-mereka yang rugi! Amin

Insyaallah…Jumpa Lagi.

Rujukan

Imam Al Ghazali. Terjemahan Syed Ahmad Semait. Bimbingan Mukminin. Pustaka Nasional Pte.Ltd. Singapura 1999

Imam Al Ghazali. Penenang Jiwa. Wholesale-Mart Point Sdn. Bhd, Selangor.d.Ehsan. Cetakan keduabelas 2008

Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Pustaka Nasional Pte.Ltd. Singapura 2001

Syarif Hade Masyah . Menjadi Ibu Bapa Genius: Berdasar Nasihat Luqman Al Hakim. Pts Millenia Sdn Bhd. Selangor.2007

Read more...

Friday, February 12, 2010

Hari Valentine : Memesong Aqidah Remaja

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.

"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya."
( Al-Isra: 36)


Semalam saya membuka e-mail saya. Sudah hampir tiga hari saya tidak membuka e-mail kerana kurang kesempatan walaupun masih punya masa untuk menulis coretan dalam blog ini. Puluhan e-mail dari rakan dan saudara saya tersadai dalam inbox e-mail saya.
Salah satu e-mail yang saya buka dikirim oleh seorang anak muda yang menuntut di Pulau Mutiara. Pemuda tersebut menghantar e-mail kepada saya tentang rancangan pertubuhan sukarelanya yang akan mengadakan Program Membenteras Gejala Sosial Hari Valentine. Saya kenal benar dengan anak muda ini. Gigih dan berhati kental memperjuangkan isu-isu mengenai keislaman. Bila berbicara dengan nya, anak muda ini akan bersemangat menceritakan tentang kepentingan meletakkan Islam sebagai cara hidup dalam masyarakat hari ini. Kadang kala bicaranya agak keras bila memperkatakan mengenai sesuatu isu sensitif. Biasalah anak muda tapi nasihat saya, beliau perlulah berhati-hati dalam menyampaikan dakwah. Contohilah Rasulullah apabila berdakwah,tenang, tidak terbuiru-buru dan sabar.

Sambutan Hari Valentine atau Hari memperingati kekasih ini sebenarnya hanya baru menular dalam masyarakat kita. Pada tahun-tahun 80an dan 90an budaya ini tidak wujud dan kedengaran langsung. Malahan kalau adapun mungkin ia bagaikan khabar yang ditiup angin. Datang dan berlalu tanpa dipeduli. Tapi hari ia sudah menjadi bagaikan satu budaya kepada remaja. Para remaja ternanti-nanti tarikh 14 Februari untuk merayakannya bersama para kekasih. Kedai-kedai cenderahati dan kedai bunga mengaut keuntungan dengan menjual cenderamata kenangan untuk para sang kekasih
Saya melihat fenomena ini bagaikan satu episode malang bagi remaja Islam. Malang seribu kali malang bagi remaja Islam kita hari ini yang mengikut budaya nasrani tanpa menyelidiki sejarah asal usulnya. Kita meniru budaya-budaya barat secara membuta tuli tanpa memikirkannya dari sudut dan pandangan keagamaan. Tidak salah meniru dari mana-mana budaya sekalipun tapi biarlah sesuatu yang ditiru itu mendatang manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Yang lebih penting tidak bercanggah dengan tuntutan agama Islam. Banyak budaya dan amalan yang baik boleh kita contohi seperti budaya membaca, budaya menjaga kebersihan dan sebagainya, tetapi mengapa yang buruk, yang keji dan yang bertentangan dengan akidah dan syriat Islam yang menjadi ikutan.

“…janganlah engkau ikuti hawa nafsu hingga menyesatkanmu dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat,kerana mereka melupakan hari perhitungan”
(Surah Shad : 26)


Saya teringat kata-kata seorang pendakwah barat yang sebelum memeluk Islam bernama Cat Steven dalam salah satu ceramah beliau:
“Masyarakat Barat umpama kapal yang hampir tenggelam, tetapi yang menghairankan saya ramai orang-orang Islam (terutama para remaja) berebut-rebut membeli tiket untuk menaiki kapal tersebut.”

Bagi saya, kesalahan tidak boleh diletakkan di atas batu jemala remaja semata-mata. Kecetekan ilmu agama, kepincangan keluarga, kekurangan sumber, mendapat pendidikan yang tidak menjurus kepada agama disamping pengaruh sekeliling dan rakan sebaya merupakan antara faktor yang turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan moral remaja. Bagi saya pengaruh yang banyak menyuntik budaya negatif dari barat sebahagian besarnya dimainkan oleh media massa. Lihatlah media massa hari ini baik media cetak mahupun elektronik, mempamerkan dan menyiarkan unsur-unsur bertentangan dengan nilai agama dan budaya kita bagaikan tanpa sekatan. Bukalah tv dan tekanlah mana-mana saluran, hampir kebanyakannya diisi dengan slot hiburan. Remaja hari ini dimabukkan dengan hiburan yang melampau. Video-video klip yang disiarkan sungguh memalukan dan memualkan.

Begitu juga dalam majalah dan akhbar. Gambar-gambar artis bergambar seksi dalam aksi-aksi menghairahkan kadang kala menghiasi bahagian sisipan hiburan. Saya menjadi keliru. Bahagian depannya beria-ia mencanangkan mengenai keruntuhan akhlak dan moral remaja tapi pada masa yang sama dan dalam akhbar atau majalah yang sama menyiarkan berita serta gambar – gambar artis yang ternyata tidak secocok dengan kehendak agama dan budaya kita. Masyallah Tabarakallah.

Sebenarnya inilah peranan yang dimainkan oleh puak yahudi dan nasrani. Memasukkan jarumnya secara halus tanpa disedari. Memomokkan remaja dengan agenda hiburan yang melampau, mendekatkan hati remaja dengan hari-hari perayaan mereka dan akhirnya berpakaian dan berperangai seperti mereka.

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka."
(al-Baqarah :120).


Kepada para remaja,ingatlah bahawa merayakan sesuatu perayaan yang dilarang oleh Islam tentulah merupakan satu dosa yang besa kepada Allah Ta’ala. Bagi remaja yang saying dan cinta kepada Islam dan saudaranya, nasihatlah rakan-rakan anda jika mereka dalam perjalanan untuk terjerumus ke arah sana. Merayakan Hari valantine hanya akan mengakibatkan kerosakkan dari segi akidah, pemikiran dan pegangan kita sebagai umat Islam. Antaranya ialah:

1. Merayakan Valentine bererti kita meniru-niru perayaan dan budaya orang kafir
Sabda rasulullah s.a.w :
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian dari mereka.” (HR. Ahmad dan Abu Dawud

2. Meagung-agungkan golongan kafir yang ternyata merupakan musuh Allah
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."
(. Al- Baqarah: 120)

3. Memberi ucapan Selamat sempena hari Valentine ternyata akan membawa kita terjerumus dalam kesyirikan dan kemaksiatan
“Valentine” sebenarnya berasal dari bahasa Latin yang berarti: “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat dan Yang Maha Kuasa”. Kata ini ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Ini kerana Hari valentine merupakan lebih kepada perayaan keagamaan dan ternyata member ucap selamat seolah-olah kita merestui dan membenarkan tentang agama mereka. Na’udzu billah min dzalik

Ini berdasarkan apa yang dikemukakan oleh Ibnul Qoyyim rahimahullah dalam kitabnya Ahkamu Ahlidz Dzimmah (1/441, Asy Syamilah). Beliau rahimahullah mengatakan, “Adapun memberi ucapan selamat pada syi’ar-syi’ar kekufuran yang khusus bagi orang-orang kafir (seperti mengucapkan selamat Hari Krimas, Deepavali atau selamat hari valentine sebagainya) adalah sesuatu yang diharamkan berdasarkan ijma’ (kesepakatan) kaum muslimin.

4. Menyambut Hari Valentine akan menjerumus remaja ke lembah kemaksiatan dan penzinaan.
Atas nama kasih saying, akan berlakulah perkara-perkara maksiat seperti berpesta, parti-parti liar, hubungan remaja tanpa batasan yang akhirnya mendorong ke arah kemaksiatan dan penzinaan.

“Syaitan atu menjanjikan kepadamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat jahat”
(Al-Baqarah : 268)


Diceritakan Abul Hassan Ar Razi bermimpi ayahnya yang telah meninggal dunia kelihatan seperti ahli neraka. Lalu Abu Hassan bertanya dan dijawab oleh ayahnya:
“Wahai anakku, nafsuku telah menyeret aku ke Neraka. Takutlah engkau wahai anakku terhadap tipuan nafsumu”

Sesungguhnya aku diuji empat perkara.
Selalu menjeratku dalam binasa.
Iblis, dunia, nafsu dan syahwat.
Bagaimana selamat sedangkan mereka musuh semuanya
Kulihat syahwat dan keinginanku.


Kepada anak-anak muda yang cekal hati dan bertekad memperjuangkan Islam serta memerangi segala perbuatan mungkar. Syabas saya ucapkan. Moga Allah sentiasa melindungi anda semua. Ingatlah! Anda adalah anak-anak muda yang memiliki semangat pejuang Salehuddin AlAyubi yang sentiasa beristiqammah dalam perjuangan demi menegakkan panji-panji Islam.

Saya sampaikan info dari anak muda yang mengirimkan e-mail untuk maklumat para pembaca.

Program Ops Sayangi Remaja. Brkmpl di Msjd Kubang Boya, B’worth. 14 Feb jam 7mlm. Daftar di Msjd pd mlm trsbt.
Nurfitri Amir Muhammad
Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)
Persatuan Ulama' Malaysia P.Pinang (PUMPP)

Rujukan

Dr Ahmad Hatta.M.A. Tafsir Qur’an Per Kata.Pustaka Maghfirah, Jakarta, Cetakan kedua 2009

Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008

Dr Soleh bin Ghonim As Sadlani. Rahsia taubat dan Istighfar. Al Hidayah Publications, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.2008

Read more...

Thursday, February 11, 2010

Ayah dan Ibu 2

Bismillahirrahmannirahim

Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.


“Dan sembahlah Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan–Nya dengan sesuatu apa pun, dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik”
(An-Nisa :36)


Petang Sabtu, saya mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menziarahi ibu tercinta di kampung. Hampir dua minggu saya tidak berkesempatan berjumpa ibu. Namun saya tetap menghubungi ibu melalui telefon. Walau sesibuk manapun, saya akan pastikan berjumpa dengan ibu dan menatap wajahnya walaupun sekejab. Apatah lagi apabila mendengar suara ibu lemah melalui telefon. Perasaan dan hati saya akan pasti bergelodak untuk berjumpa ibu.

Cuaca panas yang membahang membuatkan saya rasa agak mengantuk memandu di lebuh raya. Apatah lagi dengan suasana lebuh raya yang agak lenggang disulami pemandangan kiri kanan lebuh raya yang hanya dihiasi pokok-pokok hutan ternyata agak membosankan. Saya memberhentikan kereta di salah sebuah hentian sebelah untuk berehat. Mata yang tadi mengantuk, tak mahu pula pejam bila tiba di perhentian rehat. Sambil berehat saya membelek majalah MILENIA yang sudah lama terbiar dalam kereta .

Perasaan saya direntap pilu bila membaca beberapa artikel utama dalam majalah tersebut. Kisah penderhakaan anak terhadap kedua ibu bapa yang semakin menular di kalangan masyarakat kita dalam dunia moden hari ini. Betapa anak-anak zaman mutakhir kini sanggup membuang, mendera, menghina malahan menyaman ibu bapa hanya kerana mengejar nikmat dan kebahagiaan dunia yang sedikit. Mereka sanggup membiarkan hidup ibu bapa mereka terbiar dan penuh kedaifan hanya kerana ingin mencari habuan dunia dan kebahagian yang sementara.

“Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”
(Al-i-‘Imran :185)


Kepada anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa, sedarlah berapa lama kamu ingin hidup di dunia ini. Hari ini mereka yang menganiaya ibu-bapa mereka mungkin berada di atas singahsana kemewahan. Namun mereka tidak muda selamanya. Suatu hari pasti datang, mereka akan semakin berusia dan anak-anak mereka pula mula membesar. Apakah mereka tidak pernah terfikir balasan daripada Allah Ta’ala atas sikap kurang ajar mereka terhadap ibu bapa sendiri. Apakah hati mereka sudah mati. Masyaallah!

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak”
(Al-Hadid :20)


Golongan anak-anak derhaka ini bukan sahaja terdiri dari golongan bawahan yang kurang terpelajar, malahan ada di kalangan Si Tanggang moden ini mempunyai kelulusan sehingga di peringkat PHD. Mereka tidak pernah terlintas apatah lagi terfikir bagaimana besarnya pengorbanan ibu bapa kepada mereka. Wujudkah akan mereka jika tanpa kehadiran kedua ibu bapa mereka ?. Apakah boleh mereka ditakdirkan Allah lahir di dunia ini tanpa kedua ibu bapa mereka?

Hai anak derhaka…renunglah betapa susah dan derita ibu mengandungkan anda. Betapa siksa ibu menyabung nyawa semasa melahirkan anda wahai anak yang hebat. Bagaimana ibu bapa bersengkang mata menjaga kamu semasa masih sebesar dua tapak tangan. Siapa yang menyelimuti anda semasa anda kesejukkan di waktu malam. Siapa yang membasuh lampin dan baju untuk anda memakainya dengan bergaya. Siapa yang memujuk dan menyuapkan makanan ke mulut anda untuk anda terus hidup. Siapa yang menyisir rambut anda agak kemas bergaya. Siapa yang setia menunggu anda semasa hari pertama persekolahan. Siapa yangmelakukan semua itu untuk anda? Tentulah ibu. Ibu yang menyayangi anda sepenuh jiwa dan raga. Pastinya ayah yang berkorban apa saja untuk anda. Mengapa anda perlu menderhaka kepada mereka.


“Dan kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandung dia dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula; mengandunmg dan menyusuinya selama 30 bulan.”
(Al-Ahqaf :16)


Patutlah hari ini, (tak perlu tengok negera orang lain) lihatlah pada negara kita. Pelbagai bala dan musibah menimpa negara kita atas perbuatan manusia itu sendiri. Banjir besar, ribut taufan, Tsunami, perpecahan ummah dan pelbagai musibah lagi adalah kerana kita sudah melupakan untuk meletakkan Islam sebagai fitrah kehidupan. Salah satu sebab bala dan musibah menimpa kita ialah kerana wujudnya Si Tanggang moden dalam masyarakat kita. Teringat saya tentang salah sebuah hadith Rasulullah s.a.w.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh At-Tarmizi daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah mereka ditimpa bencana iaitu:
1. Apabila harta yang dirampas (daripada peperangan) diagih-agihkan kepada orang-orang yang tertentu sahaja.
2. Apabila zakat dikeluarkan kerana penebus kesalahan (terpaksa).
3. Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri dan peluang dapat keuntungan
4. Apabila suami terlalu mentaati isteri.
5. Apabila anak-anak menderhakai ibu bapa masing-masing.
6. Apabila seseorang lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.
7. Apabila kedengaran banyak bunyi bising.
8. Apabila lebih ramai berbicara mengenai hak keduniaan di dalam masjid.
9. Apabila pemimpin sesuatu kaum itu terdiri daripada orang yang dihina.
10. Apabila memuliakan seseorang kerana takutkan tindakan buruknya.
11. Apabila arak menjadi minuman biasa.
12. Apabila lelaki memakai sutera.
13. Apabila perempuan dijemput menghiburkan lelaki.
14. Apabila wanita memainkan alat-alat muzik.
15. Apabila orang yang terkemudian menghina orang terdahulu,


Hati saya di runtun pilu membaca nasib ibu bapa yang dibuang oleh anak-anak yang derhaka. Ia benar-benar menginsafkan saya sebagai makhluk kecil di sisi Allah Ta’ala. Berlinang air mata saya mengenangkan nasib ibu bapa yang diabaikan. Saya memohon kepada Allah agar sikap-sikap sebegini tidak wujud dalam diri saya. Beruntung kepada mereka yang masih punya ayah dan ibu. Berbaktilah kepada ibu bapa kita selagi mereka masih ada.

Saya meneruskan perjalanan. Kali ini mata saya segar bugar mengenangkan ibu tercinta di kampung. Hati saya meronta-ronta tidak sabar menemui ibu. Kepada ibu…biarpun saya jarang bertemu tapi percayalah setiap detik dalam hati dan jiwa saya yang ada hanyalah ibu selepas Allah dan Rasul.
Kereta saya meluncur laju menuju destinasi.

Semoga Allah akan memberi rahmat –Nya kepada kedua ibu bapa kita di atas segala jasa dan pergorbanan mereka. Amin.

Insyallah…Moga jumpa lagi.

Rujukan

Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agfama dan Wasiat Iman.Pustaka Nasional Pte.Ltd. 2001

Dr Ahmad Hatta.M.A. Tafsir Qur’an Per Kata.Pustaka Maghfirah, Jakarta, Cetakan kedua 2009

Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008

Majalah Milenia Muslim.MMP Com. Sdn Bhd. Januari 2010

Read more...

Monday, February 8, 2010

Ayah dan Ibu 1

Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.

"...dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. “
(Surah al-Isra’, ayat 23)


Pagi Sabtu lalu semasa keluar bersarapan dengan rakan-rakan, aku sempat singgah membeli beberapa naskah akhbar untuk di baca. Kami singgah di sebuah astaka untuk bersarapan pagi. Orang ramai sudah memenuhi ruang astaka. Aku meninjau-ninjau mencari tempat kosong untuk kami melabuhkan diri. Semua meja di astaka tersebut penuh, maklumlah hari ini hari Sabtu, kebanyakkan orang ramai tidak bekerja. Setelah berdiri hampir lima minit akhirnya kami berjaya mendapat tempat duduk untuk bersarapan.

Sambil menikmati sarapan, aku sempat menyelak beberapa helaian sebuah akhbar tabloid. Tiba-tiba aku tertarik dengan tajuk sebuah berita :”Tadika tawar jaga anak dirantai”. Berita itu memuatkan kisah bagaimana seorang pemandu teksi di China yang terpaksa merantai anaknya pada sebatang tiang lampu di sebuah kompleks membeli belah di Huaguan, Beijing. Perbuatan pemandu teksi itu mungkin kejam dipandangan sesetengah orang, tetapi itulah nilai kasih sayang seorang ayah yang di hempap kemiskinan. Beliau tidak mampu menghantar anaknya ke pusat jagaan atau tadika, tapi pada masa yang sama perlu keluar mencari rezeki untuk menyara anaknya.Beliau tidak mahu peristiwa kehilangan anak perempuannya berumur empat tahun semasa bermain dengan rakan-rakan berulang.

Teringat saya pada bait lirik lagu “Kasih Ibu” nyanyian Najib Hanif dan juga Sharifah Aini:

Kasihnya ayah
Sanggupkah berpisah
Dan kasih anaknya
Berkorban nyawa


Itulah pengorbanan seorang ayah. Rela bekorban harta dan nyawa demi membesarkan anak-anak. Walaupun kadang kala kehadiran ayah dalam keluarga kurang dirasakan kerana kesibukkan ayah mencari rezeki, namun kasih sayangnya kepada anak-anak tidak pernah luntur. Hanya Allah yang mengetahui di dalam hati kecilnya.
Mungkin ada yang berpendapat terdapat ayah yang tidak bertanggungjawab, malahan ada yang merosakkah kehidupan anak-anak sendiri. Namun spesies yang begitu hanya segelintir. Janganlah kerana segolongan kecil yang berperangai sebegitu kita menganggap semua ayah tidak bertanggung jawab.

Seburuk-buruk manapun atau sejahat-jahat manapun dia tetap ayah kita. Hubungan dan ikatan persaudaraan antara seorang ayah dengan kita sebagai anak tak akan terputus. Jika dia tidak bertanggungjawab, maka serahlah segala urusan tersebut kepada ALLAH.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Al-i-‘Imran :26


Saya terkenang sebuah berita yang pernah disiarkan dalam akhbar dua tahun yang lalu (kalau saya tak silap). Berita itu menghantui saya selama beberapa minggu. Kisah seorang ayah di ibu kota yang benar-benar dalam kesempitan hidup untuk menyara anak dan keluarganya. Beliau telah pergi ke sebuah pusat membeli belah dan meninggalkan isteri dan anak-anaknya di dalam kereta. Alasannya ingin membeli susu anaknya yang menangis kelaparan. Semasa isteri dan anak-anak menunggu di dalam kereta, si ayah telah cuba melakukan rompakan di sebuah kedai emas. Malangnya semasa melarikandiri dengan hanya beberapa utas barang emas sahaja, si ayah telah di tembak mati oleh pengawal keselematan. Mungkin ada yang mengatakan itulah balasan orang yang merompak. Tetapi pernahkah kita terfikir apa yanga da di dalam benak si ayah. Apa yang difikirkan olehnya tak lain tidak bukan hanya untuk memberikan sinar kebahagiaan kepada keluarga. Namun si ayah telah tersalah langkah. Kita kadangkala hanya menaruh simpati akan nasib seseorang itu tetapi kita tidak pernah empati dan cuba masuk ke dalam diri mereka dan melihat punca segala masalah. Si ayah sanggup berkorbannyawa dan maruahnya demi untuk sesuap nasi anak-anaknya.

Adalah malang bagi si ibu dan ayah pada hari ini jika anak-anak tidak mahu mengenang segala jasa dan pengorbanan mereka. Malahan kita lihat Kisah Si Tanggang moden semakin menjadi-jadi. Mengikut perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, 30% penghuni rumah kebajikan dihantar oleh anak-anak mereka sendiri. Masyaallah Tabarakallah. Apa sudah jadi dengan anak-anak zaman muttakhir ini?
Memang tidak kita nafikan, pengorbanan ayah tidaklah sehebat pengorbanan ibu. Namun ia tetap memberi cinta dan kasih sayang kepada anak-anak dengan caranya sendiri. Biarpun tegas dan garang tapi disudut hati kecil ayah sayang dan kasih akan anak-anaknya. Hargailah pengornbanan ayah dan ibu kita apatah lagi jika mereka masih ada. Kepada anak-anak muda dan pasangan yang baru mendirikan rumahtangga, ini pesan saya sebagai peringatan diri dan juga para pembaca:

Kita boleh kehilangan kekasih, seorang suami atau isteri namun ia pasti dapat diganti dengan insan yang lain. Tapi jika kita kehilangan ayah dan ibu, maka itulah satu-satunya ayah dan ibu kita di dunia ini. Sesungguhnya tiada ada insane lain yang boleh menjadi galang ganti ibu dan ayah kita.

Islam sesungguhnya telah mengajarkan birrul walidain, memuliakan ibu tanpa sedikitpun melupakan ayah. Saya sudah tidak punya ayah. Hanya Al fatihah yang sentiasa saya iringi untuk ayah. Bagi yang masih punya ayah, anda masih beruntung. Hargailah pengorbanan mereka. Renungkan kembali saat bersama mereka. Sesuatu yang indah dan saat itu tak akan berulang kembali. Ayah dan ibu sebenarnya tidak meminta apa-apa daripada anak-anak, cuma yang ditagih hanya kasih sayang daripada anak-anak dan ini sudah cukup membahagiakan. Renunglah wajah dan sinar mata mereka. Entah bila mereka akan pergi menemui Allah Azawajalla untuk selama-lamanya.

Subhanallah...

Semoga Allah mengampuni segala dosa ayah dan ibu dan menempatkan mereka bersama orang-orang beriman. Amin.
Jumpa lagi. Insyaallah.

Rujukan

Dr Ahmad Hatta.M.A. Tafsir Qur’an Per Kata.Pustaka Maghfirah, Jakarta, Cetakan kedua 2009

Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008

Imam Ghazali. Terjemahan Syed Ahmad Semait: Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional, Singapura.1999

Si Tanggang Moden, Majalah Milenia Muslim.MMP Com. Sdn Bhd. Januari 2010

Read more...

Friday, February 5, 2010

Aduka Taruna Yang Merana

Bismillahirrahmannirahim

Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.

“Di hari lidah,tangan dan kaki mereka menjadi saksi terhadap segala perbuatan yang telah mereka kerjakan.”
(An-Nur :2)4


Petang itu cuaca begitu panas sekali. Selepas menikmati makan tengahari, saya sempat menjengah pejabat sahabat saya untuk bertanya khabar. Selepas bersalam dan bertentang mata kami memulakan perbualan kami. Saya dan sahabat saya kerap berjumpa untuk bertanya-tanya khabar dan membincangkan hal-hal semasa sekadar lima atau sepuluh minit. Kadang-kadang kami bertukar pendapat dan kadang kala kami berselisih pendapat tetapi semuanya itu akan berakhir dengan baik

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : “ Tiada sempurna iman seseorang kamu, sehingga ia mencintai saudaranya, sebagaimana ia mencintai diri sendiri.”

“Saudara kenal Aduka teruna?” tanya sahabat saya.
Saya senyum. “Tak..” jawab saya pendek.
“Tapi kalau Aduka Semerah Padi saya kenallah,” sambung saya berseloroh.
“Lebih kurang sama jugalah tapi Aduka Teruna ni kurang ajarnya lagi lebih. Alah dia nilah yang kena tangkap tulis benda menghina almarhum Sultan Johor.”
“Oo..ya baru saya ingat. Apa hal…kau nak bincang tentang tulisan dia yang menghina sultan dalam blog ka?”
“Tak……sebenarnya sebelum menghina sultan dia telah menulis dalam blognya lebih teruk daripada itu. Saya pun tahu hanya bila membaca komen dalam ruang blog Dr Maza. Memang padan kena tahan. Sepatutnya tuduhan ditambah lagi kerana menghina isteri , para sahabat Rasulullah dan juga para ulama’!”
“Betul ka ni?”
“Betul….tak percaya nanti buka blog dia atau blog Dr Maza.” balas sahabat saya .
“Ok. Nanti saya baca, Junpa lagi nanti……assalamualaikum,’ saya memohon diri dan .meninggalkan sahabat saya dengan kemarahannya.

Malam itu saya mengambil masa sebahagian malam untuk melayari blog si Aduka Merana. Saya tidak mahu menuduh atau menulis tanpa bukti. Bahaya akan ditempah jika menggunakan lidah untuk menyampaikan sesuatu berita yang tidak benar-benar berlaku. Inilah yang dinamakan dusta. Ingatlah..saya berpesan pada diri sendiri dan para pembaca, berdusta atau berbohong adalah dosa besar dan bertentangan dengan sifat iman.

“ Hanyalah orang-orang yang tiada percaya kepada keterangan Allah itulah yang mengada-adakan kedustaan, dan merekalah orang-orang pendusta.”
(An-Nahl :105)


“Kami mengharapkan kutukan Allah menimpa orang-orang yang mendusta.”
(Ali-Imran : 61)


Ternyata apa yang dikatakan oleh rakan saya benar. Saya mengucap panjang membaca kebanyakkan artikel yang dipostkan oleh Aduka dalam blognya. Penuh dengan kata-kata nista, cacian, hinaan dan beberapa perkataan kotor yang tak sepatutnya ditulis oleh seorang yang bertamaddun. Sasarannya Saiditina Aishah r.ha, Imam Shafie, para sahabat Rasulullah, para ulama terdahulu dan kini. Menghina isteri Rasulullah dengan perkataan mangkuk dan bangang adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan, Setelah membaca blog Aduka saya membuat kesimpulan yang beliau seorang yang BIADAP dan KURANG AJAR. Jiwanya ternyata kacau dan saya jangka kemungkinan terdapat skru longgar yang perlu diperketatkan dalam kepala beliau.

Aduka ingat dia boleh tulis apa sahaja yang dia suka. Yang menyedihkan ialah, adakalanya Aduka mendabik dada dengan tanpa rasa bersalah bila orang memberi teguran di atas tulisan-tulisannya. Bila menulis dan memperlekehkan insan lain ,dia ingat dia pandai tetapi hakikatnya dia seorang yang bengong dan bangang. Menulis tanpa ilmu dan ikut hatinya yang penuh berkarat dengan kejahatan. Anda boleh melayari blognya http://adukataruna.blogspot.com/ atau laman blog Dr Maza http://www.drmaza.com/home/ untuk melihat kesahihan tuduhan saya.

Teringat saya tentang nasihat kelapan, Imam Ghazali dalam kitab “Ayyuhal Walad”. Pesan beliau: Wahai anakku yang tercinta, Ilmu tanpa amal ialah gila, Amal tanpa ilmu pula ialah sia-sia.

Ternyata Si Aduka Merana menulis dengan sia-sia bagaikan orang yang tak ada haluan dan tujuan. Kerana keceluparan tulisannya menghina isteri, sahabat Rasulullah dan para ulama, akhirnya dia ditakdirkan ditangkap atas asbab menulis artikel menghina almarhum Sultan. Sepatutnya ditangkap lebih awal lagi. Wahai Aduka Merana, Ingat perbuatan anda tak akan terlepas bukan sahaja di dunia malahan di akhirat juga kecuali anda bertaubat nasuha dan menyesal sesesal-sesalnya atas kebodohan dan kebangangan tulisan anda yang penuh kehinaan dan cercaan. Firman Allah :

“Wahai orang-orang yang beriman. Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nashuha (taubat yang bersungguh-sungguh)”
(At-Tahrim : 8)


Bila saya melihat kembali lembaran akhbar melihat gambar-gambar Aduka di bawa ke mahkamah, ternyata tahu juga malu si Aduka tu. Berjalan sambil menutup muka. Dalam blog cakap bukan main angkuh, sombong dan takbur seolah-olah dialah hero abad ini yang berani menulis apa saja kata hati. Kata hebat sangat, mengapa tunduk malu dan tutup muka wahai si Aduka! Pepatah orang tua dah lama kita dengar “ Ikut hati mati, Ikut rasa binasa” Sekarang baru tahu tanah tinggi rendah. Nasib baik ada juga gadis yang sudi menjadikan Si Aduka merana tu suami. Harap-harap isteri tu boleh membawa Aduka kembali ke pangkal jalan. Pada Si Aduka, jangan menghina orang terlampau-lampau terutamanya para sahabat dan ulama. Kita ni siapa, hebat sangatkah. Amalan kita dah berbakul-bakul ka? Solat kita penuh khusyuk dan tawaduk pada Allah ka? Kalau baru setahun jagung dan tulispun guna ayat yang berterabur, lautan dalam jangan di duga.

Berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul merupakan sifat-sifat yang dilarang oleh agama, dan ia dikira antara sifat-sifat yang tercela yang bersumberkan dari kejahatan dan kedurjanaan. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya;

“Waspadalah kamu dengan kata-kata yang kotor, kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tiada suka kepada kata-kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Kepada Aduka Teruna jangan anda membuat hidup anda terus merana. Teringat saya sebabak dialog yang diucapkan oleh Taruna kepada Aduka dalam Sumpah Semerah Padi, “Aduka…Aduka, lupakah kau kepada Tuhan, hilangkah kepercayaanmu kepada agama Islam.”
Masih ada jalan pulang untuk Aduka. Janganlah menjadi derhaka kerana mengikut rasa. Membuat sesuatu tanpa ilmu serta sandaran Al-Quran dan hadis, maka jawapannya syaitan dan iblis laknatullah lah yang jadi guru kita dan pembimbing kita.
Daripada Abu Sa’ed r.a, daripada Nabi s.a.w bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Iblis telah berkata:Wahai Tuhanku dan demi kemuliaanMu, aku akan berterusan menyesatkan mereka selagi mana roh-roh mereka masih berada dalam tubuh-tubuh mereka.” Allah Azza wa Jalla berfirman:”Demi Kemulian dan Ketinggian Ku, aku akan berterusan mengampuni mereka selagi mana mereka memohon keampunan kepadaKu”
(Ibnu Majah, Ahmad dalam Musnadnya dan Ad-Darani dalam sunannya dan sanadnya ,Hasan
)


Pintu taubat masih terbuka. Di dunia Allah telah menunjukkan hukumannya apatah lagi di akhirat nanti.. Orang yang melarikan diri dikejar dosa hendaklah bersegera kembali kepada Allah bagi menyelamatkan diri dari penyelewengan dan kesesatan. Ajal maut kita tidak tahu bilakah masanya. Berapa lama kita akan hidup di muka bumi Allah ini? Bertaubatlah sebelum jelas datangnya maut atau sakit. Taubat akan membawa pembaikan ke atas hati. Pada saya dan pembaca, jadikan segala sesuatu yang terjadi itu sebagai iktibar.

“Sesungguhnya taubat yang diterima oleh Allah adalah taubat yang dilakukan oleh orang-orang yang melakukan kejahatan lantaran kejahilan kemudian mereka bersegera bertaubat, maka mereka adalah orang-orang yang diterima taubatnya oleh ALLAHSWT, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.”
(An-Nisaa : 17)


Semoga saya dan pembaca sentiasa diberi kekuatan oleh Allah dalam perjuangan menjadikan Islam cara hidup kita di dunia penuh fitnah ini. Moga jumpa lagi.

Rujukan

Imam Al Ghazali.Terjemahan Ahmad Fahmi Zamzam. Ayyuhal Walad. Khazanah Banjari,
Kedah D.Aman. 2007

Imam Al Ghazali, terjemahan Muhammad Qadirun Nur, Penenang Jiwa (Mukashafah Qulub), Wholesale Mart, Selangor D.E, 2008

Imam Habib Abdullah Hadad, Nasihat Agama dan wasiat Iman, Pustaka Nasional Pte,ltd, Singapura, 2001

Sayid Sabiq , Aqidah Islam: Pola Hidup Manusia Beristighfar.Diponegoro , Bandung.1978

Dr Soleh Ghonim As Sadlani. Rahsia Taubat dan Istighfar. Al Hidayah Publications, Wilayah Persekutuan. 2008

Read more...

Monday, February 1, 2010

Cerita Air 2

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.


“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang diusahakan besok (hari Kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan
Al-Hasyr :18


Waktu sudah hampir masuk waktu maghrib. Kalau saya teruskan perjalanan kemungkinan akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Tambahan pula hari ini hari Jumaat. SAaya mengambil keputusan untuk menunaikan solat maghrib di surau berhampiran.
Saya membelok kenderaan memasuki kawasan sebuah pusat Institusi perguruan. Saya mengangkat tangan kepada pengawal keselamatan yang bertugas dan pengawal keselamatan membalas lambaian saya dengan lirikan senyuman. Kebanyakkan pengawal keselamatan di institusi tersebut kenal dengan saya kerana saya sering mengunjungi rakan yang bekerja di situ. Kenderaan saya terus menuju ke arah perkarangan surau. Masa ada 10 minit lagi sebelum masuk waktu.
Selepas meletakkan kenderaan ku di tempat letak kereta , saya menuju ke tempat mengambil wudhuk Tiba-tiba saya terserempak dengan seorang pemuda sedang leka membasuh motosikalnya. Dari raut wajahnya saya membuat kemungkinan yang dia adalah salah seorang pelatih di institusi tersebut. Dia meneruskan aktiviti membasuh motosikalnya tanpa mempedulikan saya. Yang memeranjatkan saya bukan sikapnya yang tak kisah dengan kehadiran saya tapi kerana dia tidak rasa bersalah menggunakan air surau untuk kepentingan peribadinya.
“Allahu Akbar….. Allahu Akbar….” muazzin melaungkan suara azan menandakan masuk waktu maghrib. Setelah selesai mengambil wudhuk, saya melangkah keluar dari kawasan berwudhuk. Saya lihat pemuda tadi dengan selambanya mencurahkan air dari dalam baldi ke longkang. Dia kemudian mengutip semua berus dan bahan pencuci dimasukkan dalam raga motosikalnya . Pemuda tadi menghidupkan enjin dan terus berlalu dari situ tanpa mempedulikan azan yang berkumandang. Saya yang terkebil-kebil melihat melangkah menuju ke ruang solat. Namun dalam hati saya yang menzahirkan anggapan baik terhadap pemuda tersebut. “Mungkin dia pulang ke asrama untuk menyalin pakaian dan datang bersolat semula!”
Hari ramai orang yang menggunakan segala nikmat Allah tapi tidak pernah bersyukur dan berterima kasih kepada Allah. Lihatlah hari ini berapa ramai orang-orang Islam tidak pernah mempedulikan azan setiapkali menjemput mereka untuk bersolat. Berapa ramai yang ketika datangnya waktu maghrib, masih berpeleseran di pusat membeli belah, masih leka bersukan di padang, sibuk mengunjungi pasar malam dan sedang menikmati hidangan dimedan selera . Mereka tidak pernah rasa takut kepada Allah walaupun sudah melihat kemusnahan dan bala yang diturunkan oleh Allah kepada masyarakt di sekeliling mereka untuk dijadikan peringatan.
Mereka lupa bahawa kehidupan ini hanya terlalu singkat. Orang yang lupa kepada Allah akan menambah kerugian, menghilangkan nikmat dan menghalangi pengabdian dalam diri mereka.

Allah ta’ala berfirman yang maksudnya:
“ Barang siapa tidak redha dengankeputusan-Ku, tidak sabar atas pemberian-Ku tidak syukur atas nikmat-Ku, serta tidak menerima atas pemberian-Ku, hendaklah dia mencari Tuhan selain Aku.”
Ibnu Abbas r.a berkata : Barangsiapa mendengar suara muazzin sedangkan dia tida menjawabnya (pergi menunaikan solat jemaah), nyatalah ia tiada mencintai kebaikan, dan tentu sekali kebaikan juga tidak akan mencintainya.
Sama-sama untuk saya dan para pembaca renungkan.
Moga Allah akan melidungi saya dan para pembaca daripada segala maksiat dan kejahatan.
Jumpa lagi.Insyallah

Rujukan

Imam Al Ghazali. Terjemahan Mukashafah Al Qulub . Penenang Jiwa : Pengubatan dan Rawatan. Wholesaale-Mart, Selangor D.E 2008

Imam Ghazali. Terjemahan Syed Ahmad Semait: Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional, Singapura.1999

Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company