Tuesday, November 30, 2010

Selamat Tinggal Dunia


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” {Al-i-‘Imran:185)

E-mail yang saya terima daripada kakak saya baru-baru ini agak menarik dan saya rasakan boleh dikongsi bersama. Biarpun isi email tersebut menceritakan bagaimana suasana bila menjelang kiamat dan keadaan di Mahsyar namun ia tidak pernah menjemukan kita. Malahan cerita-cerita sebegini bagaikan satu peringatan kepada kita untuk lebih bertakwa dan sentiasa ingin mendapat keredhaan Allah dalam apa jua tindak tanduk kita. Saya muatkan isi email tersebut:

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ - Pemimpin yang adil.

ⅱ - Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ - Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ - Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ - Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

ⅵ - Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ - Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ - Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ - Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ - Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
Read more...

Tuesday, November 23, 2010

Pelikkah Kalau Nabil bercium : Berpesan-pesanlah dengan kebenaran


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta


Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[Surah Al-'Asr Ayat 1-3]

Rasulullah shalallahu alaihi wa salam bersabda, ”Janganlah kamu meremehkan dosa, seperti kaum yang singgah di perut lembah. Lalu seseorang datang membawa ranting dan seorang lainnya lagi datang membawa ranting sehingga mereka dapat menanak roti mereka. Bila saja orang yang melakukan suatu dosa menganggap remeh suatu dosa, maka itu akan membinasakannya.” (HR. Ahmad dengan sanad yang hasan)

Seperti kebiasaannya, saya lebih suka membaca semua tajuk-tajuk berita bermula dari muka depan hingga ke muka belakang terlebih dahulu sebelum membaca keseluruhan isi sesuatu berita atau artikel. Pagi itu seperti kebiasaannya, saya meneliti tajuk-tajuk dalam akhbar Mingguan Malaysia (21 November 2010) terlebih dahulu. Pandangan saya terhenti pada tajuk awal di muka depan akhbar tersebut. “Pelikkah kalau Nabil bercium?” merupakan tajuk berita yang membuat perasaan saya ingin tahu apa keseluruhan isi ceritanya.
Setelah membaca isi beritanya, saya mengucap panjang.

Masyallah...Tabarakallah apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini yang mengaku Islam sebagai pegangan tapi pada masa yang sama perkara-perkara kemaksiatan dianggap bagaikan sesuatu kebiasaan tanpa ada rasa bersalah atau penuh kekesalan. Bila kita mempersoalkan sejauhmana kepatuhan mereka sebagai hamba Allah dan cintanya mereka kepada Rasulullah S.A.W, mereka melenting dan mempersoalkan kita dengan pelbagai tuduhan. Bila ada bekas artis (sekarang pengacara) mengeluarkan kenyataan yang artis tidak boleh dijadikan contoh kerana sikap dan peribadi yang buruk, maka ada pihak-pihak tertentu yang marah.

Abdullah bin Mas’ud radhiallahu anhu berkata, ”Orang beriman melihat dosa-dosanya seolah-olah ia duduk di bawah gunung, ia takut gunung tersebut menimpanya. Sementara orang yang fajir (suka berbuat dosa) dosanya seperti lalat yang lewat di atas hidungnya.”

Saya sedar, sebagai manusia biasa saya tidak terkecuali daripada melakukan dosa dan maksiat. Namun sebagai manusia yang mencari redha Allah, kita akan cepat-cepat insaf, bertaubat dan memohon keampunan Allah jika menyedari setiap kesalahan yang telah dilakukan dan seboleh-bolehnya berjanji tidak akan mengulanginya. Sebagai manusia yang cintakan kepada saudara seagama, tegur menegur, ingat mengingati antara satu sama lain adalah merupakan tanggungjawab kita dalam menjaga hubungan antara manusia dengan manusia.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,
‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.

Bukanlah tujuan saya memperlekeh kredibiliti wartawan hiburan yang menggelar dirinya Siti Jarum apatah lag jika nak dibandingkan dengan diri saya yang ternyata tidak ada sekelumit pun ilmu kewartawanan. Akan tetapi tulisan Siti Jarum mengenai kes Nabil adalah sesuatu yang merbahaya kepada anak-anak remaja Islam. Saya selitkan sedikit tulisan Siti Jarum : “ Siti nak tanya sikit, pelik sangatkah Nabil bercium? Siti tak kata yang dalam gambar itu Nabil tapi pelikkah kalau itu adalah dia? Tapi kita buat heboh seolah-olah yang Nabil tu takut dengan perempuan, nampak perempuan pun pengsan.
Siti tak rasa pelik sikit pun. Ini bukan prejudis tapi daripada pengalaman kita semua, Nabil pernah bercium dengan Irma dalam satu majlis hiburan di Genting Highland. Bagi Nabil, bercium bukanlah isu besar. Kata Nabil, dia bercium tak jejaskan ekonomi negara. Siti suka jawapan cerdik begitu. Jadi tak pelikkan kalau Nabil ini dianggap kaki cium bukan cium kaki.”


Pada pandangan saya, tulisan Siti Jarum boleh mengugat aqidah, keimanan dan ketaqwaan seseorang kepada Allah Ta’ala. Siti seolah-olah merestui perbuatan-perbuatan maksiat sebegini. Sepatutnya Siti sebagai wartawan menegur perbuatan itu secara berhemah kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan adab budaya masyarakat Melayu, malahan yang lebih penting, perbuatan itu adalah haram dan berdosa di sisi agama. Siti sebagai wartawan , sebenarnya mempunyai ruang dan tempat untuk menulis dan menegur peri sikap artis-artis kita yang ternyata semakin hari semakin berani tanpa mempedulikan halal dan haram. Malangnya, tulisan Siti Jarum seolah-olah mengiya dan merestui perbuatan artis tersebut. (Tak tahulah pula saya, jika tulisan itu sebenarnya satu tempelakan).

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al’i- Imran : 104)

Saya juga kesal dengan komen artis bernama Nabil yang dengan berani menyatakan aksinya itu tidak menjejaskan ekonomi negara. Samada dia melakukan perkara itu atau tidak bukan hak saya untuk membuat tuduhan. Tapi sebagai seorang Islam, jangalah melafazkan kata-kata ikut sesuka hati. Orang-orang tua pernah bermadah : Ikut hati mati, Ikut kata binasa. Kelancangan mulut Nabil seolah-olah memperlekehkan benda yang diharamkan oleh Allah, malahan ia seolah-olah menganggap perbuatannya itu hanya suatu perkara kecil. Sebagai seorang artis, setiap gerak geri dan perlakuannya sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Apatah lagi jika perkara yang dilakukan bertentangan dengan hukum dan syariat Islam. Ingat hari ini kita diberi rezeki oleh Allah, kita dikurnia kesihatan yang baik oleh Allah tapi jika kita kufur akan nikamt Allah, maka Allah boleh menarik segala nikmat-nikmat ini dengan sekelip mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,
‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’

Saya memohon maaf jika coretan ini, bisa menguris hati dan perasaan sesiapa sahaja. Sebagai seorang Islam saya rasa adalah perlu kitA saling ingat mengingati. Peringatan ini akan memberi kekuatan kepada diri saya sendiri untuk menjadi umat yang sentiasa patuh pada perintah Allah dan sentiasa ingin mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Saya juga berdoa agar tidak ada yang melatah apatah lagi terlalu emosional bila diberi peringatan.
Semoga Allah mengampun segala dosa-dosa kita dan memberi ketetapan iman dan Islam dalam melayari kehidupan di dunia yang sementara ini.
Read more...

Thursday, November 18, 2010

Aidil Adha : Berkorban Apa Saja


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

"Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya."
(Surah al-Baqarah, : 203).


اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ * اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ
Biarpun Aidil Adha 10 Zulhijjah sudah berlalu namun Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah masih ada untuk memberi ruang kepada umat Islamuntuk melakukan ibadah korban. Sesungguhnya ibadah korban yang kita lakukan bukan sekadar mengingati peristiwa Nabi Allah Ibrahim menurut dan mematuhi perintah Allah untuk mengorbankan anak kesayangan baginda iaitu Ismail. Namun apa yang lebih besar ialah mencontohi dan menjelmakan semangat kepatuhan yang penuh keikhlasan seorang hamba kepada Allah Ta’ala . Percayalah, bahawa setiap perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. ada mesej dan pengajaran untuk kita renungi. Demikian juga Syariat Aidil-Adha jelas membawa bersamanya banyak mesej dan pengajaran untuk umat Islam.

Perayaan Aidil Adha bukan sekadar melakukan ibadah korban tetapi memahami maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik ibadah tersebut. Keikhlasan melakukan ibadah korban adalah penting untuk mendapat keredhaan Allah. Semangat atau roh Aidil Adha bukan sekadar mengorbankan binatang ternak semata-mata, akan tetapi menelusuri intipati disebalik tuntutan tersebut. Umat Islam bukan sekadar melakukan ibadah korban tetapi juga mesti berkorban dari segi jiwa dan raga untuk Islam tercinta. Pengorbanan ynag paling besar untuk umat Islam lakukan adalah berkorban menundukkan hawa nafsu agar mampu melaksanakan segala titah perintah Allah.

Persoalannya apakah mampu umat Islam berkorban apa saja demi Islam tercinta di saat dan ketika kemelut hari ini Islam dan ummahnya ditindas, dihina dan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Malangnya umat Islam bukan sahaja dihentam dan diperlekeh oleh orang bukan Islam malahan ada dikalangan orang Islam sendiri yang tidak yakin dan memperkecilkan perjuangan Islam itu sendiri. Nauzubillah…..

Menjelmakan semangat ibadah korban, untuk bangun menjadi ummah yang bermaruah, perkara pokok yang perlu kita lakukan ialah bersatu demi perpaduan ummah. Jika ummah kuat dan bersatu, maka tidak ada ruang untuk musuh Islam memperlekeh dan menghentam Islam dari apa jua penjuru dan dalam apa jua bentuk dakyahnya. Tak perlu kita mengambil contoh umat Islam yang jauh, lihatlah pada umat Islam di dalam negara tercinta kitahari ini. Berpecah belah, bercakaran, saling bermusuhan, tuduh menuduh, memaki hamun sesama sendiri. Apakah ini yang Rasulullah S.A.W tinggalkan pada kita untuk jadi ummah yang hebat bukan sahaja disisi manusia tapi di sisi Allah Ta’ala? Sanggupkah kita berkorban apa jua yang kita cinta sepertimana Nabi Allah Ibrahim demi menyatukan ummah. Sanggupkah kita mengorbankan rasa bongkak dan harga diri demi Islam tercinta?. Sanggupkah kita mengorbankan ideologi politik dan ketaksuban parti demi melihat umat Islam kembali merapatkan saf-safnya yang sudah mula terpisah dan terburai.

Jawapannya hanya ada dalam diri kita sendiri, samada kita sanggup atau tidak mengorbankan segala keegoan diri demi mendapat redha Allah untuk bersatu di bawah satu panji kebesaran iaitu Islam. Semoga Hari Raya Korban memerlukan kita berkorban apa jua demi agama Islam tercinta.

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ * اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ

“……… dan apa sahaja harta yang halal yang kamu belanjakan ( pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) itu untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidak mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
(al-Baqarah : 272)

Read more...

Sunday, November 7, 2010

Antara Letusan Merapi dan Banjir Besar : Ujian Dari Allah


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Dan apa saja nikmat yang ada pada kalian, maka dari Allah lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa kemudharatan, maka hanya kepada-Nya lah kamu meminta pertolongan.” (An-Nahl:53)


Berita penderitaan saudara kita di Indonesia akibat gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter yang akhirnya mengundang bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai begitu menyedihkan. Seolah-olah episod Tsunami melanda Kepulauan Acheh yang baru saja hendak reda bahangnya kini kembali menghantui sebahagian besar penduduk Indonesia. Belum pun sempat hendak menarik nafas , keesokkannya pula terjadi letusan Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah yang menyemburkan lahar panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius yang bisa memanggang dan mencairkan apa jua hal benda yang dilintasinya. Innalillahiwainnailahirojiun...

Inilah episod demi episod malang yang melanda saudara kita di indonesia yang turut sama meruntun jiwa dan perasaan kita sebagai saudara serumpun dan seIslam di Malaysia. Biarpun beberapa suara nakal dari pemimpin politik dan NGO Indonesia sedikit masa lalu giat berkempen hendak mengganyang dan menghalau penduduk Malaysia dari Indonesia, namun sebagai orang Islam yang berilmu dan beriman kita sedikitpun tidak menaruh dendam dan kebencian terhadap mereka. Inilah yang kehebatan Islam yang diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada kita sebagai umatnya. Kita turut sama simpati dan menghulurkan bantuan kemanusiaan kerana kita percaya, hari ini mereka diuji oleh ujian Allah dan kita sendiri belum pasti bila pula kita?

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al-Ankabut: 2-3)

Sedang dalam kekalutan musibah melanda Indonesia, negara kita sendiri dikejutkan oleh berita banjir yang melanda teruk duah buah negeri di utara Semenanjung iaitu Kedah dan Perlis. Banjir terburuk sejak 2005 menyebabkan 39,512 orang terpaksa dipindahkan di Kedah dan Perlis hampir 5,000 orang dipindahkan. Walaupun pelbagai spekulasi dan andaian dibuat untuk mencari punca kejadian banjir, yang pasti semua itu hanyalah asbab kepada ujian dan musibah daripada Allah. Kita perlu berlapang dada dan bersabar menghadapi segala bencana ,musibah dan ujian Allah walaupun kita tahu “berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.”

Walaupun bagi golongan sekular atau kurang mantap imannya melihat peristiwa-peristiwa ini sebagai hukum alam dan fenomena alam namun pada hakikatnya inilah ujian daripada Allah Ta’ala kepada hamba-NYA. Sesungguhnya manusia akan diuji oleh Allah dalam dua bentuk Ujian, pertama ialah ujian Allah dalam bentuk musibah dan keduanya manusia akan diberi ujian dalam bentuk kesenangan. Ternyata ujian berbentuk musibah yang melanda saudara kita ini perlulah dihadapi dengan penuh keinsafan dan redha. Inilah ketentuan Allah.

Adapun ujian Allah kepada kita adalah berasaskan beberapa kemungkinan. Yang pasti jawapannya hanya ada kepada kita. Apakah Allah menguji kita hanya kerana hendak menduga keimanan dan kesabaran kita atau kita diuji Allah sebagai mengkifarah segala perbuatan dosa dan noda yang pernah kita lakukan atau Allah Ta’ala menguji kita sebagai peringatan menyedarkan kita akan segala kemaksiatan yang semakin berleluasa berlaku dalam masyarakat kita yang perlu kita sama-sama pertanggungjawaban untuk membenteraskannya.

“Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri… “(an-Nisaa’: 79)

Ujian dan musibah Allah ini bukan kerana Allah hendak berbuat zalim kepada manusia kerana Allah tidak akan berbuat dzalim kepada seorangpun hamba Nya. Tetapi manusia sendiri yang asyik masyuk dengan perhiasan dunia hingga mereka lupa akan tanggungjawab sebenar mereka sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Mereka lupa tanggungjawab mereka kepada Allah, mereka lupa tanggungjawab mereka kepada sesama manusia. Mereka diberi kuasa dan dilantik sebagai pemimpin tetapi mereka khianati amanah yang diberi. Tidak kiralah pemimpin dalam sesebuah negara , pemimpin sesebuah negeri, pemimpin dalam masyarakat ataupun pemimpin dalam sesebuah kekeluargaan. Begitu juga hubungan kita sesama manusia, kita dikuasai oleh sikap nafsi-nafsi, bongkak, riak, takabur dan yang pasti mementingkan diri sendiri. Akhirnya kita melakukan kerosakkan kepada apa jua amanah Allah kepada kita. Dari sekecil-kecil menjaga sumber makanan yang halal dan baik hinggalah sebesar-besar pentadbiran dan pemerintahan yang penuh dengan kekalutan, permusuhan , hasad dengki dan kesombongan serta keangkuhan peribadi. Akhirnya bila kita diuji oleh Allah, apakah kita masih belum mahu sedar? Apakah tidak kita terfikir setiap ujian dan musibah Allah maknanya kita diberi peringatan oleh Allah supaya kembali semula kepada Allah jika sudah tersasar jauh dalam perjalanan.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman : “Kami tidak berbuat dzalim kepada mereka, tetapi merekalah orang-orang yang berbuat dzalim terhadap diri mereka sendiri”. (Az-Zukhruf: 76)

“Sesungguhnya jika kalian bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepada kalian, dan jika kalian mengingkari (nikmat)Ku, maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih“ (Ibrahim: 7)


Marilah kita sama-sama berdoa, agar Allah memperteguhkan hati dan keimanan saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan ujian-ujian getir dari Allah. Semoga mereka dapat bersabar dan redha dengan ketentuan Allah. Marilah kita berdoa agar Allah memberi kekuatan kepada semua umat Islam dan para pemerintahnya untuk kembali menuju jalan-Allah, untuk melakukan taubat nashuha secara lahiriah dan batiniah, samada dalam ucapan maupun perbuatan, sehingga kita menjadi sebaik-baik umat atas asbab baiknya pemerintah yang meniti jalan-Mu Ya Allah. Amin
Read more...

Tuesday, November 2, 2010

Tetamu Allah : Semoga Mendapat Haji Mabrur


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Al-Hajj:27)


Sabda Rasulullhah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang maksudnya :” bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya apakah amalan yang terbanyak keutamaannya. Baginda telah menjawab iaitu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Baginda ditanya lagi, kemudian amalan apakah, dijawab Baginda : berjihad pada jalan Allah, lalu Baginda ditanya lagi : lalu amalan apakah, lalu dijawab Baginda : Haji yang mabrur. “

“Sekarang ni, nak buat kerja ibadah pun kena pakai kabel,” rungut sahabat saya .

“Eh...eh kabel?” tanya saya kehairanan.

“Besar mana. Besar ni ke besar ni?” sambung saya lagi sambil menunjukkan bandingan jari kelingking saya dan penumbuk saya secara bergurau.

“Bukan besar tu tapi kabel yang ini,” jawabnya sambil mengeselkan ibu jari tangannya dengan jari telunjuk sebagai isyarat wang.

Ibadah yang dimaksudkan oleh rakan saya ialah ibadah haji. Beliau memulakan ceritanya mengenai nasib bapa saudaranya yang sudah semakin lanjut usia tapi masih belum dapat menunaikan fardhu haji kerana tarikhnya masih jauh lagi. Walaupun dah merayu tapi tidak berjaya kerana alasan diberi kuota dah penuh.

“Itu kan memang prosedur biasa. Kan kuota tu Kerajaan Arab Saudi yang tetapkan.” Pujuk saya cuba menyejukkan hatinya.

“Kuota tu ada tapi untuk pergi biasa-biasa ni memang dah cukup kuota, tapi kalau kau tanya nak pergi cara pakej ada tak. Pantas nanti adalah yang bagi jawapan masih ada kuota.”
Baru saya faham maksud sahabat saya. Kalau nak menunaikan haji secara pakej yang belanjanya menelan belasan malah puluhan ribu, kuotanya sentiasa mencukupi. Itu kot yang dimaksudkan kabel oleh sahabat saya.

“Kau tau tak sebab apa kalau pakej kuota sentiasa ada. Sebabnya secara pakej bayarannya belasan malahan puluhan ribu. Pi secara biasa tu bayarannya tidak selumayan pakej!”sambungnya lagi .

“Masyaallah...betul ka macam tu?” tanya saya .

“Betulla...takkan aku nak ada-ada cerita kot,” jawab sahabat saya.

Samada benar atau sebaliknya, kisah sahabat saya itu merupakan satu episod malang dalam perjalanan kita menuju menjadi tetamu Allah dan mencari redha-NYA. Jika benar, maka sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan. . Janganlah kita khianati amanah dan kejujuran yang disandarkan kepada kita hanya kerana untuk mendapat habuan dan keuntungan dunia yang sedikit.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Al-Anfal :27)

Jika kisah ini hanya hanya suatu yang digembar gembur oleh sahabat saya, maka saya dengan rendah diri memohon kemaafan. Saya hanya menulis sekadar memberi peringatan terutama kepada saya sendiri dan kepada mereka yang mahu berfikir. Namun yang pastinya dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini, kejujuran dan keikhlasan adalah kunci segala keimanan diri.

Sempena musim haji ini, kepada semua saudara saya muslimin dan muslimat terutama rakan setugas saya Pn. Salmah dan suami, Sdr. Khir yang pada tahun ini dipilih menjadi tetamu Allah, saya mengucapkan Selamat menunaikan ibadah haji dengan penuh ketakwaan dan keimanan. Semoga mendapat haji yang mabrur. Sesungguhnya anda antara insan yang bertuah kerana telah dipilih menjadi tetamu Allah di rumah Allah. Gunakan kesempatan ini sebaik yang mungkin.

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk” (Al-i-‘Imran :97)

Semoga Allah akan memilih kita pula menjadi tetamu-Nya pada masa-masa mendatang. Insyaallah
Read more...

There was an error in this gadget

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company