Tuesday, July 27, 2010

Kopitiam : Halal Tapi Haram



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabah baginda.

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
(Al-Baqarah : 168)


Dari Salman Al-Farisi, Rasulullah SAW pernah ditanya hukumya samin, keju dan keldai, maka jawab baginda : Apa yang disebut halal ialah: sesuatu yang Allah halalkan dalam Kitab-Nya; dan yang disebut haram ialah : sesuatu yang Allah haramkan dalam kitab-Nya; sedang apa yang Ia didiamkan,maka dia itu salah sayu yang Allah maafkan buat kamu.”
( Hadis Riwayat : Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Halal tapi haram. Istilah ini mengelirukan tapi itulah hakikat yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Laporan beberapa buah akhbar tentang status makanan halal di kopitiam dua tiga hari yang lepas bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Perkara ini sudah lama berlaku Cuma mungkin masyarakat Islam kita tidak begitu prihatin atau menganggap ini cuma perkara yang kecil.

Malahan isu tentang kopitiam menghidangkan makanan yang diragui status halal haramnya telahpun dimuatkan dalam majalah I Luv Islam pada beberapa keluaran awalnya. Diceritakan dalam ruangan tersebut bagaimana seorang pelanggan Islam semasa menjamah mee goreng terkejut apabila mendapati daging dalam mee tersebut adalah kaki katak. Masyallah….terkejut biawak dibuatnya. Nak buat macam mana kerana nak jaga prestij, dalam banyak-banyak kedai makanan orang Islam tapi di kopitiam juga selera menjadi tumpuan. Akhirnya nak saman tuanpunya kopitiam pun tak boleh sebab kopitiam tu memang tak ada sijil halal. Yang kita gatal nak pergi makan di situ buat apa. Tauke tupun tak pernah jemput kita pergi ke kedainya sebab tu dia pun tak ingin nak minta sijil halal. Tapi masyarakat Islam kita hari ini kerana nak jaga prestij dan gaya hidup orang bandar warung-warung tepi jalan tak main lah. Kopitiam ni ada standard, nampak ekslusif, santai dan ada perkhidmatan wi-fi pulak.

Hukum pemilihan makanan mengikut syariat dalam Islam adalah jelas. Malangnya umat Islam hari tidak pernah mahu ambil peduli langsung mengenai hal ini. Hari ini golongan peniaga bukan Islam samada mereka tidak punya pengetahuan atau sengaja pura-pura tiada pengetahuan menyedari yang masyarakat Islam kurang berhati-hati apabila ingin menjamu selera. Maka mereka membuka premis-premis makanan dan mempamerkan tanda logo halal (samada logo tu tulen atau palsu) untuk menarik perhatian pelanggan Islam. Malahan ada yang berani mempemerkan ayat-ayat suci Al Quran di gerai atau premis mereka. Memanglah yang dijual ayam, daging dan makanan yang halal yang dimakan oleh orang Islam. Tapi bagaimana proses persediaannya dan penyembelihannya. Adakah mengikut syariat? Sebab itu Islam mengariskan panduan memilih makanan mengikut prinsip Halalan Thoiyiba, bukan saja halal tapi juga baik serta bersih.

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai,darah,daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah...."
(Al-Baqarah : 173)

Maka jelaslah disini, bahawa perintah Allah supaya kita memilih makanan yang hahal dan baik adalah untuk kebaikkan manusia itu sendiri dan bukannya untuk memudaratkan kesihatan manusia.Selain itu,pemilihan makanan yang halal akan menjamin kesejahteraan hidup seseorang di dunia dan di akhirat.

Makanan yang haram samada ia daripada bahan yang dicampur najis atau benda bersumberkan punca yang tidak halal akan mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakanannya:

Pertama - Makanan itu akan mempengaruhi jiwa pemakannya sehingga dia lebih gemar membuat kejahatan dan maksiat serta benci kepada kerja-kerja kebajikan dan ketaatan.

Kedua - Doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah.

Ketiga - Dia akan mendapat siksaan dineraka Allah pada hari kiamat kelak.

Sabda rasulullah s.a.w:
"Setiap daging yang tumbuh daripda makanan yang haram,maka api nerakalah yang layak baginya"
.

Umat Islam perlu sedar, pemilihan makanan halal lagi baik adalah perlu. Gaya dan cara hidup memilih tempat atau makanan untuk memenuhi selera perlu diubah demi mendapat keberkatan Allah. Di luar sana masih ramai gerai kepunyaan orang Islam yang boleh kita menjamu selera tanpa ragu-ragu. Kepada para peniaga pula, carilah bahan-bahan yang ingin dimasak itu dari keluaran orang Islam. Jangan kerana nak mengaut untung lebih sanggup menjual makanan dari sumber yang diragui halal haramnya. Apa yang kita nak jawab di hadapan Allah nanti. Pada pihak yang bertanggungjawab samada kerajaan atau bukan kerajaan (NGO), sensitiviti orang Islam perlu dijaga. Jangan sekadar mewar-warkan berita mengenai ada pasaraya, kedai, premis atau pengeluar tertentu mengeluarkan barangan yang haram atau diragui halalnya tapi tidak mendedahkan nama mereka-mereka ini. Akhirnya umat Islam tertanya-tanya, syarikat, pasaraya, premis atau gerai yang mana yang membekalkan makanan haram atau diragui status halalnya.

Semoga Allah sentiasa memberi kita hidayah dan kekuatan untuk memperjuangkan agama Allah
Read more...

Wednesday, July 21, 2010

Mike Tyson : Perjalanan Mencari Tuhan


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.


”Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya”
(Al-Qashshash : 56).

Saya mendapat satu kiriman email dari kakak saya . Dalam keadaan dunia yang penuh fitnah dan kerosakkan ini masih ada insan yang mahu mencari Tuhan. Selama ini mereka-mereka ini hidup dalam keadaan jiwa yang kacau, tapi apabila mengenali Islam mereka yakin dan sedar inilah kebenaran hakiki yang di cari selama ini. Malangnya di luar sana masyarakat kita yang sudah dianugerah nikmat Islam masih tidak mahu mencari Tuhan yang sebenar. Mereka masih mahu mencari keseronokkan dunia yang ternyata hanya sementara. Di sini saya siarkan e-mal tersebut untuk renungan dan muhasabah diri kita bersama.

Mike Tyson menitiskan air mata di Bumi Madinah Munawwarah


Si Leher Beton Mike Tyson insan gagah dan bengis semasa dalam gelanggang tinju. Tetapi di Masjid Nabawi tunduk menitis air mata semasa melihat kubur Rasulullah SAW.

Inilah pengalaman yang amat berguna buat Mike Tyson sehingga menyentuh perasaannya semasa melakukan ibadat umrah dan melawat Madinah Munawwarah. 2 Julai 2010.

Beliau sempat memberi ceramah kepada pelajar Universiti Islam Madinah.

Kunjungannya ke Arab Saudi adalah anjuran Asosiasi Dakwah Kanada (CDA),CDA merupakan Pertubuhan dakwah yang banyak menguruskan selebriti yang baru memeluk Islam untuk melawat ke Arab Saudi untuk tujuan melaksanakan rukun Islam.

Tyson nama lengkap Michael Gerard Tyson lahir di New York City, Amerika, 30 Jun 1966. Tyson memeluk Islam ketika dipenjara pada pertengahan tahun 1990. Secara resmi, tahun 1995, selepas keluar dari penjara di Indiana, Tyson mengumumkan penghijrahannya ke agama Islam yang telah dipelajarinya selama berada di dalam penjara, dengan nama baru Malik Abdul Aziz.

Lihatlah saudara-saudariku seagama, tiada kepuasan dalam kehidupan melainkan dengan Islam, kita tidak layak melakukan maksiat, apabila kita melakukan maksiat kepada Allah SWT pasti hidup kita tidak akan tenteram kecuali apabila kita telah ditipu oleh Syaitan. Jika seseorang yang dapat merasakan Allah SWT sedang melihat aksinya semasa berpesta maksiat, pasti dia tidak akan tenang selagi tidak bertaubat kepada Allah SWT.

Manusia yang bernama Mike Tyson pun mencari ketenangan di Masjid dan Raudhah.. Marilah kita bersyukur kerana hidup kita umat Islam mempunyai matlamat.. hidup kita penuh berharga dan bernilai di sisi Allah SWT, semua gerak-geri kita Allah SWT bayar dengan pahala dan Syurg
Read more...

Tuesday, July 20, 2010

Bila 5F Menguasai Kita



Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta


“dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allh), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
(A-Maidah : 49-50)


Sebenarnya isu memakai baju yang mempunyai lambang-lambang yang bertentangan dengan aqidah Islam bukan sesuatu yang baru. Sudah puas Tok-Tok Guru, Ustaz, Ustazah dan para alim ulama membahaskan dan menjelaskan didalam kuliah-kuliah pengajian masing-masing. Malangnya yang datang menadah ilmu tu tak ramai dan kebanyakkan pula yang sudah berusia, jadi perkara ini mungkin tidak terkena batang hidung mereka.

Isu ini kembali menjadi hangat apabila salah sebuah akhbar tabloid menyiarkan artikel mengenai hukum memakai baju-baju yang mempunyai perlambangan yang bertentangan dengan Islam. Apatah lagi dalam kehangatan kempen Piala Dunia 2010 yang baru sahaja berakhir, anak-anak remaja begitu bangga membeli dan memakai jersi-jersi pasukan pujaan mereka. Maka apabila disiarkan artikel yang menjelaskan tentang hukum haram pemakaian jersi bola sepak atau sebarang pakaian yang memiliki lambang salib, jenama arak dan imej syaitan , maka ramai yang tidak sedar akan hal ini mula tersentak. Malah ada yang dah sedarpun buat-buat tersentak.Inilah hakikatnya, bukan sahaja golongan remaja tapi kebanyakkan orang Islam mudah terpengaruh dengan imej dan prestij dari barat. Semua yang datang dari barat hebat dan baik, malahan ada dikalangan artis dan orang-orang kita begitu bangga dan terasa hebat apabila mempunyai teman lelaki atau suami pemuda barat. Memanglah soal jodoh ketentuan Allah, tapi Islam mempunyai garis panduan apabila mencari pasangan. Berapa ramai di kalangan masyarakat kita hari ini yang meniru corak kehidupan dan budaya barat secara membuta tuli tanpa ilmu.

Itu baru bercakap bab baju, belum lagi hal benda yang lain. Contohnya hari ini berapa ramai orang Islam berbangga memiliki kereta berjenama Chevy tanpa menyedari (ataupun menyedari) yang lambang salib terpampang di bahagian hadapan kereta mewah mereka , bahagian stering dan bahagian-bahagian yang lain. Mereka bukan sahaja berbangga memandu kereta mereka menjalar di atas jalan-jalan raya tapi ada yang turut membawanya memasuki ke perkarangan mesjid dan surau. Lihat, hebatnya perancangan Yahudi dan Nasrani,mereka tidak perlu memaksa kita membawa lambang-lambang keagamaan mereka tetapi kita dengan rela hati membawanya ke mesjid, surau dan juga masuk ke dalam perkarangan rumah kita. Bukanlah niat saya untuk menghukum sesiapa tapi sekadar untuk kita merenung dan berfikir. Sudah jauh kita disesatkan oleh budaya kafir laknatullah.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.
( al-Baqarah: 120)

Semuanya ini adalah akibat Konspirasi liberalisasi budaya oleh Barat terhadap masyarakat Islam sebenar tidak pernah ada noktah dan ia akan terus menjajah kita dari segi mental dan fizikal. Dengan liberalisasi budaya itu , masyarakat Islam akan dijajah hingga kehilangan identiti mereka sebagai seorang Islam dan terus mengekori identiti Barat tanpa lagi mempertimbangkan dari segi halal atau haram. Barat terutama puak yahudi dan nasrani cuba memesongkan umat Islam dengan menerapkan 5F dalam kehidupan dan minda umat Islam. F yang pertama ialah FUN, yakni keseronokkan . Melambakkan dengan budaya dan hiburan yang ternyata boleh menghakis aqidah dan kecintaan masyarakat kepada Islam. Bila mereka berada dalam zon selesa, maka golongan ini akan merasakan agama adalah sesuatu yang menghalang serta menyusahkan kehidupan mereka.

F yang kedua ialah FASHION. Fesyen yang bertentangan dengan Islam ditonjolkan dan diberi publisiti meluas dalam media-media. Ini termasuklah memakai baju-baju yang mempunyai lambang-lambang yang ternyata bertentangan dengan aqidah Islam seperti mempunyai lambang salib, tulisan yang lucah dan mempersendakan agama, lambing arak dan sebagainya. Begitu juga dengan fesyen rambut.

F yang ketiga ialah FOOD, hari ini Negara Islam dibanjiri dengan pelbagai makanan dari pelusok dunia. Halal dan haramnya, belakang kira, asal ada kelas dan prestij. Fast food menjadi kegilaan remaja. Ternyata makanan juga menyumbang kepada perkembangan minda anak-anak kita dan ternyata sikap yang ada pada anak-anak remaja kita hari ini terbentuk sedikit sebanyak dari pengaruh fast food ini.

F yang keempat ialah FILM. Berapa nbanyak filem barat yang ternyata bisa merosakkan aqidah umat Islam yang telah disiarkan baik di pawagam ataupun kaca tv. Tidakkah unsur-unsur ini mampu mempengaruhi fikiran anak-anak remaja kita? Tepuk dada dan tanyalah iman.

F yang kelima ialah Freedom. Isu kebebasan dan hak bersuara dijadikan isu oleh NGO-NGO barat dan ia telah mempengaruhi minda dan masyarakat Islam yang inginkan kebebasan dalam kehidupan. Malahan terdapat NGO seperti SIS yang memperjuangkan hak-hak kebebasan yang ternyata bertentangan dengan syariat dan tuntutan Islam. Sebenarnya ada banyak F lagi yang dijadikan umpan dan alat oleh puak Yahudi dan nasrani untuk menghancurkan minda dan pemikiran umat Islam di seluruh dunia.Maka kita perlulah berhati-hati terutama kepada anak-anak remaja yang dalam proses mencari identiti.

Dari Abu Sa'id Al-Khudri Ra. ia berkata: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya. "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang Tuan maksudkan?" Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam menjawab, "Siapa lagi?" (kalau bukan mereka). (HR. Muslim)

Oleh itu semua pihak perlu memainkan peranan menyedarkan masyarakat Islam terutama anak remaja mengenai bahaya budaya barat seperti liberalisasi, hendonisme dan sekularisme . Bukan sahaja blogger berdakwah melalui blog, ibu bapa menasihati anak-anak mereka, guru-guru mendidik pelajar-pelajar menyentuh tentang pentingnya kehidupan beragama, Tok Khatib memberi nasihat melalui mimbar-mimbar mesjid , Ngo Islam menyampaikan mesej dan risalah malahan yang lebih penting pihak kerajaan dan berwajib menetapkan satu dasar atau undang-undang berasas Islam yang dapat membendung terus budaya bercelaru ini dari terus menjadi parah kepada masyarakat Islam. Bolehkah ini dilaksanakan? Boleh…. jika kita semua kembali kepada AlQuran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Malangnya hari ini kita tidak bersatu.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk mnghadapi musuh-musuh Islam dalam apa jua bentuk di zaman yang penuh fitnah dan kerosakkan ini.
Read more...

Saturday, July 17, 2010

Ziarahilah Si Pemberi Nasihat Bisu




Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.


"Setiap yang bernyawa, pasti akan merasakan mati."
( Ali Imran : 185)


“Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”
(Al-Jumu’ah :8)


Ajal maut di tangan Allah. Setiap detik waktu berlalu adalah saat-saat kematian yang menghampiri kita kerana kita tidak ketahui bila Malaikat Maut akan menjemput kita. Namun berapa ramai yang melihat ini dengan penuh keinsafan. Apatah lagi dalam dunia yang penuh maksiat dan kerosakkan ini,. istilah Mati tidak tersenarai dalam kamus kehidupan manusia yang cintakan dunia.

Minggu lepas saya menziarahi ayah saudara saya yang telah kembali ke rahmatullah mengadap Allah yang Esa. Saya berkesempatan menghantar jenazahnya hingga selamat di kebumikan. Ramai rakantaulan dan sanak saudara yang mengiringi jenazah ke kuburan tetapi malangnya tidak semua mengambil kesempatan ikut sama menunaikan solat jenazah kepada arwah. Ramai yang hanya tunggu di luar perkarangan mesjid dan berbual kosong tanpa rasa bersalah untuk menjadikan kematian ini sebagai suatu iktibar.

Sabda Rasulullah S.A.W:
“ Ziarahlah kubur, kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”
( Hadis Riwayat Muslim (976) Kitab Al-Janaiz)


Rasulullah mengalakkan umatnya menziarahi kubur kerana kubur dapat menjadikan manusia insaf dan mengingati mati. Ia juga akan menjadi penyebab utama yang menguatkan hati hati manusia dan melahirkan perasaan takut dan gerun kepada Allah.

Jika setiap kali hari Jumaat ramai akan mengunjungi mesjid untuk menunaikan fardhu Jumaat. Sebelum menunaikan solat makmum akan mendengar Khatib berkhutbah memberi nasihat dan peringatan. Hakikatnya yang member nasihat cuma seorang iaitu Khatib tapi yang mendengarnya ramai. Sebaliknya jika menziarahi kuburan, semua penghuni kubur sebenarnya memberi nasihat kepada si penziarah. Hakikatnya yang memberi nasihat banyak tetapi yang mendengar dan mengambil iktibar sedikit bilangannya. Inilah uniknya sebuat tempat bernama kuburan. Biarpun penghuni kuburan hanya diam tanpa bicara tetapi ia merupakan penasihat bisu yang paling berkesan untuk manusia yang tahu berfikir dan selalu bermuhasabah diri.

Bagi orang yang bertakwa dan bersih hatinya, menziarahi kuburan atau menghantar jenazah ke kuburan mempunyai nilai peringatan yang begitu tinggi untuk menjadikannya manusia yang benar-benar menginsafi. Abu Hurairah apabila melihat jenazah, maka akan diucapkan penuh keinsafan : “ Pergilah dahulu. Aku akan mengikutimu kemudian”. Pernah Ibrahim az-Ziyat melihat orang-orang menziarahi jenazah dan melahirkan rasa simpati kepada si mati. Maka berkata Ibrahim: “ kalau kamu mengasihi dirimu sendiri itu adalah lebih baik. Baginya (Si mati) dia sudah melalui tiga kepedihan; mengadap wajah Malaikat Maut, kecemasan khatimah dan berada di kuburan.” Saidina Usman R.A apabila melalui kuburan, beliau akan berhenti dan selalu menangis hingga janggutnya basah oleh air mata. Dia berkata “ Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
“Kubur itu awal tempat Akhirat. Jika penghuninya selamat di situ, mudahlah sesudahnya. Jika penghuninya tidak selamat di situ, maka sesudahnya adalah lebih sulit.”

Namun hari ini begitu ramai manusia yang lalai. Mereka melihat dan mendengar khabar akan kematian rakan taulan, sanak saudara dan jiran tetangga tetapi hanya sedikit sahaja yang mahu mengambil iktibar. Mereka datang menziarahi jenazah dan menghantar ke kuburan tapi mereka tidak pernah punya rasa keinsafan. Mereka kira menziarahi sebagai syarat tanpa sedar hari ini mereka menziarahi jenazah orang tapi akan tiba saatnya jenazah mereka pula akan di ziarahi. Namun kekerasan hati adakalanya membuat manusia tidak pernah memikirkan akan hal sebegini.

Peringatan menziarahi kubur atau jenazah tidak akan bermanfaat kecuali bagi manusia yang menyakini akan azab dan nikmat kubur. Manusia yang takut akan siksaan Allah. Bagi mereka yang mahu berfikir, tanah kubur yang bisu sebenarnya mempunyai suara yang hanya bisa didengar oleh mereka yang selalu mengingati mati, yang mahu membayangkan kejadian yang akan terjadi kepada dirinya apabila saat kematian tiba. Di zaman jahiliyah moden yang penuh dengan fitnah dan pegangan aqidah yang semakin bercelaru, selayaknya mari kita perkuat dan perkukuhkan akar aqidah kita dengan menjadi hamba yang selalu takut kepada Allah Taala.
Read more...

Wednesday, July 7, 2010

Bertahajud bersama ustaz muka empat segi



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Pada malam hari, hendaklah engkau shalat Tahajud sebagai tambahan bagi engkau. Mudah-mudahan Tuhan mengangkat engkau ketempat yang terpuji.”
(QS Al-Isra’: 79)


Sahabat Abdullah bin Salam mengatakan, bahwa Nabi Muhammad saw bersabda:

“Hai sekalian manusia, sebarluaskanlah salam dan berikanlah makanan serta sholat malamlah diwaktu manusia sedang tidur, supaya kamu masuk Surga dengan selamat.” (HR Tirmidzi)


Minggu ini merupakan kemuncaknya pusingan akhir Piala Dunia 2010. Maka minggu depan akan kembali normal kehidupan manusia-manusia yang gila dan taksub kepada dunia bola sepak. Apa tidaknya, jika selama ini untuk bangun pagi terasa begitu malas sekali , tapi demi bola sepak kemalasan itu boleh diatasi.

Bayangkan ada yang sanggup kunci jam loceng dan telefon bimbit untuk mengejutkan mereka dari tidur agar tidak terlepas perlawanan jam 2.30pagi. Ada yang sanggup tidak mahu melelapkan mata , berjaga terus sepanjang malam, melepak di kedai mamak atau kelab hingga kepagi. Hebat sungguh penangan bola sepak. Itulah hakikatnya, manusia bersungguh-sungguh untuk hal-hal keduniaan .

Tidak salah untuk kita menonton asalkan kita tidak terus lalai dan tenggelam dengan keasyikan hingga melupakan tanggungjawab dan ibadah kita kepada Allah SWT. Sepanjang 31 hari berlangsungnya Piala Dunia ini ramai yang selama ini tak mampu nak bangun pagi, tiba-tiba dapat melakukannya. Hebat. Tapi kita akan menjadi lebih hebat lagi kalau sudah bangun di tengah malam sekitar jam 2.00 pagi atau 2.30 pagi, kita berupaya bermunajat dan bertahajud kepada Allah SWT terlebih dahulu sebelum menonton bola.

Rasulullah S.A.W bersabda:” Sewaktu salah seorang kamu tidur; di pembaringanmu syaitan mengikat tiga ikatan. Pada mala yang panjang, hendaklah kamu bangun. Jika telah bangun dan berzikir kepada Allah, maka lepaslah satu ikatan. Jika berwuduk, lepas satu ikatan lagi. Jika kemudian apabila solat , lepaslah satu ikatan lagi. Sehinggalah apabila bangun di waktu pagi dengan penuh semangat dan berjiwa lapang. Jika tidak, maka jiwamu sempit dan malas.”

Malangnya ini tidak berlaku. Ramai di antara kita, sudah ada kekuatan untuk bangun malam(pagi) tapi akhirnya hanya mampu bertahajud bersama ustaz muka empat segi. Kita tidak ada kekuatan untuk bangun, mengambil wuduk dan bersolat malam kepada Allahterlebih dahulu sebelum menonton. Lebih malang lagi, ada yang sudah bangun menonton perlawanan 2.30 pagi dan bila tamat perlawanan sekitar jam 4.30 pagi tetapi sudah tidak sanggup untuk menunggu masuknya waktu subuh. Akhirnya terlena dan meninggalkan solat subuh tanpa sedikitpun rasa bersalah kepada Allah SWT. Malah ada jemaah yang sanggup tidak datang ke surau atau mesjid untuk berjemaah maghrib atau isya’ semata-mata tidak mahu terlepas perlawanan jam 8.00 malam. Nauzubillah….

Inilah fenomena yang melanda ummah hari ini. Kelemahan dan perpecahan yang berlaku di kalangan orang Islam hari ini kerana tidak ada kekuatan dan istiqamah dalam menegakkan agama Allah sebagai panduan dalam kehidupan. Perkara agama dianggap remeh sedangkan hal-hal keduniaan dikerja dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Kelemahan ini bukan sahaja ada pada orang-orang awam seperti saya, malahan ia juga sudah merebak dan menjangkiti golongan-golongan ilmuwan yang memang mahir dan penuh dengan ilmu agama. Hari ini kita memegang dunia dengan begitu kuat seolah-olah tidak mahu melepaskannya sedangkan kita biarkan akhirat terawang-awang tanpa peduli. Ternyata golongan kuffar seperti Yahudi dan Nasrani telah berjaya mengkucar-kacirkan kehdupan ummah hari ini dengam lambakkan hiburan dan kesenanagan yang melampau. Meraikan dan berpesta sempena Piala Dunia merupakan antara contoh yang ketara buat ketika ini.

Rasulullah bersabda:
Siapa di waktu pagi lebih mementingkan dunia maka dia tidak memiliki sesuatu dari Allah. Malah Allah akan menetapkan empat hal dalam hatinya; kedukaan yang tidak pernah ada putusnya, kesibukan yang tidak pernah ada rehatnya, kefakiran yang tidak pernah sampai kaya dan angan-angan yang tidak pernah ada hentinya.”


Semoga Allah SWT selalu melindungi kita daripada melakukan kemaksiatan dan semoga Allah sentiasa memberi kekuatan hati dan iman untuk kita sama-sama menegakkan agama Allah dalam dunia yang penuh fitnah hari ini. Amin.
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company