Sunday, March 31, 2013

Bahayanya Syiah : Apa Yang nak DiTakut Penularannya


Hai   
          "Hai Rasul ALLAH , sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanatNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
(Al-Maaidah :67)

Baru-baru ini saya berkesempatan mendengar forum khas yang dianjurkan oleh masjid Alma Jaya  di Seberang Perai Tengah tentang Bahayanya Syiah.  Forum yang diadakan selepas solat Isya’ itu mengundang ahli-ahli panel yang memang hebat dalam selok belok dan sepak terajang golongan syiah ini.  Mereka ialah Ustaz Abdullah Din, naib YDP ABIM Kedah dan juga Prof. Madya Dr. Abd Aziz Hanafi iaitu pensyarah kanan Kolej Universiti Insaniah bersama moderatornya Ustaz Abd Rashid.

Malangnya, forum yang diadakan di masjid yang dikelilingi oleh kawasan perumahan majoriti orang Islam tidak mendapat sambutan yang diharapkan.  Walaupun pihak mesjid dah iklankan melalui banner dan flyer namun jumlah yang hadir di tambah dengan pengunjung kariah luar tak sampai pun memenuhi sepertiga masjid.  Ustaz Abdullah Din dalam ceramah awalnya telah melahirkan perasaan kecewa dengan sambutan  penduduk sekitar .

 Secara berseloroh beliau menyindir yang penduduk sekitar Masjid Alma Jaya mempunyai pegangan aqidah ASWJ (Ahli Sunnah Wal Jamaah) yang kuat dan teguh.  Mereka ini tidak gentar dengan penularan fahaman syiah yang semakin hari semakin merebak bak barah dalam masyarakat Islam di Malaysia, sebab itu mereka tak datang.  Sebab iman dan aqidah mereka sudah cukup hebat.

 Syiah bukan sahaja bertapak  dan menulari ahli golongan agama sahaja, malah meresapi pemikiran para pensyarah IPT, para pendidik, malahan ada dikalangan golongan syiah ini terdiri daripada ustaz-ustaz sekolah. Yang lebih membimbangkan , menurut  Ustaz Abdullah Din terdapat ahli politik kanan parti-parti  politik yang turut menerima fahaman syiah dan kebimbangan paling besar jika golongan seperti ini memenangi pilihanraya dan diberi jawatan dalam kabinet.  Namun bagi penduduk taman ini dan yang sewaktu dengannya mereka tidak punya rasa bimbang.  Apa yang nak ditakut penularannya?  Iman kami kuat!  Mungkin begitu kata sombong hati-hati mereka ini.

Saya tidak mahu menulis lebih lanjut tentang syiah dan pengaruhnya kerana kita boleh mendapat maklumat terperinci    melalui media-media baru .  Namun  apa yang ingin saya catatkan di sini ialah mengenai sikap masyarakat kita yang memandang sepi majlis-majlis ilmu seperti ini.  Menurut salah seorang sahabat yang tinggal di Taman berkenaan, terdapat segelintir golongan  masyarakat  di taman tersebut yang memang tidak pernah mengunjungi masjid tersebut kerana tidak bersefahaman politik.  Mereka mempunyai surau sendiri.  Malahan mereka sanggup berjumaat di kariah lain kerana perselisihan politik.  Masyaallah tabarakalah.

Ayuh kita tanggalkan segala perhiasan dunia dan fahaman kepartian di luar perkarangan masjid kerana  niat kita mengunjungi  rumah ALLAH hanyalah untuk mendapat keredhaanNYA,bukan kerana makhluk.  Kita rapatkan saf-saf yang telah lama terpecah dan lompong  demi  menegakkan sinar ALLAH.

Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar
(Al- Israa’:9)

Read more...

Sunday, March 3, 2013

Pencerobohan Lahad Datu : Sepatutnya Kita Berdoa Bukannya Memperlekeh


Firman Allah Ta’ala  “ Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”  ( Surah An Anfal : 45-46)

 Daripada Abi Akwar Said bin Zaid Amru bin Nufel r.a. (beliau adalah salah seorang antara sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga) katanya, Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain (nyawa), maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalahmati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid” (Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.  Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta kaum kerabat baginda serta para sahabat baginda dan pejuang yang berjuang demi menegakkan panji_panji Islam.
Al Fatihah untuk dua orang anggota   komando PDRM atau VAT69 yang terkorban dalam kes serangan penjenayah di Lahad Datu.Hanya ALLAH Ta’ala yang layak  menilai dan memberi ganjaran di atas segala perjuangan mereka berdua bersama sahabat-sahabat yang lain dan bukannya manusia.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando

Malangnya kejadian pencerobohan di Lahad Datu telah diekploitasi juga oleh pihak-pihak yang biadap dan tidak bertanggungjawab.  Mempersenda isu keselamatan Negara dan mengaitkan dengan politik demi kepartian adalah sesuatu yang biadap dan kurang ajar.   

Isu Lahad Datu membabitkan keselamatan Negara.  Ia membabitkan isu melindungi Negara dan keselamatan orang awam agar tidak menjadi mangsa pencerobohan.  Sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu  berdoa, bersolat hajat, bertahajjud memohon kepada ALLAH agar Allah memelihara Negara kita ini dari segala bencana dan kemudaratan.  Bukannya duduk bersenang lenang dengan komputer riba dan suka-suka menulis atau memasukkan entri memperlekeh isu ini dengan kata-kata nista dan dusta.  memperkecilkan keupayaan pemerintah negara, tentera dan anggota polis negara sendiri.

Kenyataan Tian Chua mengaitkan isu Lahad Datu dengan sebuah parti yang bertentangan dengan perjuangannya adalah sesuatu yang biadap.  Isu ini bukan menjadi isu kepartian tetapi ia membabitkan soal keselamatan Negara.  Sepatutnya orang seperti Tian Chua bersyukur kerana hidup mewah dan bebas di Negara ini.  Saya percaya orang seperti Tian Chua lah yang akan berpusu-pusu untuk  keluar negara melarikan diri jika berlaku sesuatu malapetaka dalam Negara.  (Saya masih ingat suatu ketika dahulu bila ura-ura keselamatan negara terancam, berpusu-pusu orang seperti Tian Chua ke pejabat Imigresen untuk buat passport ke luar negara) Di mana kesetiaan Tian Chua dalam  isu ini?  Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia kita bersama-sama mempertahankan kedaulatan Negara ini.  Memberi sokongan dan semangat kepada anggota keselamatan kita.

Ini bukan Negara UMNO, ini bukan negara Barisan Nasional ataupun Negara  Pakatan Rakyat (kalau menang nanti).  Ini Negara MALAYSIA.  Parti yang menang hanya sekadar diberi mandat  mentadbir negara bukannya Negara itu hak kepunyaan mereka.  Kalau suka kita sokong kalau tak suka kita ubah bila tiba pilihanraya.  Isunya,  mengapa ada orang-orang seperti Tian Chua serta sahabatnya  dan beberapa pengguna laman media sosial yang lain terlalu biadap dan menangguk di air keruh dalam isu ini.

Sebagai orang Islam, kita berserah segalanya kepada ketentuan ALLAH setelah semua usaha terbaik dibuat oleh pihak berkuasa dan pasukan keselamatan.  Senjata yang paling ampuh yang ada pada kita sebagai manusia kerdil ialah berdoa kepada ALLAH agar memelihara bumi tercinta ini dan memberi kekuataan kepada anggota keselamatan menghadapi musuh.  Semoga ALLAH sentiasa memayungi dan melindungi anggota keselamatan kita dari segala mala bahaya.  Berdoalah kita agar ALLAH Ta’ala. memberi  kekuatan kepada anggota keluarga Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dan menyembuhkan  anggota keselamatan yang mengalami kecederaan.  Amin


Read more...

There was an error in this gadget

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company