Monday, March 19, 2012

Nasib Masyarakat Orang Asli : Terbiar Selepas DiIslamkan


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Firman Allah: "Inilah kitab yang kami turunkan kepadamu untuk mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada terang-benderang dengan izin Tuhan mereka kepada jalan yang perkasa, lagi terpuji." (Surah Ibrahim: 1)

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk” (Al- Baqarah :159)

Membaca sisipan Utusan Malaysia Sabtu 10 Mac 2012 mengenai nasib masyarakat Orang Asli membuat hati saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini. Kisah tragis nasib masyarakat Orang Asli selepas diislamkan bukan merupakan episod baru. Masalah ini telah melanda masyarakat Orang Asli sejak puluhan tahun. Walaupun bukan semua, tetapi sebahagian besar mereka diislamkan tapi kemudiannya dibiarkan terkial-kial dengan agama baru mereka.

Pihak-pihak yang bertanggungjawab ada yang lepas tangan, kalau datang melawatpun , bilangannya boleh dikira dengan jari. Ini bukan tuduhan tetapi hakikat. Saya pernah beberapa kali masuk dan tinggal di kawasan masyarakat Orang Asli sekitar Perak dan Pahang , melalui perbualan dan tinjauan mengenai sejauhmana orang-Orang Asli yang diislamkan diberi bimbingan telah mendengar rintihan dan keluhan yang sama . Orang-Orang Asli diislamkan tetapi selepas itu pihak-pihak tertentu yang diamanahkan tidak menjalankan tanggungjawab. Guru-guru yang mengajar di kawasan masyarakat Orang Asli lebih mengetahui mengenai masalah ini.

Pihak kerajaan telah membina pelbagai kemudahan termasuk surau, malah ada kawasan yang mempunyai rumah untuk pegawai- pegawai agama tinggal bagi memudahkan mereka membimbing masyarakat Orang Asli. Malangnya surau-surau dibiarkan sepi, dipenuhi unggas dan serangga, rumah-rumah pegawai terbiar kosong. Misalnya, Perkampungan Orang Asli di Kg Terisu , Cameron Highland, surau dan rumah-rumah pegawai agama terbiar tanpa penghuni. Orang-Orang Asli yang diislamkan terbiar tanpa bimbingan. Mujurlah guru-guru di Sekolah Kebangsaan Terisu begitu prihatin dan sentiasa membimbing murid-murid Orang Asli yang beragama Islam. Ini kita baru sentuh mengenai sebuah kampung Orang Asli yang berhampiran bandar, belum lagi yang tersorok nun jauh di pendalaman.

Cuba lihat bagaimana orang bukan Islam berdakwah. Mereka sanggup datang setiap minggu secara berkumpulan. Ada yang sanggup berjalan kaki meredah hutan antara sejam hingga dua jam demi menyebarkan agama mereka . Dan mereka datang secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Malangnya, kita dibayar gaji tapi masih gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ini bukan omongan kosong tapi realiti yang mengajak semua pihak terutama Majlis agama, Jabatan AgamaIslam negeri , JAPIM dan yang pihak yang berkaitan untuk membuka mata hati. Ini merupakan persoalan aqidah dan maruah agama Islam.

Fikirkan apakah mekanisma yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Kita tidak mahu mendengar lagi kes-kes mengislamkan Orang Asli beramai-ramai kemudian lepas tangan. Hari ini, kita mempunyai ramai anak-anak muda yang menuntut dalam jurusan agama samada di luar ataupun di dalam negara. Mereka memerlukan pekerjaan. Mengapa kita tidak menawarkan pekerjaan kepada mereka sebagai pegawai dakwah yang tinggal di Perkampungan Orang Asli sepenuh masa. Kalau boleh, jangan dibiarkan seorang pendakwah saja yang bertugas. Biarlah dia berteman, dua orang sekali bertugas. Adakan sistem giliran seperti para pekerja di pelantar minyak. Seleps dua minggu mereka boleh keluar dari perkampungan Orang Asli dan dua orang pendakwah lain pula yang akan menggantikan mereka. Mereka samada diberi cuti ataupun menjalankan tugas dipejabat agama berhampiran. Barulah masyarakat Orang Asli boleh dibimbing sepenuhnya.

Ini cuma cadangan saya, mungkin ada pihak lain yang mempunyai cadangan yang lebih baik dan membina. Yang penting, kita tidak mahu ada pihak lainmengambil kesempatan di atas kelemahan kita dalam menjalankan kerja dakwah. Jangan salahkan masyarakat Orang Asli atau pihak pendakwah agama lain jika agama Islam disisihkan. Salahnya ada dalam diri kita. Yang penting kita mampu menerima teguran dengan hati terbuka.
(Disiarkan dalam Utusan Malaysia : 12 Mac 2012)
Read more...

Monday, March 12, 2012

Al Fatihah buat Kak Min


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. [Al Mulk : 2].

Petang Khamis itu tanggal 8 Mac 2012, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja aku menerima panggilan telefon. Sempat aku mengerling jam bersebelahan meter kereta, pukul 5.20 petang. Aku menjawab panggilan telefon.

“Waalaikum salam,” aku menjawab salam.

“Kak Min dah tiada......” suara sebak memberitahu aku.

“Betulkah....bila...”, tanya aku ingin kepastian. Namun talian terputus.

“Qaloo Inna lillahi wa inna ilayhi raji'oon....itulah kata-kata awal yang terlafaz darimulut aku bila menerima berita sedih ini. Namun itulah hakikatnya, setiap yang hidup pasti merasai mati. Sahabat dan orang yang saya panggil Kak Min telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya.

Dr Yasmin Osman atau lebih mesra dipanggil Kak Min di kalangan kami merupakan individu yang mudah mesra. Bila menghadiri mesyuarat atau seminar, Kak Min sering membawa suami dan anak-anak tercinta. Ini menjadikan aku dan beberapa orang sahabat aku bukan sekadar mengenali beliau malah rapat dengan ahli keluarganya.
Sepanjang mengenali beliau aku tidak pernah melihat beliau marah atau bersikap kasar dengan sesiapa sahaja. Masyaallah....tabarakallah, inilah sifat yang ada pada diri Kak Min yang aku kagumi. Pernah beberapa kali aku gagal membantu atau membatalkan program yang dikendalikan bersamanya di saat-saat akhir, namun tidak pernah terlihat kelibat marah di wajahnya. Apa yang selalu muncul dari mulutnya hanyalah.....”tak pa.......alright...insyallah lain kali..nanti Kak Min cari orang lain ganti......”

Semasa terlantar di hospital, kesibukkan menyebabkan aku hanya sempat menjengahnya tiga kali sahaja. Kini Kak Min yang aku kenal mudah sahaja ketawa bila ada yang melucukan sudah dijemput oleh Allah selama-lamanya. Kepada ahli keluarga Kak Min terutama suaminya, abang Mizi berbanyaklah bersabar menghadapi ketentuan Allah.
Inilah hakikat hidup, kematian adalah pasti. Samada suka atau tidak, bersedia atau belum, muda atau tua....yang pastinya semua akan menemui mati. Bersamalah kita memohon kepada Allah agar kita mengakhiri kehidupan ini dengan pengakhiran yang baik. Ini kerana Kematian boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja.

Teringat saya mengenai persoalan Imam Ghazali kepada anak muridnya.

Pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?".

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.
Imam Al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran: 185 )

Semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmat ke atas roh Kak Min. Al fatihah.
Read more...

Friday, March 2, 2012

Program Munajat Olimpik 2012 : Jangan Biarkan Kepala otak Bercelaru



Dengan nama Allah dan segala pujian bagi-Nya. Selamat dan kesejahteraan buat Baginda Rasulullah dan juga para sahabat Rasulullah dan pengikutnya

Rasulullah SAW. Sabda baginda SAW (yang bermaksud):
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya (mulutnya). Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya (iaitu membenci kemungkaran yang berlaku) dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis riwayat Muslim).


Firman Allah yang bermaksud :
"Orang-orang Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu bersikap menceroboh (hak-hak Allah). Mereka sentiasa tidak melarang (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka kepada Allah) yang dilakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan". (Al Maidah:78-79).


Semasa memandu dalam perjalanan pulang, saya terdengar satu berita ringkas :Satu program “Munajat Olimpik 2012″ akan diadakan di 10 buah masjid terpilih di seluruh negara bulan depan bagi memohon kejayaan buat skuad negara meraih pingat emas Olimpik pertama. Antara percaya dengan tidak, betulkah apa yang saya dengar nie. Tak ada benda lain ka yang MSN (Majlis Sukan Negara) nak fikir dan buat.

Jangan campur adukkan soal ibadah dengan perkara-perkara mungkar. Sukan itu tidak haram, kerana Islam juga menggalakkan umatnya beriadah. Tapi yang mungkar dan haramnya ialah bila acara sukan disertai oleh golongan lelaki dan wanita yang pergaulan tiada batasnya. Bukan sahaja dari segi hubungan, malahan yang lebih dahsyat ialah dari segi pakaian yang dikenakan oleh para peserta, apatah lagi dalam sukan berprestij seperti sukan olimpik.

Yang peserta wanita terutama acara olahraga, pakaiannya, masyallah seperti separuh bogel. Nak kata seluar pendek pun bukan, nak kata seluar dalam pun bukan. Bila adanya unsur-unsur ini apakah perlu kita masih mengatakan ia halal. Apatahlagi kita atur pula program untuk bermunajat kepada Allah semata-mata untuk kejayaan emas dalam sukan yang sudah sedia maklum, penuh dengan kemungkaran dan maksiat ini?. Kalau tak tahu, tanya kepada mereka yang berilmu. Jangan main sedap hati dan perasaan. Jangan main-main soal ibadah.

“Patutkah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejek?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman.
[al-Taubah :65-66]


Sudahlah umat Islam dinegara ini bercelaru kerana didatangi dengan pelbagai masalah keruntuhan aqidah, akhlak dan isu moral. Kini pihak MSN cuba menganjurkan program yang bodoh dan bebal ini. Kenapa tak diadakan program bermunajat untuk satukan hati umat-umat Islam di Malaysia yang kini dok bertelagah sesama sendiri. Kanapa MSN tak adakan program bermunajat menghadapi kejatuhan moral muda mudi Islam. Itu yang sepatutnya dan yang terbaikk. Adakan program gerak gempur dan munajat bukan saja kat sepuluh masjid malah di semua masjid untuk satukan semula umat-umat Islam dan memohon pertolongan Allah menangani masalah sosial di negara ini . Bukan anjur program yang bercelaru dan tak masuk akal sebegini.

Kepada alim ulama , bijak pandai dan tok mufti (juga bekas tok mufti), program ini perlu disekat. Nasihat dan teguran perlu diberi oleh mereka yang berilmu ini untuk memastikan program ini tidak dilaksanakan. Kita tak mahu otak umat Islam terus bercelaru. Jangan duduk diam macam tongkoi. Angguk-angguk, iya-iya dan geleng-geleng sahaja. Tegur walaupun ianya pahit. Ingat! Kita akan dipersoalkan di mahkamah Allah nanti tentang apa peranan kita bila timbul sesuatu yang boleh merosakkan agama dan ummah.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan kepada manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah…” (Ali-Imran :110)

Sabda rasulullah S.A.W “Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Atau jika tidak, Allah akan menurunkan azab ke atas kamu semua, kemudian kamu berdoa kepadaNya, maka doa kamu tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Semoga Allah terus memberi kekuatan iman dan Islam kepada kita. Amin
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company