Wednesday, September 28, 2011

Hudud & Tuan Guru Nik Aziz: Katakan Boleh Kepada Islam


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu…”( Al Maidah :49)

”Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Al Maidah :50)

"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Al-Baqarah:229).


Apabila Tuan Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam, perasaan ini terharu bercampur gembira. Syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah, akhirnya, PAS sedar juga akan hakikat perjuangan sebenar. Usah berpaling lagi dari landasan perjuangan ke arah menegakkan daulah Islammiyah. Pedulikan dengan ugutan pelbagai pihak sama ada DAP atau mana pihak sekalipun. Kita tidak perlukan pertolongan manusia dalam menegakkan hukum Allah (apatah lagi kalau mereka itu golongan yang secara terang-terangan menentang hukum Allah) kerana keyakinan kepada Allah mengatasi segalanya. Yakinlah kepada pertolongan Allah, jika kita benar-benar jujur dan ikhlas, insyallah Allah akan tetap memberi kemenangan kepada kita.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). “ (Al-Anfal :45)

Sepatutnya semua umat Islam menyokong hasrat Tuan Guru Nik Aziz ini tanpa berbelah bagi, bukannya menuding jari dan menyelar niat Tuan Guru dengan pelbagai tuduhan. Samaada gimik politik ataupun tidak, apa masalahnya? Biarlah Kelantan menjadi role model pemerintahan berpaksikan Al Quran dan as sunnah, di mana hudud merupakan sebahagian daripada undang-undang Allah yang bakal dilaksanakan. Saya yakin dan percaya, Tuan Guru benar-benar ikhlas dan jujur. Siapakah kita, yang berani dan ingin menentang hukum dan peraturan Allah? Amat malang sekali, kerana ada di kalangan orang Islam sendiri yang kurang yakin dengan pelaksanaan hukum Allah ini . Malahan ada juga segelintir bijakpandai yang cuba mempertikaikan niat Tuan Guru.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.” (An-Nisaa : 61)

Ada setengah bijak pandai berpendapat, pelaksanaan hukum Allah ini boleh dilaksanakan hanya bila suasana Kelantan sudah cukup kondusif. Nak tunggu kondusif tu sampai bila? Bagi saya, Kelantan sebenarnya sudah lama bersedia untuk melaksanakan pemerintahan berpaksikan Al Quran dan As sunnah. Yang penting, masyarakat terutama bukan Islam perlu diberi penerangan yang sejelas-jelasnya. Biar mereka tahu, pelaksanaan hukum Allah ini bukanlah sesuatu yang menggerunkan seperti mana sesetengah tanggapan buruk yang dapat kita baca dalam laman-laman sosial.Sebenarnya, ramai yang tidak faham tentang Islam walaupun dah beranak pinak di negara ini.

Kepada orang-orang bukan Islam, jika mereka mahu hidup dalam suasana yang aman dan selamat, maka sudah tentu pelaksanaan undang-undang Allah sahaja yang dapat merealisasikannya. Dalam hal ini, Karpal Singh dan konco-konconya dalam DAP perlu belajar untuk tutup mulut. Jangan jadi ayam jantan (tua) berkokok untuk dapatkan perhatian. Ingat! DAP tak punya satu kerusipun di Kelantan. Mengapa perlu Karpal nak melalak dan bising, bila Tuan Guru nak laksanakan undang-undang Islam di Kelantan. Itu hak dia, dia yang menjadi pemerintah di Kelantan. Kalau dulu Karpal kata “over my death body” kalau PAS nak laksanakan hukum hudud, kini tiba masanya kita orang Islam bersatu hati dan katakan pada Karpal laknatullah “Over our death body” kalau nak menghalang PAS melaksanakan hukum Allah di bumi Kelantan.

Sudah tiba masanya semua umat Islam di negara ini bersatu di bawah panji-panji Allah. Hentikan segala persengketaan, tuduh menuduh, caci mencaci, dusta mendustai kerana selagi kita hidup dalam permusuhan sesama Islam, maka selagi itu Allah tak akan memberi pertolongan kepada kita. Sesungguhnya perpecahan dan pertengkaran itu adalah sesuatu wabak dan penyakit yang berbahaya yang telah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai “penyakit ummat” yang akan membawa kepada kebinasaan.Semoga Allah memberi kekutan kepada kita dan para pejuang Hukum Allah. Sentiasa istiqamah dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.

Firman Allah “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (An-Nisaa : 59)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat :10)

Read more...

Tuesday, September 20, 2011

Hantu Bonceng : Zizan dan Ahmad Idham, Terimalah Teguran Dengan Berlapang Dada


Segala puji-pujian hanya layak milik Allah, Rabb semesta alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W semoga tetap terlimpah kepada sayyidil anam, Nabiyyina Muhammad, beserta keluarga dan para sahabatnya serta pengikutnya yang setia hingga akhir zaman.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah kepada manusia) supaya melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Dan mereka adalah golongan umat yang berjaya. (Surah Ali Imran: 104)

Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud daripada Abu Said Al-Khudrhi, katanya: Saya telah mendengar Rasulullah bersabda, barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegahnya dengan tangan (kekuasaan). Jika tidak mampu, cegahlah dengan lidahnya (memberi nasihat). Jika tidak mampu juga, maka hendaklah mencegah dalam hati (tidak merestui perbuatan mungkar dan maksiat itu) dan ia adalah tahap iman yang paling lemah.
Mengubah pepatah lama “ Makan bukan boleh sebarang makan, cakappun bukan boleh sebarang cakap.” Inilah yang terjadi kepada pelawak dan pelakon Zizan Raja Lawak dalam filem terbarunya “Hantu Bonceng”. Zizan dikatakan menghina Rasulullah SAW dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar Syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan”. Tambah pulak dengan dakwaan pelakon tu juga seolah mempersendakan azan dan memakai baju terdapat tanda salib death note ke masjid dalam adegen filem tersebut.

Walaupun isu ini tidaklah sehangat dunia politik yang menyaksikan umat Islam bercakaran sesama sendiri tapi bagi saya isu mempersenda agama dan Rasulullah adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Terdapat bebarapa blog yang menyiarkan berita keceluparan mulut pelawak ini dalam entri mereka. Namun sesetengah pihak terutama pihak yang bertanggungjawab memandang seolah-oilah isu ini kecil dan terpencil . Kita kata kita sayang dan cinta kepada Rasulullah. Kita selalu impikan masuk syurga Allah dan mendapat syafaat daripada baginda Rasulullah tapi malangnya bila ada pihak menghina agama dan Rasulullah kita sedikitpun tidak terasa sayu, sedih, tercabar apatah lagi marah.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah, tidak mengazab orang ramai dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang yang khusus (Allah tidak mengazabkan orang ramai apabila ada golongan tertentu mengerjakan maksiat di kalangan mereka) sehinggalah mereka melihat maksiat berlaku di kalangan mereka sedangkan mereka mampu mencegahnya tetapi tiba-tiba mereka tidak mencegahnya."

Walaupun Zizan dalam twitternya telah memohon maaf atas kesilapannya menghina Rasulullah dalam filem tapi ia satu peringatan kepadanya, agar berhati-hati bila mengeluarkan sebarang perkataan. Janganlah kerana ingin orang ketawakan kita, kita sanggup menjual dan mempersenda agama dan Rasulullah. Hari ini kita masih hidup mungkin kita tidak terasa apa-apa dek perkataan yang kita lafazkan. Apakah yang akan kita jawab nanti bila kita dipersoalkan di mahkamah Allah nanti. Saya melihat akhir-akhir ini ramai artis kita terutama sesetengah pelawak (mohon maaf kepada yang sentiasa menjaga perkataannya) mempersendakan agama hanya untuk meraih gelak tawa penonton. Bagaimana orang bukan Islam nak menghormati agama Islam jika kita sendiri sebagai penganutnya bersikap biadap , celupar dan sewenang-wenangnya mempersendakan agama dan Rasulullah? Saya menyeru kepada diri saya sendiri , dengan rasa hina diri, mohonlah keampunan bukan kepada manusia tetapi yang penting kepada Allah Ta’ala. Sentiasa beristighfar dan bertaubat diatas ketelanjuran kita.

Malangnya di ketika Zizan mengaku kesilapannya, Saudara Ahmad Idham sebagai pengarah filem “Hantu Bonceng”melenting apabila orang menegurnya mengenai perkara ini. Teguran tidak semestinya datang dari orang yang berilmu apatah lagi kalau kesalahan itu sudah terang dan nyata. Soal samada pihak penapis filem (LPF)sudah lulus atau terlepas pandang,itu membabitlkan persoalan amanah mereka dengan Allah Ta’ala. Jika memang mereka sedar tapi meluluskan juga atau terlepas pandang, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ahmad Idham janganlah terlalu sombong dan bongkak apabila ada orang cuba memberi teguran. Terima sahaja walaupun ianya sesuatu yang pahit untuk diterima. Jatuhkan maruah kita jika kita memohon maaf atas setiap kesilapan yang kita lakukan? Ingat segala kemewahan, kepandaian dan nikmat yang kita dapat hari ini adalah anugerah Allah. Allah belum lagi menguji kita. Janganlah menjual agama dan pegangan aqidah kita hanya untuk mendapat habuan dunia yang sedikit. Andai Allah tarik satu daripada nikmat-nikmatNYA di atas keceluparan kita, apa yang nak kita katakan? Sepatutnya Ahmad Idham berterima kasih kepada saudara seIslam yang masih sayang pada Ahmad Idham dan sudi membuat teguran.


Sifat sombong, hujub, bongkak atau takabur adalah antara sifat tercela yang dibenci Allah Subhanahu Wata'ala sebagai firman-Nya :
"Dan janganlah engkau memalingkan muka kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabur lagi membangakan diri". (Surah Luqman :18)


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam maksudnya :
"Dari Abdullah bin Mashud dari Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam Baginda bersabda : Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya mempunyai sifat sombong walau sebesar zarrah".


Sesungguhnya umat Islam itu adalah bersaudara kerana itu agama Islam mengajar kita supaya mengeratkan hubungan tersebut dengan kasih sayang agar dengannya kita menjadi umat Islam yang kuat dan bersatu padu. Selain itu kita juga dituntut untuk mengelakkan diri dari membuat sebarang perbuatan yang boleh mengakibatkan timbulnya kebencian dan permusuhan sesama Islam yang akhirnya boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dan seterusnya menjadikan kita umat Islam yang lemah.

Saya bukanlah manusia yang berilmu atau seorang alim, tetapi apabila berlaku kemungkaran, apatah lagi bila membabitkan soal penghinaan terhadap agama Allah dan Rasullullah, kita sebagai umat Islam berhak untuk memberi tazkirah kepada saudara-saudara kita yang mungkin alpa dan terlupa. Sekaligus tazkirah juga dapat mengingatkan diri kita sendiri agar-berhati-hati dalam setiap perjalanan hidup ini agar segala apa yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah.

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Sesungguhnya orang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa hina. (al-Ahzab: 57)
Read more...

Saturday, September 17, 2011

Kes Aminulrasyid : Iktibar Untuk Semua


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.” (Al-Nahl : 126)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

(Bukhari)

Walaupun Kes Aminulrasyid sudah tidak sepanas semasa tragedi itu baru berlaku pada tanggal 26 April tahun lalu, namun saya terpanggil untuk menulis dalam entri kali ini. Bagi saya, kes Aminulrasyid, pelajar berumur 15 tahun yang ditembak mati oleh polis kira-kira jam 1.10 pagi adalah satu iktibar untuk renungan semua pihak.

Akhbar semalam (16 sept.2011) menyiarkan keputusan mahkamah terhadap Koperal Jenain Subi yang didakwa melepaskan tembakan kepada kereta yang dipandu Aminulrasyid dan menyebabkan kematian pelajar tersebut. Koperal Jenain, bapa kepada empat orang anak ini akhirnya dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Setelah berkhidmat selama 25 tahun dengan rekod bersih dalam perkhidmatan polis, Koperal Jenain tidak pernah menduga begini berakhirnya perkhidmatannya. Semuanya sudah suratan takdir , dia yang sedang menjalankan tugas membenteras jenayah tidak pernah menyangka yang satu hari nanti akan berdiri di kandang pesalah. Koperal Jenain menjalankan tugas, namun mungkin kerana mengikut emosi atau gerak hati menyebabkan koperal Jenain bertindak melebihi bidang kuasa yang sepatutnya. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Hilang pertimbangan apatah lagi bila berada dalam situasi yang Allah sahaja mengetahui, apa=apa sahaja boleh terjadi.

(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. (Al- Nahl : 96)


Saya berharap agar keluarga Koperal Jenain redha dengan ketentuan Allah. Hari ini Allah menguji kita, tapi percayalah pasti ada hikmah disebalik sesuatu kejadian tersebut. Saya mengingatkan diri saya sendiri agar berhati-hati apabila melakukan apa jua pekerjaan. Berharap agar setiap perlakuan kita sentiasa dalam reda Allah.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal” (At- Taubah :51)

Bagi keluarga Aminulrasyid , keputusan mahkamah ini mungkin sesuatu yang boleh melegakan sedikit perasaan sedih, marah dan kecewa. Namun itulah suratan takdir. Sama ada kita sukaatau sebaliknya, itulah ketentuan Allah. Kematian adik Aminurasyid merupakan iktibar kepada para ibu bapa dan juga anak-anak yang di luar sana. Kasih sayang bukan bermakna kita sebagai ibu bapa menurut apa jua kehendak anak-anak. Saya melihat akhir-akhir ini ada ibu bapa yang tidak kisah anak-anak mereka memandu kereta lebih-lebih lagi motosikal tanpa memiliki lesen. Perlulah diingat, mematuhi sesuatu peraturan atau undang-undang yang baik (asalkan tidak bertentangan dengan hukum Allah) adalah dituntut.

Terdapat kes Ibu bapa yang malas ke kedai atau sesuatu tempat, sanggup membenarkan anak-anak mereka membawa kenderaan tanpa lesen untuk memenuhi keperluan mereka. Malahan ada yang dah mengajar anak-anak menunggang motosikal seawal di tahun dua atau tiga. Pernah saya bersua dengan beberapa anak gadis lingkungan tahun lima atau enam menunggng motosikal bersahaja tanpa mempedulikan keselamatan. Dah la tu....siap tak pakai helmet lagi. Pernah saya menegur, bukan mereka nak hormat kepada kita yang lebih dewasa, malahan ada yang membeliakkan biji mata sambil menunjukan muka marah.Masyallah...tabarakallah.

Bila terjadi kes seperti kemalangan, ditangkap pihak berkuasa dan sebagainya, maka sudah pasti ibu bapa mereka tidak mahu meletakkan kesalahan ke atas anak-anak mereka. Sebaliknya orang lain pasti menjadi mangsa keadaan dan habuan melepaskan kemarahan. Kepada anak-anak remaja, kebebasan bukan bermakna kita boleh melanggar peraturan dan undang-undang. Apatah sebagai orang Islam, Rasulullah mendidik kita menjadi hamba yang soleh dan berguna bukan sahaja di sisi Allah tapi juga dalam menjaga hubungan dengan sesama manusia.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah” (Al-Hadid:22)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada keluarag Aminulrasyid dan Koperal Jenain. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Inilah ketentuan Allah.
Read more...

Sunday, September 11, 2011

Dari Imam Muda Ke Ustazah Pilihan


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda
"Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa :26)

Daripada Abi Mas'ud Uqbah bin 'Amr al-Ansari al-Badri radiyallahuanhu berkata: Bahawa Rasulullah sallallahu-alaihis-salam bersabda: Sesungguhnya sebahagian daripada apa yang telah dikenali orang daripada ungkapan kenabian yang pertama adalah; JIKA ENGKAU TIDAK MALU BERBUATLAH SEKEHENDAKMU. (Riwayat al-Bukhari ,no 3296, 5769)


Sebuah stesen TV berbayar pada 2010 dengan bangganya mengumumkan bahawa program Imam Muda yang dikendalikan menjadi satu-satunya program bercorak Islamik yang mendapat perhatian dunia. Dan kita pun turut gembira, dikala dunia penyiaran (tv) kita dipenuhi dengan program realiti hiburan yang melampau dan menyesakkan nafas, ada juga program bercorak keagamaan ke arah membentuk generasi muda yang penuh dengan ilmu ukhrawi dan duniawi. Sebelum ini pun memang ada juga program keagamaan yang dianjurkan stesen tv swasta seperti Akademi Al Quran dan Akademi Nasyid (dah berkubur kot) . Program Imam Muda ternyata berjaya mencetus satu fenomena baru dan mendapat sambutan baik dari masyarakat Islam yangmemang dahagakan program-program bercorak keagamaan apatah lagi ia dipersembahkan dalam bentuk yang agak santai.

Selepas melihat kejayaan Imam Muda, stesen TV swasta tersebut cuba mengorak langkah menganjurkan program yang hampir sama tapi dikhaskan kepada golongan muslimah iaitu Ustazah Pilihan . Persoalannya, apakah perlu sebuah program sebegini untuk golongan muslimah. Isu ini menjadi bualan hangat dalam blog-blog dan laman-laman sosial. Ternyata agenda dan muslihat agen-agen Yahudi sudah berjaya menguasai pemikiran dan jiwa orang-orang Islam. Yahudi bukan sahaja berjaya memasukkan jarum halus mereka di kalangan orang awam, malahan yang penuh ilmu agama dan berderai-derai menyampaikan dakwah serta ceramah juga tidak terkecuali menjadi mangsa. Program Ustazah Pilihan ini ternyata merupakan kejayaan agenda Yahudi berselindung disebalik topeng program bercorak keagamaan.

Allah menciptakan wanita bukan untuk diperaga atau untuk dieksploitasi demi keuntungan sesuatu pihak. Islam meletakkan status seorang wanita pada kedudukan yang tinggi. Islam memelihara hak-hak seorang wanita dan bukan untuk dipertontonkan sewenang-wenangnya kerana ini akan menimbulkan unsur fitnah dan maksiat. Bagaimana imej para peserta yang akan dipertontonkan nanti? . Seorang muslimah perlu menjaga soal 'tabarruj' (berhias) dan 'ghadul bashar' (menundukkan pandangan) di khalayak ramai apatah lagi dikalangan lelaki agar terhindar dari fitnah. Kalaupun tujuan program ini berniat baik, namun ia masih tidak sesuai untuk mengketengahkan wanita sebagai bahan tontonan umum kerana yang menonton itu menonton dengan pelbagai tafsiran tersendiri. Perlulah diingat yang menonton itu bukan setakat sepasang mata, malahan jutaan pasang mata yang memandang.

Di manakah letaknya konsep malu yang digariskan dalam Islam? Para ulamak membahagikan rasa malu wanita itu pada empat perkara , yaitu pergerakannya, pandangannya, tutur katanya dan pakaiannya . Keempat hal inilah yang akan menjaga diri seorang wanita dari sifat-sifat tercela orang lain yang ada di sekelilingnya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah, katanya, Rasulullah saw. bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh tigaan cabang, yang paling utama adalah ucapan La ilaha illallah dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri dari jalanan, sedangkan malu adalah sebagian dari iman.”

Memperjuangkan emasipasi wanita tidak salah tetapi ada had dan sekatannya. Bukan semua tugas dan benda boleh dipikul oleh wanita. Al Quran dan as sunnah telah mengariskan panduan lengkap dan terperinci tentang peranan wanita dan ciri-ciri untuk menjadi muslimah sejati tanpa perlu tampil di kaca tv. Ingat...musuh-musuh Islam sentiasa berusaha sedaya upaya menyeleweng pemikiran dan aqidah kita. Mereka tidak pernah lupa, cuma kita kadang kala terleka kerana mengejar habuan dunia yang sementara. Yang pasti apa yang kita cari selama ini, apakah hanya untuk mendapat sanjungan dan habuan dunia atau untuk mendapat redha ALLAH?
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company