Kisah Teladan

Ingin saya muatkan dalam blog ini kisah-kisah yang boleh menguatkan lagi keimanan kita kepada Allah dan kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W serta kekentalan jiwa kita kepada Islam. Kisah-kisah ini ada yang telah pernah kita baca dan dengar namun insyaallah ia tetap dapat menyuntik semangat kita menjadi hamba yang bertaqwa. Semoga kisah-kisah ini boleh menjadi contoh teladan dan iktibar dalam kehidupan kita mengharungi duniayang sementara ini.

Kisah 1 : Isteri Khalifah Umar AlKhattab dan rantai emas
Dikisahkan pada suatu ketika dahulu, isteri Khlaifah Umar Al Khattab menerima hadiah seutas rantai emas dari isteri pembesar Romawi. Akan tetapi ketika rantai itu dipakainya, Khlaifah Umar ternampak dan beliau mula berasa kurang senang.
“Dari mana kau dapat rantai ini,”Tanya Khalifah Umar.
“Hadiah dari isteri pembesar Romawi yang semalam dating ke mari bersama suaminya,” jawab isteri Khalifah Umar.
Mendengar keterangan isterinya, Khalifah Umar dengan tegasnya berkata,” Buka rantai ini dari lehermu, kerana kamu tidak berhak memakainya. Hadiah ini harus jadi milik negara!”
“Mengapa?” Tanya sang isteri kehairanan. “Bukankah ini merupakan hadiah oleh isteri pembesar Romawi untukku, bukan untuk negara!, ” jelas isteri Khalifah lagi.
Muka Khalifah Umar mula merah padam.
“Cuba engkau fikirkan, jika sekiranya aku ini bukan Khalifah, mahukah isteri pembesar Romawi memberikan hadiah rantai ini kepadamu? Aku rasa tidak! Kerana berapa ramai wanita di Madinah ini, akan tetapi seorangpun tak diberi rantai ini kecuali pada engkau. Jadi hadiah yang diberi kepada engkau ini ada hubungannya dengan Negara,” tegas Khalifah Umar.
Mendengar kata-kata suaminya, steri Khalifah Umar segera melepaskan rantai emas dari lehernya. Lalu dengan penuh senyuman rantai itu diberikan kepada suaminya.
“Aku bertaubat kepada Allah dan berjanji padamu untuk tidak melakukan lagi perbuatan ini, oleh itu serahkanlah rantai ini ke Baitulmal.” Kata sang isteri penuh ikhlas.
Pengajaran : Betapa manusia hanya menyanjung dan berbuat baikkepada seseorang itu hanya kerana pangkat atau kedudukan

Kisah 2 : Di potong tangan kerana memberi sedekah

Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun
memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia
telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat." (Sumber : Jab Agama Islam Perak)

Kisah 3 : Kisah 5 Perkara Aneh
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:-
1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam. Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk
menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun
akan menjadi lebih manis daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar. (Sumber : Jabatan Agama Islam Perak)

KISAH 4 :Keberanian Seorang Ulama'
Abu Hasan merupakan seorang ulama’ Sufi yang hidup pada sekitar abad keempat Hijrah atau kesepuluh Masihi. Ketua negara ketika itu ialah Ahmad Ibnu Thulun, seorang yang amat zalim.

Ahmad telah membunuh seramai 18,000 orang dengan cara tidak memberi mereka makan dan minum. Setelah melihat kezaliman yang begitu teruk, Abu Hasan teringat akan pesanan Nabi Muhammad yang bermaksud, ‘Jihad yang paling utama adalah mengatakan kebenaran di depan penguasa yang zalim’.

Apabila teringatkan kata-kata Nabi itu, secara tiba-tiba semangat Abu Hasan melonjak. Tanpa merasa takut atau gerun, dia menemui Ahmad Ibnu Thulun lalu berkata, “Engkau telah menzalimi rakyat.”

Ahmad menjadi teramat marah mendengar kata-kata itu. Dia segera menangkap Abu Hasan dan memenjarakannya. Di dalam tahanan, seekor singa yang kelaparan dilepaskan bagi menamatkan riwayat Abu Hasan. Singa itu maju selangkah dan mundur, mendengus dan kemudian diam. Kemudian binatang buas itu menundukkan kepalanya sambil mendekati Abu Hasan dan menciumnya. Setelah itu ia pergi dengan tenang meninggalkan Abu Hasan.

Ahmad Ibnu Thulun menyaksikan peristiwa itu dengan berdebar. Dia tiba-tiba tersentak dari tempat duduknya apabila singa itu tiba-tiba memandangnya dengan tajam. Orang-orang yang menyaksikan peristiwa yang mengerikan itu merasa kagum dan hormat kepada Abu Hasan, dan mereka pun bertakbir beramai-ramai. Setelah Ahmad Ibnu Thulun menyaksikan peristiwa ajaib itu, dia segera memanggil Abu Hasan dan menyoalnya.

“Cuba kau ceritakan kepadaku apakah yang engkau fikirkan ketika singa itu mendekatimu. Engkau tidak sedikitpun melihat atau peduli kepadanya,” dia bertanya.

Abu Hasan menjawab, “Saya hanya memikirkan tentang air liurnya apabila singa itu menyentuh saya nanti. Apakah ia suci ataupun najis?”

“Apakah engkau tidak takut kepada singa?”

“Tidak, kerana Allah telah melindungiku dari kejahatannya,” jawab Abu Hasan dengan tenang.
(Sumber : Norziati Mohd Rosman)

Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company