Friday, December 31, 2010

Selamat Datang 2011 : Usah dicemari dengan Kemungkaran dan Kemaksiatan


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta
Tinggal tidak berapa jam lagi tahun 2010 akan meninggalkan kita dan 2011 pula akan menjengah kita. Detik datang dan pergi tanpa sesaat pun menunggu. Maka tinggallah segala apa yang kita lakukan sepanjang 2010 sebagai lipatan kenangan sahaja.

Teringat saya kepada salah satu soalan yang dilemparkan oleh Imam Al Ghazali kepada anak-anak muridnya dalam suatu majlis ilmu. Soalannya, “Apakah perkara yang paling jauh daripada kita?”. Walaupun pelbagai jawapan yang diberi oleh anak-anak muridnya, namun yang tepat perkara yang jauh dari kita ialah “masa lalu”. Biarpun sesaat berlalu, namun ia tak mungkin muncul kembali. Kitalah sebagai hamba Allah perlu berhati-hati dan beringat agar setiap detik dalam melayari kehidupan ini dilakukan dengan sebijak yang mungkin dan sentiasa mendapat keredhaan Allah. Kita tidak mahu membuang detik-detik yang ada dengan sia-sia dan akhirnya kita menjadi manusia yang rugibukan sekadar di dunia, malahan di akhirat jua.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Al-‘Asr :1-3)


Oleh itu setiap apa jua kenangan atau peristiwa yang kita lakukan sepanjang 2010, ia bukan sahaja menjadi lipatan sejarah tetapi yang lebih penting ia sentiasa menjadi iktibar untuk kita jadikan kayu ukur untuk mengharungi 2011. Menjelang kedatangan 2011, kita bermuhasabah diri menghitung untung dan rugi yang telah kita lakukan sepanjang berlalunya 2010.

Malang sekali hari ini kita sering dilalai dan dilekakan dengan dunia sehingga terlupa kita bahawa setiap kali kita merayakan kedatangan tahun baru, bermakna kita sudah selangkah menghampiri jalan menuju harihari kematian. Tak perlu kita menjengah ke negara luar, lihatlah dalam ruang tempurung kita sendiri, bagaimana sesetengah masyarakat kita menyambut kedatangan tahun baru.

Mereka menghiasi ambang tahun baru dengan pelbagai aktiviti kemaksiatan dan kemungkaran. Anak-anak muda berpeleseran samada dengan pasangan masing-masing atau bersama teman melepak di tempat-tempat tertentu, menghadiri parti-parti liar, ke kelab dan pub atas alasan menyambut kedatangan tahun baru. Saya masih ingat bagaimana sekumpulan anak-anak muda di Pulau Pinang suatu ketika dulu bertindak gila memijak dan merosakkan kenderaan-kenderaan, bertindak liar dan bergaduh menjelangnya ambang tahun baru. Sesuatu yang menyedihkan.

Malahan sudah menjadi lumrah di negara kita, beberapa buah negeri terutama ibu kota Kuala Lumpur akan mengadakan konsert-konsert menjelang ambang tahun baru. Jalan-jalan utama di bandara raya akan ditutup untuk memberilaluan kepada sambutan 2011. Sepanjang malam beberapa tempat di ibu kota dan beberapa negeri lain akan dihiasi dengan persembahan konsert oleh artis tempatan dan luar. Konsert yang berlarutan hingga ke awal pagi ini, sudah pasti mengundang pelbagai kegiatan maksiat dan mungkar di kalangan sebahagian pengunjung. Stesen-stesen TV juga akan melambakkan pelbagai jenis hiburan kepada para penonton di rumah.

Seingat saya, hanya pada tahun 2004 sahaja segalabentuk konsert menjelang ambang tahun baru dibatalkan. Itupun kerana tarikh berlakunya peristiwa Tsunami begitu hampir menjelang tahun baru. Kalau tidak, sudah pasti konsert dan majlis kemaksiatan dan kemungkaran diteruskan. Apakah setelah Allah memberi peringatan, baru kita mahu kembali kepada Allah? Padahal setiap detik dalam melayari hidup ini kita serahkan di bawah lindungan Allah. Hidup dan mati kita hanya untuk Allah.

"Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukkan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Al-Anbiya:35)


Saya tertanya-tanya, dimanakah program berbentuk kerohanian? Kalau adapun dibuat oleh mesjid dan surau, ia bagaikan satu program terpencil. Apakah tahun 2011 tidak akan muncul kalau kita tidak adakan segala majlis dan konsert kemungkaran ini? Apakah ini acuan generasi muda yang ingin kita lahirkan iaitu genarasi yang condong dan gemar pada hiburan. Generasi muda yang selesa dengan kemungkaran dan kemaksiatan sehingga terlupa batasan halal dan haramnya. Masyallah...tabarakallah.

Para pemimpin dan kerajaan sepatutnya dan semestinya memainkan peranan dengan menganjurkan program-program kerohanian yang lebih relevan ke arah melahirkan generasi yang cintakan kepada agama. Bukannya melalaikan mereka dengan pelbagai genre hiburan yang melampau menjelang ambang tahun baru. Persepsi dan minda anak-anak muda perlu diubah agar tidak “dimindsetkan” setiap kali tahun baru pasti akan ada konsert dan sambutan. Ingatlah! Kita punya Islam sebagai benteng dan kayu ukur. Biarpun kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, yang pastinya sesuatu benda membawa ke arah kebaikan sudah tentu tidak akan ada orang yang menentangnya kecuali mereka yang tidak berilmu.

Kepada anak-anak muda, usah dibiarkan nafsu menguasai diri. Allah melihat setiap apa yang kita kerjakan. Pokok dari semua maksiat dan kelalaian serta syahwat itu, kerana ingin memuaskan nafsu. Sedangkan pokok dari segalaketaatan, kesedaran dan kesopanan akhlak budi, ialah dengan adanya pengekangan (penahanan) terhadap hawa nafsu.(petikan Al-Hikam). Setiap kali ingin melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, ingatlah pada Allah atau sekurang-kurangnya pejamkan mata dan bayangkan wajah ayah dan ibu. Setiap pengharapan dan doa mereka jangan kita persiakan dan membalanyas dengan kemaksiatan serta kemungkaran.

“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf :53)

Selamat menyambut kedatangan tahun 2011. Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Kembali kepada Islam sepenuhnya kerana inilah satu-satunya jalan penyelamat di dunia dan akhirat. Amin
Read more...

Wednesday, December 29, 2010

Gay: Hebatkah kita Melawan Hukum Allah


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas," (Al-A'raaf: 81).

Diriwayatkan dasri Abdullah bin Abbas r.a, "Bahwasanya Rasulullah saw. bersabda, 'Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Luth, Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Luth, Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Luth'," (Shahih, HR Ahmad [I/3090]).


Beberapa hari yang lalu dalam beberapa buah akhbar arus perdana dimuatkan tentang kebimbangan masyarakat mengenai pengaruh gay yang semakin menular di kalangan anak-anak muda Melayu .(yang sudah tentu Islam walaupun hanya tertera di atas kad pengenalan sahaja). Trenda ini semakin hari semakin merebak dan peratusan keahliannya juga meningkat . Lebih membimbangkan lagi, ada di kalangan remaja Melayu ini yang tanpa berselindung membuat kenyataan terbuka melalui blog dan laman you tube. Masyaallah ..Tabarakallah

Kalau dahulu cerita mengenai gay, lesbian, homoseks dan sebagainya hanya khabar-khabar yang kita dengar dari barat.. Kini mimpi ngeri itu menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita. Persoalannya , mengapa remaja Melayu yang punya agama sebagai pegangan juga terlibat? Inilah jawapan yang perlu dijawab oleh semua pihak , bermula dari ibu bapa, ahli keluarga, alim ulama’, komuniti , pemimpin masyarakat dan pihak pemerintah. Semua mesti memainkan peranan. Tuduh menuduh dan tuding menuding tidak akan menyelesaikan masalah. Langkah menangani masalah ini (bukan setakat menyekat pengaruh gay sahaja tapi homoseks, lesbian, pengkid dan sebagainya) perlu ditangani sebelum luka merobok menjadi lebih parah.

Salah satu punca keruntuhan akhlak remaja ialah kecetekan ilmu agama. Agama bagi anak-anak remaja adalah cuma sebagai sebahagian butiran yang hanya perlu ada dalam biodata diri, tidak lebih dari itu. Ilmu agama yang sedikit yang dibekalkan semasa belajar di sekolah belum cukup memantapkan keimanan diri anak-anak remaja. Bila di peringkat universiti pendidikan Islam bukannya menjadi satu subjek pilihan. Berbekalkan kecetekan ilmu agama serta ditambah dengan sogokkan hiburan yang melampau dalam pelbagai sudut media, akhirnya anak-anak remaja kita tewas dalam perjalanan mencari identiti. Mereka lebih mudah terpengaruh dengan sesuatu yang dirasakan mampu memberi keselesaan dalam kehidupan mereka.

Saya menelusuri beberapa laman blog kumpulan-kumpulan gay dan ternyata keberanian anak-anak remaja Melayu adalah suatu ketakutan bagi saya. Saya bimbang kemaksiatan yang berleluasa ini akhirnya Allah akan menimpakan bala yang lebih besar walaupun selama ini kita sudah diberi pengajaran demi pengajaran oleh Allah Ta’ala. Salah satu laman web yang saya jumpa, memaparkan biodata golongan gay secara terang-terangan mengiklankan diri untuk mendapatkan kenalan yang punya keinginan yang sama. Layari laman Gay-Datanta. Yang menyedihkan saya ramai remaja Melayu turut mengiklankan diri mereka tanpa rasa bersalah kepada Allah Ta’ala. Malahan golongan ini juga mempunyai kelab persendirian yang menawarkan kad keahlian , yang dikenali sebagai kad UTOPIA di mana mereka boleh memperolehi kemudahan yang disediakan oleh golongan seperti mereka di lokasi-lokasi pelancongan tertentu. Layari laman Kad Utopia.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a, ia berkata, "Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan atas ummatku adalah perbuatan kaum Luth (homoseksual)," (Hasan, HR at-Tirmidzi [1457])

"Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu (mu), bukan (mendatangi) wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu)," (an-Naml: 55).


Anak-anak remaja perlu disedarkan tentang betapa pentingnya hidup berlandaskan agama. Anak-anak remaja perlu diberi penerangan betapa perlunya memperkukuhkan benteng keimanan. Apatah lagi di zaman yang penuh mehnah dan maksiat ini. Anak-anak remaja perlu disedarkan mengenai tanggungjawab mereka sebagai anak kepada ibu bapa. Memenuhi cita-cita dan harapan ibu bapa kerana suatu hari nanti mereka juga akan membesar dan menjadi ibu bapa kepada zuriat mereka. Inilah peranan yang perlu seluruh masyarakat Islam mainkan bukan sekadar mencari kesalahan orang. Bagaimana caranya membimbing anak-anak remaja ini, maka itulah penyelesaian yang perlu dirungkaikan.

Bagi anak-anak remaja, menjadi gay, lesbian, homoseks, pengkid, bohsia, gro dan sebagainya, walaupun pada dasarnya satu kepuasan dan kenikmatan diri tapi pada hakikatnya ianya bukanlah suatu nikmat hidup yang sebenar. Ingat! Jiwa anak-anak muda mudah tertipu dengan bisikan Iblis laknatullah. Wahai anak-anak remaja, apalah sangat erti nikmat menjadi gay jika kenikmatan itu hanya bersifat sementara yang tiada penyudahnya. Hebatkah kita jika dapat melawan hukum Allah?

Ingat,kita punya Islam sebagai kayu pengukur dalam melayari kehidupan ini. Mungkin anak-anak remaja berasa selesa, seronok, asyik masyuk dengan kehidupan sebagai gay, lesbian atau pengkid tapi sedarlah bahawa berapa lama kita mampu bertahan dengan kenikmatan dunia ini. Setahun, sepuluh tahun, dua puluh tahun atau lima puluh tahun, tapi yang pasti akhirnya kita akan menemui dengan satu hakikat iaitu kematian. Pada ketika itu , apakah baru kita teringat bahawa kita punya Islam sebagai pegangan, Allah sebagai Tuhan dan Muhammad S.A.W sebagai Rasul. Sedarlah bahawa pintu taubat masih terbuka. Ingat sesungguhnya seksaan Allah amatlah dasyhat dan pedih.

Wahai anak-anak remaja, semua orang tak bisa lari dari melakukan kesalahan dan kemaksiatan selagi hidup di muka bumi Allah ini. Kita hanya manusia biasa. Apa yang penting kita punya keinginan kembali kepada Allah setelah jauh tersesat di penghujungnya. Untuk kembali ke jalan Allah tidak perlu ada rasa gusar dan malu. Allah sentiasa menerima taubat kita kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:
Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya iaitu:
1. Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta orang miskin yang pemurah.
2. Aku cintakan orang yang rendah hati dan diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.
3. Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta orang muda yang bertaubat.


Sesungguhnya, kepada anak-anak muda yang sudah terlanjur, kita masih belum terlewat. Ayuh berpatah balik mencari jalan pulang . Allah masih sayang kepada kita dan Allah sentiasa membuka peluang seluas-luasnya kepada hamba-Nya untuk bertaubat siang dan malam .

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selama (nyawanya) belum sampai pada kerongkong.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Semoga kita sentiasa di dalam lindungan Allah Ta’ala. Amin
Read more...

Gay : Hebatkah Kita Melawan Hukum Allah


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas," (Al-A'raaf: 81).

Diriwayatkan dasri Abdullah bin Abbas r.a, "Bahwasanya Rasulullah saw. bersabda, 'Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Luth, Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Luth, Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Luth'," (Shahih, HR Ahmad [I/3090]).


Beberapa hari yang lalu dalam beberapa buah akhbar arus perdana dimuatkan tentang kebimbangan masyarakat mengenai pengaruh gay yang semakin menular di kalangan anak-anak muda Melayu .(yang sudah tentu Islam walaupun hanya tertera di atas kad pengenalan sahaja). Trenda ini semakin hari semakin merebak dan peratusan keahliannya juga meningkat . Lebih membimbangkan lagi, ada di kalangan remaja Melayu ini yang tanpa berselindung membuat kenyataan terbuka melalui blog dan laman you tube. Masyaallah ..Tabarakallah

Kalau dahulu cerita mengenai gay, lesbian, homoseks dan sebagainya hanya khabar-khabar yang kita dengar dari barat.. Kini mimpi ngeri itu menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita. Persoalannya , mengapa remaja Melayu yang punya agama sebagai pegangan juga terlibat? Inilah jawapan yang perlu dijawab oleh semua pihak , bermula dari ibu bapa, ahli keluarga, alim ulama’, komuniti , pemimpin masyarakat dan pihak pemerintah. Semua mesti memainkan peranan. Tuduh menuduh dan tuding menuding tidak akan menyelesaikan masalah. Langkah menangani masalah ini (bukan setakat menyekat pengaruh gay sahaja tapi homoseks, lesbian, pengkid dan sebagainya) perlu ditangani sebelum luka merobok menjadi lebih parah.

Salah satu punca keruntuhan akhlak remaja ialah kecetekan ilmu agama. Agama bagi anak-anak remaja adalah cuma sebagai sebahagian butiran yang hanya perlu ada dalam biodata diri, tidak lebih dari itu. Ilmu agama yang sedikit yang dibekalkan semasa belajar di sekolah belum cukup memantapkan keimanan diri anak-anak remaja. Bila di peringkat universiti pendidikan Islam bukannya menjadi satu subjek pilihan. Berbekalkan kecetekan ilmu agama serta ditambah dengan sogokkan hiburan yang melampau dalam pelbagai sudut media, akhirnya anak-anak remaja kita tewas dalam perjalanan mencari identiti. Mereka lebih mudah terpengaruh dengan sesuatu yang dirasakan mampu memberi keselesaan dalam kehidupan mereka.

Saya menelusuri beberapa laman blog kumpulan-kumpulan gay dan ternyata keberanian anak-anak remaja Melayu adalah suatu ketakutan bagi saya. Saya bimbang kemaksiatan yang berleluasa ini akhirnya Allah akan menimpakan bala yang lebih besar walaupun selama ini kita sudah diberi pengajaran demi pengajaran oleh Allah Ta’ala. Salah satu laman web yang saya jumpa, memaparkan biodata golongan gay secara terang-terangan mengiklankan diri untuk mendapatkan kenalan yang punya keinginan yang sama. Yang menyedihkan saya ramai remaja Melayu turut mengiklankan diri mereka tanpa rasa bersalah kepada Allah Ta’ala. Malahan golongan ini juga mempunyai kelab persendirian yang menawarkan kad keahlian , yang dikenali sebagai kad UTOPIA di mana mereka boleh memperolehi kemudahan yang disediakan oleh golongan seperti mereka di lokasi-lokasi pelancongan tertentu.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a, ia berkata, "Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan atas ummatku adalah perbuatan kaum Luth (homoseksual)," (Hasan, HR at-Tirmidzi [1457])

"Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu (mu), bukan (mendatangi) wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu)," (an-Naml: 55).

Anak-anak remaja perlu disedarkan tentang betapa pentingnya hidup berlandaskan agama. Anak-anak remaja perlu diberi penerangan betapa perlunya memperkukuhkan benteng keimanan. Apatah lagi di zaman yang penuh mehnah dan maksiat ini. Anak-anak remaja perlu disedarkan mengenai tanggungjawab mereka sebagai anak kepada ibu bapa. Memenuhi cita-cita dan harapan ibu bapa kerana suatu hari nanti mereka juga akan membesar dan menjadi ibu bapa kepada zuriat mereka. Inilah peranan yang perlu seluruh masyarakat Islam mainkan bukan sekadar mencari kesalahan orang. Bagaimana caranya membimbing anak-anak remaja ini, maka itulah penyelesaian yang perlu dirungkaikan.

Bagi anak-anak remaja, menjadi gay, lesbian, homoseks, pengkid, bohsia, gro dan sebagainya, kenikmatan yang dikecapi bukanlah suatu nikmat hidup yang sebenar. Jiwa anak-anak muda sebenarnya mudah tertipu dengan bisikan iblis laknatullah. Iblis dan syaitan sentiasa memujuk kita memilih sesuatu yang tidak indah dan memudaratkan untuk dikatakan indah dan penuh kenikmatan. Kerapuhan kota iman akhirnya merobohkan benteng pegangan aqidah . Wahai anak-anak remaja yang sudah jauh tersasar, apalah sangat erti nikmat menjadi gay jika kenikmatan itu hanya bersifat sementara yang tiada penyudahnya. Hebatkah kita jika dapat melawan hukum Allah? Renung dan bermuhasabahlah, kerana saya percaya kebanyakkan anak-anak remaja yang terjerumus dalam gejala gay, lesbian dan pengkid ini mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Ingat,kita punya Islam sebagai kayu pengukur dalam melayari kehidupan ini. Mungkin anak-anak remaja berasa selesa, seronok, asyik masyuk dengan kehidupan sebagai gay, lesbian atau pengkid tapi sedarlah bahawa berapa lama kita mampu bertahan dengan kenikmatan dunia ini. Setahun, sepuluh tahun, dua puluh tahun atau lima puluh tahun, tapi yang pasti akhirnya kita akan menemui dengan satu hakikat iaitu kematian. Pada ketika itu , apakah baru kita teringat bahawa kita punya Islam sebagai pegangan, Allah sebagai Tuhan dan Muhammad S.A.W sebagai Rasul. Sedarlah bahawa pintu taubat masih terbuka. Ingat sesungguhnya seksaan Allah amatlah dasyhat dan pedih.

Wahai anak-anak remaja, semua orang tak bisa lari dari melakukan kesalahan dan kemaksiatan selagi hidup di muka bumi Allah ini. Kita hanya manusia biasa. Apa yang penting kita punya keinginan kembali kepada Allah setelah jauh tersesat di penghujungnya. Untuk kembali ke jalan Allah tidak perlu ada rasa gusar dan malu. Allah sentiasa menerima taubat kita kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:
Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya iaitu:
1. Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta orang miskin yang pemurah.
2. Aku cintakan orang yang rendah hati dan diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.
3. Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta orang muda yang bertaubat.


Sesungguhnya, kepada anak-anak muda yang sudah terlanjur, kita masih belum terlewat. Ayuh berpatah balik mencari jalan pulang . Allah masih sayang kepada kita dan Allah sentiasa membuka peluang seluas-luasnya kepada hamba-Nya untuk bertaubat siang dan malam .

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selama (nyawanya) belum sampai pada kerongkong.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Semoga kita sentiasa di dalam lindungan Allah Ta’ala. Amin
Read more...

Saturday, December 25, 2010

Sambutan Krismas : Prestij Tidak Menjamin Syurga Allah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir. “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.“Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”. (Al-Kafirun :1-6)


Dunia makin bercelaru. Soal pegangan agama dipandang mudah dan enteng oleh kebanyakkan orang terutama anak-anak remaja. Pengaruh dunia luar terutama dari barat ternyata berjaya menghasut pemikiran dan cara hidup anak-anak muda kita.

Negara kita yang tercinta tidak terlepas daripada menghadapi ancaman musuh-musuh ALLah yang sentiasa mencari jalan memporak perandakan ummah. Jarum-jarum halus mereka menusuk halus ke dalam setiap liang roma masyarakat kita. Hiburan yang melampau, pergaulan tanpa batasan, makanan yang berunsur syubahah tanpa diketahui sumber halal haramnya adalah antara unsur yang berjaya menguasai sebahagian jiwa dan aqidah anak-anak remaja kita.

Mutakhir ini ramai anak-anak remaja Islam terutama yang tinggal di ibu kota dan bandar-bandar besar turut sama menyertai rakan-rakan mereka yang kristian menyambut kedatangan krimas. Lebih malang lagi ada di kalangan mereka bukan sahaja turut menyambut perayaan krismas, malah ada yang turut sama mengenakan topi atau pakaian ala santa claus.

Bagi mereka itu bukan suatu kesalahan di sisi agama. Bila ditegur, ada yang memberi jawapan bahawa dunia sudah berubah maka persepsi kita juga perlu diubah. Jangan terlalu sempit dan anti sosial. Masyallah ...tabarakallah.

Kita tidak menyalahkan mereka mungkin kerena kecetekan ilmu ataupun tiada siapa yang tampil membuat teguran atas tingkah kelakuan mereka selama ini. Tugas ini bukan sahaja perlu digalas oleh para ibu bapa, para alim ulama’ tetapi peranan yang paling besar perlu dilaksanakan oleh pihak pemerintah.
Media massa adalah saluran terbaik untuk memberi kesedaran mengenai peri pentingnya memelihara aqidah ummah agar tidak terus terpesong dan terpengaruh dengan dakyah musuh-musuh Allah . Janganlah asyik melaungkan kempen-kempen kurangkan gula, Satu Malaysia, Keselamatan Jalan Raya dan sebagainya, sedangkan aqidah dan pegangan agama anak-anak remaja terus hanyut dan tergadai tanpa dipeduli.

Kepada sesiapa jua, terutama anak-anak muda, berhati-hatilah bila menyambut sesuatu perayaan bersama rakan-rakan yang bukan Islam. Bukan niat kita tidak menghormati kepercayaan mereka tetapi Islam sebagai agama yang suci mempunyai garis panduan mengenai perkara ini. Dalam Islam soal prestij, imej dan sebagainya tidak timbul jika ianya bertentangan dengan aqidah. Menjaga prestij dan imej tidak menjanjikan keredhaan serta syurga Allah jika ianya melanggar soal aqidah.

Perayaan Krismas yang disambut pada setiap 25 Disember walaupun kononnya untuk menyambut kelahiran Nabi Isa bagi penganut Kristian tapi sebenarnya merupakan satu perayaan Rom kuno untuk menyambut hari kelahiran Sol (matahari) . (Sumber : The Encyclopedia Americana). Sambutan Krismas adalah sambutan syirik orang-orang Kristian menyambut kelahiran tuhan mereka ke dunia yang dipanggil dalam bahasa Ibrani sebagai “Immanuel” (“Tuhan menyertai kita”)5. Oleh sebab itu, Islam tidak membenarkan sama sekali umatnya untuk terlibat serta dalam apa juga bentuk sambutan hari Krismas, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung walaupun hanya dengan mengatakan, “Happy Christmas” atau “Merry Christmas” sekalipun.:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Al-Maidah :2)

Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu hadisnya mengingatkan kita tentang meniru atau menyerupai ajaran sesuatu kaum yang lain, sabdanya,
“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka ia akan dibangkitkan bersama kaum itu.” (riwayat Abu Daud)

Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al-Hussain bin Mansur al-Tabari berkata, tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka. (Ibn Qayyim Al-Jauziyah, Ahkam Ahl al-Zimmah, jilid 1, hal 156, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut)

Menurut Fatwa Lajnah Daaimah, kunjungan terhadap perayaan orang bukan Islam tidak boleh dilakukan kerana ia akan melibatkan orang yang melakukannya kepada dosa. (al-Syeikh Ahmad bin Abdul Razak, Fatawa al-Lujnah al-Da`imah lil Buhuth al-Ilmiah wal Ifta`, jilid 3, hal 436, Dar al-Muaiyyad, Riyadh)


Tepuk dada dan tanyalah iman. Moga Allah sentiasa melindungi diri kita.
Read more...

Wednesday, December 15, 2010

Selamat Pagi : Mensyukuri Nikmat Allah



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari mengingatiku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Toha:124)

Arghh..hh kita mengeliat panjang setiapkali bangun tidur. Sedapnya tidur apatah lagi bila dibuai dengan mimpi-mimpi indah. Melihat jam loceng, “Eh..masih awal lagi, baru pukul 7.00 pagi. Hari ni kan cuti…boleh sambung tidur lagi!”
Episod kisah di atas merupakan sebahagian rutin kehidupan manusia tidak kira samada dia seorang lelaki atau perempuan, tua atau muda, kaya atau miskin, sempurna atau sebaliknya. Kita merenung diri kita, apakah kita termasuk dalam golongan manusia berfikiran seperti di atas. Jika “ya” atau kadang kala “ya” maka malang sungguh kehidupan kita ini. Jika “tidak” maka bersyukurlah kita kerana kita merupakan antara golongan yang tahu mensyukuri akan nikmat Allah.

Adalah malang bagi kita jika setiap kali membuka mata dari lena yang panjang kita tidak pernah terfikir untuk bersyukur kerana Allah masih saying dan memberi kesempatan untuk kita mengharungi kehidupan di dunia ini lagi. Berapa ramai yang pada malamnya masih bernafas tetapi keesokkan paginya sudah menjadi tubuh kaku tidak bernyawa. Apakah susah untuk kita melafazkan sekurang-kurangnya Allahamdulillah kerana kita masih dihidupkan semula dari suatu kematian kecil iaitu tidur.

Berapa ramai yang setiap bangun dari tidur, terfikir bahawa sebentar nanti kita mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai hamba kepada Pencipta (Allah) iaitu menunaikan solat subuh. Atau berapa ramai yang bila bangun lewat di saat hampir terbitnya fajar matahari, berasa kesal, terkilan dan bersalah kerana lewat menunaikan tanggugjawab kepada Allah Ta’ala. Jika semua perasaan ini ada pada kita, maka bersyukurlah kerana kita masih lagi tergolong dalam golongan manusia yang tahu mensyukuri nikmat dan rahmat Allah. Jika tidak, adalah malang sekali bagi kita manusia kerdil yang tidak punya sedikitpun rasa bersalah. Menikmati nikmat dan rahmat Allah tapi tidak tahu bersyukur dan berterima kasih kepada Sang Pencipta iaitu Allah Ta’ala.

Jika kamu bersyukur pasti akan Kutambah (nikmat-Ku)untukmu, dan bila kamu kufur, maka sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.
(Surah Ibrahim :7)


Allah Ta’ala tidak memerlukan rasa dan lafaz syukur kita. Kerana Allah itu Maha Hebat, Maha Perkasa dan segala-galanya oleh itu Allah tidak perlukan semua itu tetapi kitalah sebagai hambanya yang perlu sedar bahawa setiap detik dan saat kehidupan ini adalah anugerah daripada NYA. Dalam ruangan ini saya hanya menterjemahkan satu daripada jutaan nikmat Allah kepada kita sebagai penghuni alam iaitu nikmat nafas yang masih dikurnia Allah setelah bangun dari tidur yang panjang . Kalau nak dihitung nikmat dan rahmat Allah kepada kita, maka tak akan terhitung oleh kita. Tapi malangnya, berapa yang yang tahu untuk bersyukur, kalau tidak masakan pada waktu subuh yang bersolat di masjid dan surau lebih banyak tiang daripada makmumnya. Masyaallah ..tabarakallah.

Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?
(Iaitu) neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka Jahannam.
(Surah Ibrahim : 28-29)


Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. (Surah An-Naml:40)

Kita mulakan langkah awal kita dengan mengucapkan rasa syukur seawal bangunnya kita dari tidur. Dan rasa kesyukuran itu kemudiannya kita terjemahkan dalam setiap detik kehidupan kita seharian agar kita tidak digolongkan dalam manusia yang lalai. Kepada anak-anak yang sedang bercuti sekolah atau cuti semester, jangan biarkan rasa malas membelenggu diri. Kalau malamnya kita boleh berjaga sehingga lewat malam duduk di hadapan computer, apakah kita tidak rasa bersalah pada Allah kerana membiarkan keesokkan paginya tanpa bangun bersujud mengadap NYA.
Read more...

Thursday, December 9, 2010

Awal Muharram 1432: Hijrah mencari Keredhaan Allah


"Dan, orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya". (Surah al-Hasyr :9)

Pada 7 Disember 2010, umat Islam menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1432 yang lebih dikenali dikalangan masyarakat kita sebagai awal Muharram. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Pantasnya masa beredar sebenarnya satu bandingan mudah bahawa begitu juga cepat umur kita meningkat. Semakin hari kita menjadi semakin tua. Bila kita rasakan setiap hari umur kita bertambah sebenarnya ia memberi peringatan secara simbolik bahawa kita semakin hari semakin hampir dengan hari-hari kematian. Beruntunglah orang-orang mukmin yang sentiasa mengingati mati kerana hanya orang yang bijaksana sahaja yang selalu mengingati mati.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” ( Al-‘Ankabut :57)

Rasulullah S.A.W bersabda : “Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan dunia (mati) kerana tidaklah seseorang yang dalam kesempitan itu mengingatinya (mati) melainkan ia akan melapangkannya, dan tidaklah seseorang yang dalam keadaan lapang itu mengingatinya melainkan ia akan menyempitkannya”. [Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Tabarani dalam al-Awsath. Berkata al-Haithami : Isnadnya hasan].

Islam sebagai agama yang syumul merangkumi segenap kehidupan dunia dan akhirat. Namun umat Islam tidak menyambut kedatangan tahun baru Hijrah seperti kebanyakkan manusia lain menyambut kedatangan tahun baru Masehi dengan penuh sambutan kegilaan. Umat Islam sepatutnya menyambut kedatangan tahun baru Hijrah dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan bahawa kita masih diberi peluang untuk hidup dimuka bumi Allah ini. Oleh itu tahun baru Hijrah merupakan titik tolak untuk umat Islam merenung dan bermuhasabah tentang sejauhmanakah persediaan yang sudah kita bekalkan untuk berjumpa dengan AllahTa’ala nanti.

Awal Muharam menjadi titik tolak bagi kita melakukan penghijrahan hati, minda dan mengubah tabiat buruk kepada acuan hidup yang diredhai oleh Allah Ta’ala. Jika selama ini kita begitu jauh daripada Allah, maka inilah titik permulaan untuk kita mendekati Allah. Kita tidak perlu melakukan perubahan yang drastik, cukuplah sekadar kita mengambil langkah demi langkah untuk berubah dan meninggalkan segala keburukkan serta kemungkaran . Yang paling penting perubahan diri ini kita lakukan secara konsisten dan berterusan. Di sinilah terletaknya kekuatan iman dan kecekalan hati

Dari Syaddaad bin Aus dari Nabi Muhammad s.a.w bersabda : Orang yang cerdik ialah orang yang bermuhasabah diri dan ia beramal untuk hari-hari selepas mati Orang yang lemah ialah mereka mengikut hawa nafsunya dan ia berangan-angan keatas Allah"

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Antara keelokan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan segala perkara yang tidak berguna kepadanya. (riwayat at-Tarmizi dan lain-lain..Hadith Hasan)

Marilah kita bersama-sama menanam tekad dan azam agar bersungguh berhijrah menuju jalan keredhaan Allah dan bersungguh -sungguh meninggalkan segala kemungkaran dan kemaksiatan.
Read more...

Sunday, December 5, 2010

Facebook : Jangan Sampai Menjerat Diri



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabah baginda.'
' Syaitan itu menjanjikan kepadamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat jahat.' ' (Al-Baqarah: 268)

Rasulullah s.a.w. bersabda;
'' Dalam hati ada dua bisikan. Satu bisikan dari malaikat mengajak kebaikan dan mempercayai akan kebenaran. Siapa merasakannya, ketahuilah dari ALLAH dan hendaklah memuji kepadanya yang lainnya bisikan dari musuh (syaitan) mengajak kepada kejahatan dan mendustakan kebenaran, bahkan melarang kebaikan. Siapa menemukannya, hendaklah segera memohon perlindungan kepada ALLAH dan bisikan syaitan yang terkutuk.... ''


Seorang guru wanita berusia 42 tahun di Kota Bharu kerugian RM15,000 akibat diperdaya teman baru Facebooknya yang kononnya mengaku seorang lelaki Iraq. Niat ikhlas guru wanita itu untuk membantu membebaskan “lelaki Iraq” yang kononnya ditangkap pihak Imigresen KLIA akhirnya membawa padah. Kisah penipuan manusia melalui laman sosial Facebook bukanlah sesuatu perkara yang baru di negara kita. Sudah ada puluhan kes yang sama sebelum ini dilaporkan dan malangnya masih ada insan-insan yang mudah tertipu.

Kalau kisah penipuan ini berlaku di dalam dunia realiti adalah sesuatu perkara biasa seperti ditipu saudara atau kenalan sendiri, sindiket gores menang, pelaburan palsu dan sebagainya. Tapi yang menghairankan kita, bagaimana seseorang itu boleh ditipu dalam dunia siber atau maya. Bagaimana seseorang itu boleh mudah percaya kepada seseorang yang dia sendiripun belum pernah bertemu. Sebenarnya inilah penangan dunia siber.

Segala-gala yang mustahil boleh berlaku di dunia siber, apatah lagi dengan wujudnya banyak laman-laman sosial yang memberi ruang untuk sesiapa sahaja berkenalan , bersembang dan berbual secara online dalam dunia tanpa sempadan. Dalam dunia siber, yang kurang kacak boleh menjadi kacak, yang tidak cantik boleh menjadi anggun, yang rendah boleh menjadi tinggi, yang miskin boleh menjadi kaya, yang papa boleh manjadi anak raja, yang anak-anak boleh menjadi remaja dan yang lebih malang lagi bila yang tua boleh menjadi muda. Malahan ada yang sudah berumahtangga boleh menjadi bujang kembali. Inilah bahana dan bahayanya dunia siber.

Bila sudah terjebak dalam dunia chatting (ruang sembang) ia boleh menjadi penyakit yang akhirnya menjerumus seseorang itu menjadi penagih. Ini adalah penyakit sosial alaf baru. Terdapat manusia yang merasakan hidupnya seharian tidak sempurna dan penuh kegelisahan jika berkunjung ke tempat yang tidak ada capaian internet. Malahan ada yang merasakan hidupnya tidak sempurna jika dalam sehari dia tidak dapat membuka atau mengunjungi laman sosial ataupun membuka kotak e-mailnya. Ada pula yang sanggup duduk berjam-jam untuk berchatting. Ni belum dikira masa yang dihabiskan untuk melayari internet lagi. Masyaallah Tabarakallah. Inilah bahayanya dunia siber jika kita tidak dapat mengawal diri.

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (Al-Hadid :20)


Kalau dari segi hiburan , berhibur sehingga melalaikan maka hukumnya haram, bagaimana pula dengan manusia yang dilalaikan dengan dunia siber. Apa tidaknya, seseorang itu boleh lupa waktu makan, mandi, urusan-urusan penting yang lain, anak bini atau suami, malahan lebih parah lagi hingga lupa waktu solat (kalau solatpun akhir-akhir waktu) kerana diasyik masyukkan dengan laman sosial. Inilah persoalan yang perlu dijawab. Maka disinilah peranan para ulama untuk duduk bermuzakarah dan berbincang mengenai masalah sosial sebegini kerana ia sudah mula menjadi satu penyakit yang merbahaya melanda ummah jika tidak dikawal. Malahan beberapa ulama Mesir telah mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, kerana kesan negatifnya kepada pasangan suami isteri.

Di Amerika Syarikat, satu kaji selidik dari Akademi Pengacara Perkahwinan Amerika (AAML) mengikut perincian yang diperolehi daripada data kajian AAML, 66 peratus kes perceraian adalah dari Facebook, Myspace 15 peratus dan Twitter (lima peratus). Timbalan Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustafa berkata, sebanyak 27,110 kes perceraian telah direkodkan daripada 135,136 perkahwinan yang telah didaftarkan pada tahun 2009. Salah satu faktor penceraian (walaupun belum ada kajian menyeluruh) ialah akibat laman sosial.

Saya berpesan pada diri saya sendiri, anak-anak remaja dan juga yang sudah dewasa serta yang berumahtangga, berhati-hatilah bila melayari dunia siber terutama bila memasuki laman sosial. Sesuatu yang berfaedah boleh memudaratkan bukan sekadar jiwa dan minda tetapi juga aqidah dan pegangan agama jika kita menyalahgunakannya. Berpijaklah di bumi nyata.

Semoga Allah sentiasa memberi kita kekuatan untuk terus meletakkan Islam di takah teratas dalam segala apa jua pekerjaan dan perlakuan kita semasa melayari kehidupan di dunia sementara ini. Semoga kita sentiasa mendapat redha ALLAH. Amin
Read more...

Tuesday, November 30, 2010

Selamat Tinggal Dunia


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” {Al-i-‘Imran:185)

E-mail yang saya terima daripada kakak saya baru-baru ini agak menarik dan saya rasakan boleh dikongsi bersama. Biarpun isi email tersebut menceritakan bagaimana suasana bila menjelang kiamat dan keadaan di Mahsyar namun ia tidak pernah menjemukan kita. Malahan cerita-cerita sebegini bagaikan satu peringatan kepada kita untuk lebih bertakwa dan sentiasa ingin mendapat keredhaan Allah dalam apa jua tindak tanduk kita. Saya muatkan isi email tersebut:

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ - Pemimpin yang adil.

ⅱ - Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ - Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ - Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ - Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

ⅵ - Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ - Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ - Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ - Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ - Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
Read more...

Tuesday, November 23, 2010

Pelikkah Kalau Nabil bercium : Berpesan-pesanlah dengan kebenaran


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta


Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[Surah Al-'Asr Ayat 1-3]

Rasulullah shalallahu alaihi wa salam bersabda, ”Janganlah kamu meremehkan dosa, seperti kaum yang singgah di perut lembah. Lalu seseorang datang membawa ranting dan seorang lainnya lagi datang membawa ranting sehingga mereka dapat menanak roti mereka. Bila saja orang yang melakukan suatu dosa menganggap remeh suatu dosa, maka itu akan membinasakannya.” (HR. Ahmad dengan sanad yang hasan)

Seperti kebiasaannya, saya lebih suka membaca semua tajuk-tajuk berita bermula dari muka depan hingga ke muka belakang terlebih dahulu sebelum membaca keseluruhan isi sesuatu berita atau artikel. Pagi itu seperti kebiasaannya, saya meneliti tajuk-tajuk dalam akhbar Mingguan Malaysia (21 November 2010) terlebih dahulu. Pandangan saya terhenti pada tajuk awal di muka depan akhbar tersebut. “Pelikkah kalau Nabil bercium?” merupakan tajuk berita yang membuat perasaan saya ingin tahu apa keseluruhan isi ceritanya.
Setelah membaca isi beritanya, saya mengucap panjang.

Masyallah...Tabarakallah apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini yang mengaku Islam sebagai pegangan tapi pada masa yang sama perkara-perkara kemaksiatan dianggap bagaikan sesuatu kebiasaan tanpa ada rasa bersalah atau penuh kekesalan. Bila kita mempersoalkan sejauhmana kepatuhan mereka sebagai hamba Allah dan cintanya mereka kepada Rasulullah S.A.W, mereka melenting dan mempersoalkan kita dengan pelbagai tuduhan. Bila ada bekas artis (sekarang pengacara) mengeluarkan kenyataan yang artis tidak boleh dijadikan contoh kerana sikap dan peribadi yang buruk, maka ada pihak-pihak tertentu yang marah.

Abdullah bin Mas’ud radhiallahu anhu berkata, ”Orang beriman melihat dosa-dosanya seolah-olah ia duduk di bawah gunung, ia takut gunung tersebut menimpanya. Sementara orang yang fajir (suka berbuat dosa) dosanya seperti lalat yang lewat di atas hidungnya.”

Saya sedar, sebagai manusia biasa saya tidak terkecuali daripada melakukan dosa dan maksiat. Namun sebagai manusia yang mencari redha Allah, kita akan cepat-cepat insaf, bertaubat dan memohon keampunan Allah jika menyedari setiap kesalahan yang telah dilakukan dan seboleh-bolehnya berjanji tidak akan mengulanginya. Sebagai manusia yang cintakan kepada saudara seagama, tegur menegur, ingat mengingati antara satu sama lain adalah merupakan tanggungjawab kita dalam menjaga hubungan antara manusia dengan manusia.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,
‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.

Bukanlah tujuan saya memperlekeh kredibiliti wartawan hiburan yang menggelar dirinya Siti Jarum apatah lag jika nak dibandingkan dengan diri saya yang ternyata tidak ada sekelumit pun ilmu kewartawanan. Akan tetapi tulisan Siti Jarum mengenai kes Nabil adalah sesuatu yang merbahaya kepada anak-anak remaja Islam. Saya selitkan sedikit tulisan Siti Jarum : “ Siti nak tanya sikit, pelik sangatkah Nabil bercium? Siti tak kata yang dalam gambar itu Nabil tapi pelikkah kalau itu adalah dia? Tapi kita buat heboh seolah-olah yang Nabil tu takut dengan perempuan, nampak perempuan pun pengsan.
Siti tak rasa pelik sikit pun. Ini bukan prejudis tapi daripada pengalaman kita semua, Nabil pernah bercium dengan Irma dalam satu majlis hiburan di Genting Highland. Bagi Nabil, bercium bukanlah isu besar. Kata Nabil, dia bercium tak jejaskan ekonomi negara. Siti suka jawapan cerdik begitu. Jadi tak pelikkan kalau Nabil ini dianggap kaki cium bukan cium kaki.”


Pada pandangan saya, tulisan Siti Jarum boleh mengugat aqidah, keimanan dan ketaqwaan seseorang kepada Allah Ta’ala. Siti seolah-olah merestui perbuatan-perbuatan maksiat sebegini. Sepatutnya Siti sebagai wartawan menegur perbuatan itu secara berhemah kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan adab budaya masyarakat Melayu, malahan yang lebih penting, perbuatan itu adalah haram dan berdosa di sisi agama. Siti sebagai wartawan , sebenarnya mempunyai ruang dan tempat untuk menulis dan menegur peri sikap artis-artis kita yang ternyata semakin hari semakin berani tanpa mempedulikan halal dan haram. Malangnya, tulisan Siti Jarum seolah-olah mengiya dan merestui perbuatan artis tersebut. (Tak tahulah pula saya, jika tulisan itu sebenarnya satu tempelakan).

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al’i- Imran : 104)

Saya juga kesal dengan komen artis bernama Nabil yang dengan berani menyatakan aksinya itu tidak menjejaskan ekonomi negara. Samada dia melakukan perkara itu atau tidak bukan hak saya untuk membuat tuduhan. Tapi sebagai seorang Islam, jangalah melafazkan kata-kata ikut sesuka hati. Orang-orang tua pernah bermadah : Ikut hati mati, Ikut kata binasa. Kelancangan mulut Nabil seolah-olah memperlekehkan benda yang diharamkan oleh Allah, malahan ia seolah-olah menganggap perbuatannya itu hanya suatu perkara kecil. Sebagai seorang artis, setiap gerak geri dan perlakuannya sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Apatah lagi jika perkara yang dilakukan bertentangan dengan hukum dan syariat Islam. Ingat hari ini kita diberi rezeki oleh Allah, kita dikurnia kesihatan yang baik oleh Allah tapi jika kita kufur akan nikamt Allah, maka Allah boleh menarik segala nikmat-nikmat ini dengan sekelip mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,
‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’

Saya memohon maaf jika coretan ini, bisa menguris hati dan perasaan sesiapa sahaja. Sebagai seorang Islam saya rasa adalah perlu kitA saling ingat mengingati. Peringatan ini akan memberi kekuatan kepada diri saya sendiri untuk menjadi umat yang sentiasa patuh pada perintah Allah dan sentiasa ingin mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Saya juga berdoa agar tidak ada yang melatah apatah lagi terlalu emosional bila diberi peringatan.
Semoga Allah mengampun segala dosa-dosa kita dan memberi ketetapan iman dan Islam dalam melayari kehidupan di dunia yang sementara ini.
Read more...

Thursday, November 18, 2010

Aidil Adha : Berkorban Apa Saja


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

"Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya."
(Surah al-Baqarah, : 203).


اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ * اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ
Biarpun Aidil Adha 10 Zulhijjah sudah berlalu namun Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah masih ada untuk memberi ruang kepada umat Islamuntuk melakukan ibadah korban. Sesungguhnya ibadah korban yang kita lakukan bukan sekadar mengingati peristiwa Nabi Allah Ibrahim menurut dan mematuhi perintah Allah untuk mengorbankan anak kesayangan baginda iaitu Ismail. Namun apa yang lebih besar ialah mencontohi dan menjelmakan semangat kepatuhan yang penuh keikhlasan seorang hamba kepada Allah Ta’ala . Percayalah, bahawa setiap perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. ada mesej dan pengajaran untuk kita renungi. Demikian juga Syariat Aidil-Adha jelas membawa bersamanya banyak mesej dan pengajaran untuk umat Islam.

Perayaan Aidil Adha bukan sekadar melakukan ibadah korban tetapi memahami maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik ibadah tersebut. Keikhlasan melakukan ibadah korban adalah penting untuk mendapat keredhaan Allah. Semangat atau roh Aidil Adha bukan sekadar mengorbankan binatang ternak semata-mata, akan tetapi menelusuri intipati disebalik tuntutan tersebut. Umat Islam bukan sekadar melakukan ibadah korban tetapi juga mesti berkorban dari segi jiwa dan raga untuk Islam tercinta. Pengorbanan ynag paling besar untuk umat Islam lakukan adalah berkorban menundukkan hawa nafsu agar mampu melaksanakan segala titah perintah Allah.

Persoalannya apakah mampu umat Islam berkorban apa saja demi Islam tercinta di saat dan ketika kemelut hari ini Islam dan ummahnya ditindas, dihina dan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Malangnya umat Islam bukan sahaja dihentam dan diperlekeh oleh orang bukan Islam malahan ada dikalangan orang Islam sendiri yang tidak yakin dan memperkecilkan perjuangan Islam itu sendiri. Nauzubillah…..

Menjelmakan semangat ibadah korban, untuk bangun menjadi ummah yang bermaruah, perkara pokok yang perlu kita lakukan ialah bersatu demi perpaduan ummah. Jika ummah kuat dan bersatu, maka tidak ada ruang untuk musuh Islam memperlekeh dan menghentam Islam dari apa jua penjuru dan dalam apa jua bentuk dakyahnya. Tak perlu kita mengambil contoh umat Islam yang jauh, lihatlah pada umat Islam di dalam negara tercinta kitahari ini. Berpecah belah, bercakaran, saling bermusuhan, tuduh menuduh, memaki hamun sesama sendiri. Apakah ini yang Rasulullah S.A.W tinggalkan pada kita untuk jadi ummah yang hebat bukan sahaja disisi manusia tapi di sisi Allah Ta’ala? Sanggupkah kita berkorban apa jua yang kita cinta sepertimana Nabi Allah Ibrahim demi menyatukan ummah. Sanggupkah kita mengorbankan rasa bongkak dan harga diri demi Islam tercinta?. Sanggupkah kita mengorbankan ideologi politik dan ketaksuban parti demi melihat umat Islam kembali merapatkan saf-safnya yang sudah mula terpisah dan terburai.

Jawapannya hanya ada dalam diri kita sendiri, samada kita sanggup atau tidak mengorbankan segala keegoan diri demi mendapat redha Allah untuk bersatu di bawah satu panji kebesaran iaitu Islam. Semoga Hari Raya Korban memerlukan kita berkorban apa jua demi agama Islam tercinta.

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ * اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ

“……… dan apa sahaja harta yang halal yang kamu belanjakan ( pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) itu untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidak mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
(al-Baqarah : 272)

Read more...

Sunday, November 7, 2010

Antara Letusan Merapi dan Banjir Besar : Ujian Dari Allah


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Dan apa saja nikmat yang ada pada kalian, maka dari Allah lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa kemudharatan, maka hanya kepada-Nya lah kamu meminta pertolongan.” (An-Nahl:53)


Berita penderitaan saudara kita di Indonesia akibat gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter yang akhirnya mengundang bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai begitu menyedihkan. Seolah-olah episod Tsunami melanda Kepulauan Acheh yang baru saja hendak reda bahangnya kini kembali menghantui sebahagian besar penduduk Indonesia. Belum pun sempat hendak menarik nafas , keesokkannya pula terjadi letusan Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah yang menyemburkan lahar panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius yang bisa memanggang dan mencairkan apa jua hal benda yang dilintasinya. Innalillahiwainnailahirojiun...

Inilah episod demi episod malang yang melanda saudara kita di indonesia yang turut sama meruntun jiwa dan perasaan kita sebagai saudara serumpun dan seIslam di Malaysia. Biarpun beberapa suara nakal dari pemimpin politik dan NGO Indonesia sedikit masa lalu giat berkempen hendak mengganyang dan menghalau penduduk Malaysia dari Indonesia, namun sebagai orang Islam yang berilmu dan beriman kita sedikitpun tidak menaruh dendam dan kebencian terhadap mereka. Inilah yang kehebatan Islam yang diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada kita sebagai umatnya. Kita turut sama simpati dan menghulurkan bantuan kemanusiaan kerana kita percaya, hari ini mereka diuji oleh ujian Allah dan kita sendiri belum pasti bila pula kita?

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al-Ankabut: 2-3)

Sedang dalam kekalutan musibah melanda Indonesia, negara kita sendiri dikejutkan oleh berita banjir yang melanda teruk duah buah negeri di utara Semenanjung iaitu Kedah dan Perlis. Banjir terburuk sejak 2005 menyebabkan 39,512 orang terpaksa dipindahkan di Kedah dan Perlis hampir 5,000 orang dipindahkan. Walaupun pelbagai spekulasi dan andaian dibuat untuk mencari punca kejadian banjir, yang pasti semua itu hanyalah asbab kepada ujian dan musibah daripada Allah. Kita perlu berlapang dada dan bersabar menghadapi segala bencana ,musibah dan ujian Allah walaupun kita tahu “berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.”

Walaupun bagi golongan sekular atau kurang mantap imannya melihat peristiwa-peristiwa ini sebagai hukum alam dan fenomena alam namun pada hakikatnya inilah ujian daripada Allah Ta’ala kepada hamba-NYA. Sesungguhnya manusia akan diuji oleh Allah dalam dua bentuk Ujian, pertama ialah ujian Allah dalam bentuk musibah dan keduanya manusia akan diberi ujian dalam bentuk kesenangan. Ternyata ujian berbentuk musibah yang melanda saudara kita ini perlulah dihadapi dengan penuh keinsafan dan redha. Inilah ketentuan Allah.

Adapun ujian Allah kepada kita adalah berasaskan beberapa kemungkinan. Yang pasti jawapannya hanya ada kepada kita. Apakah Allah menguji kita hanya kerana hendak menduga keimanan dan kesabaran kita atau kita diuji Allah sebagai mengkifarah segala perbuatan dosa dan noda yang pernah kita lakukan atau Allah Ta’ala menguji kita sebagai peringatan menyedarkan kita akan segala kemaksiatan yang semakin berleluasa berlaku dalam masyarakat kita yang perlu kita sama-sama pertanggungjawaban untuk membenteraskannya.

“Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri… “(an-Nisaa’: 79)

Ujian dan musibah Allah ini bukan kerana Allah hendak berbuat zalim kepada manusia kerana Allah tidak akan berbuat dzalim kepada seorangpun hamba Nya. Tetapi manusia sendiri yang asyik masyuk dengan perhiasan dunia hingga mereka lupa akan tanggungjawab sebenar mereka sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Mereka lupa tanggungjawab mereka kepada Allah, mereka lupa tanggungjawab mereka kepada sesama manusia. Mereka diberi kuasa dan dilantik sebagai pemimpin tetapi mereka khianati amanah yang diberi. Tidak kiralah pemimpin dalam sesebuah negara , pemimpin sesebuah negeri, pemimpin dalam masyarakat ataupun pemimpin dalam sesebuah kekeluargaan. Begitu juga hubungan kita sesama manusia, kita dikuasai oleh sikap nafsi-nafsi, bongkak, riak, takabur dan yang pasti mementingkan diri sendiri. Akhirnya kita melakukan kerosakkan kepada apa jua amanah Allah kepada kita. Dari sekecil-kecil menjaga sumber makanan yang halal dan baik hinggalah sebesar-besar pentadbiran dan pemerintahan yang penuh dengan kekalutan, permusuhan , hasad dengki dan kesombongan serta keangkuhan peribadi. Akhirnya bila kita diuji oleh Allah, apakah kita masih belum mahu sedar? Apakah tidak kita terfikir setiap ujian dan musibah Allah maknanya kita diberi peringatan oleh Allah supaya kembali semula kepada Allah jika sudah tersasar jauh dalam perjalanan.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman : “Kami tidak berbuat dzalim kepada mereka, tetapi merekalah orang-orang yang berbuat dzalim terhadap diri mereka sendiri”. (Az-Zukhruf: 76)

“Sesungguhnya jika kalian bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepada kalian, dan jika kalian mengingkari (nikmat)Ku, maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih“ (Ibrahim: 7)


Marilah kita sama-sama berdoa, agar Allah memperteguhkan hati dan keimanan saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan ujian-ujian getir dari Allah. Semoga mereka dapat bersabar dan redha dengan ketentuan Allah. Marilah kita berdoa agar Allah memberi kekuatan kepada semua umat Islam dan para pemerintahnya untuk kembali menuju jalan-Allah, untuk melakukan taubat nashuha secara lahiriah dan batiniah, samada dalam ucapan maupun perbuatan, sehingga kita menjadi sebaik-baik umat atas asbab baiknya pemerintah yang meniti jalan-Mu Ya Allah. Amin
Read more...

Tuesday, November 2, 2010

Tetamu Allah : Semoga Mendapat Haji Mabrur


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Al-Hajj:27)


Sabda Rasulullhah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang maksudnya :” bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya apakah amalan yang terbanyak keutamaannya. Baginda telah menjawab iaitu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Baginda ditanya lagi, kemudian amalan apakah, dijawab Baginda : berjihad pada jalan Allah, lalu Baginda ditanya lagi : lalu amalan apakah, lalu dijawab Baginda : Haji yang mabrur. “

“Sekarang ni, nak buat kerja ibadah pun kena pakai kabel,” rungut sahabat saya .

“Eh...eh kabel?” tanya saya kehairanan.

“Besar mana. Besar ni ke besar ni?” sambung saya lagi sambil menunjukkan bandingan jari kelingking saya dan penumbuk saya secara bergurau.

“Bukan besar tu tapi kabel yang ini,” jawabnya sambil mengeselkan ibu jari tangannya dengan jari telunjuk sebagai isyarat wang.

Ibadah yang dimaksudkan oleh rakan saya ialah ibadah haji. Beliau memulakan ceritanya mengenai nasib bapa saudaranya yang sudah semakin lanjut usia tapi masih belum dapat menunaikan fardhu haji kerana tarikhnya masih jauh lagi. Walaupun dah merayu tapi tidak berjaya kerana alasan diberi kuota dah penuh.

“Itu kan memang prosedur biasa. Kan kuota tu Kerajaan Arab Saudi yang tetapkan.” Pujuk saya cuba menyejukkan hatinya.

“Kuota tu ada tapi untuk pergi biasa-biasa ni memang dah cukup kuota, tapi kalau kau tanya nak pergi cara pakej ada tak. Pantas nanti adalah yang bagi jawapan masih ada kuota.”
Baru saya faham maksud sahabat saya. Kalau nak menunaikan haji secara pakej yang belanjanya menelan belasan malah puluhan ribu, kuotanya sentiasa mencukupi. Itu kot yang dimaksudkan kabel oleh sahabat saya.

“Kau tau tak sebab apa kalau pakej kuota sentiasa ada. Sebabnya secara pakej bayarannya belasan malahan puluhan ribu. Pi secara biasa tu bayarannya tidak selumayan pakej!”sambungnya lagi .

“Masyaallah...betul ka macam tu?” tanya saya .

“Betulla...takkan aku nak ada-ada cerita kot,” jawab sahabat saya.

Samada benar atau sebaliknya, kisah sahabat saya itu merupakan satu episod malang dalam perjalanan kita menuju menjadi tetamu Allah dan mencari redha-NYA. Jika benar, maka sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan. . Janganlah kita khianati amanah dan kejujuran yang disandarkan kepada kita hanya kerana untuk mendapat habuan dan keuntungan dunia yang sedikit.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Al-Anfal :27)

Jika kisah ini hanya hanya suatu yang digembar gembur oleh sahabat saya, maka saya dengan rendah diri memohon kemaafan. Saya hanya menulis sekadar memberi peringatan terutama kepada saya sendiri dan kepada mereka yang mahu berfikir. Namun yang pastinya dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini, kejujuran dan keikhlasan adalah kunci segala keimanan diri.

Sempena musim haji ini, kepada semua saudara saya muslimin dan muslimat terutama rakan setugas saya Pn. Salmah dan suami, Sdr. Khir yang pada tahun ini dipilih menjadi tetamu Allah, saya mengucapkan Selamat menunaikan ibadah haji dengan penuh ketakwaan dan keimanan. Semoga mendapat haji yang mabrur. Sesungguhnya anda antara insan yang bertuah kerana telah dipilih menjadi tetamu Allah di rumah Allah. Gunakan kesempatan ini sebaik yang mungkin.

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk” (Al-i-‘Imran :97)

Semoga Allah akan memilih kita pula menjadi tetamu-Nya pada masa-masa mendatang. Insyaallah
Read more...

Wednesday, October 27, 2010

Anak Kecil,Ibu Tua dan Sekeping Iman



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

“…pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Al-Maidah: 3)

Baru-baru ini saya menerima e-mail yang sama saya terima kira-kira hampir dua bulan lepas. Namun kali ini tergerak hati saya untuk berkongsi kandungan e-mail tersebut untuk renungan kita bersama. Mungkin ada di kalangan pembaca yang sudahmenerima kandungan e-mail yang sama namun iktibar dari cerita inimenyentuh hati dan nurani kita. Janganlah mempersoalkan dari sudut kebenaran atau tidak akan cerita ini, yang paling penting isi ceritanya yang boleh kita kongsi untuk bermuhasabah
Persoalannya sekarang ialah sejauh mana sumbangan kita untuk memartabatkan syiar Islam kepada masyarakat dan setakat mana usaha kita untuk menyampaikan dakwah kepada saudara kita yang bukan Islam.
Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang.
Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.
Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini."

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa.
Semoga kita dan ahli keluarga kita sentiasa diberi kekuatan oleh Allah untuk sentiasa menegakkan syiar Islam.
Read more...

Friday, October 22, 2010

Jadilah Umat Yang Terhormat..



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (al-Maaidah: 2)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari)


Semasa membaca sebuah buku “ Menjadi Ibu bapa Genius : Berdasarkan Nasihat Luqman al Hakim” , saya tertarik dengan satu pesanan Luqman tentang menjadi orang terhormat. Hari ini Allah telah mengangkat rasa hormat yang ada pada manusia terutamakita umat Islam kerana kelalaian kita menjadi hamba Allah yang taat dan patuh. Hari ini ramai masyarakat memandang mudah kerja-kerja agama.

Akhirnya kita menjadi umat yang lemah. Orang bukan Islam tidak lagi memandang kita dengan rasa hormat. Islam diperlekeh oleh musuh-musuh Islam kerana kelemahan kita berpegang teguh dengan tali Allah. Bagaimana orang bukan Islam hendak menghormati kita jika orang-orang Islam sendiri bercakaran, bermusuhan dan berpuak-puak sesama Islam. Kita melakukan kerosakan dan kezaliman antara sesama kita dan kecintaan atas nama persaudaraan Islam sudah kian terhakis dan hilang. Kita kata kita patuh dengan berpegang dengan Al Quran dan sunnah tapi dalam ketika yang lain tindak-tanduk kita seolah-olah bertentangan dengan tuntutan Allah dan Rasul.

Bagaimana orang Islam akan tertarik dan terpesona dengan keindahan Islam jika kita sendiri mencemarinya. Contoh yang paling mudah, ketika azan berkemundang di corong-corong mesjid dan surau, berapa ramai umat Islam yang bergegas menuju ke rumah Allah untuk menunaikan kewajiban solat? Kalau ada , alahamdulillah. Tapi yang pastinya masih ramai yang memandang enteng dan sepi laungan azan. Jadi apa bezanya kita dengan orang bukan Islam?

Pesan Luqman kepada puteranya untuk menjadi orang yang terhormat: “ Puteraku, aku nasihatkan kepadamu beberapa perkara yang apabila kamu berpegang teguh, maka kamu akan tetap menjadi orang yang terhormat. Pertama, pamerkan akhlakmu pada orang dekat dan orang jauh. Kedua, jangan bersikap kejam pada orang yang baik mahupun orang yang jahat. Ketiga, sambunglah silaturahim dengan keturunanmu. Keempat, jagalah saudara-saudaramu dan selamatkanlah mereka daripada pengadu domba yang sentiasa berusaha untuk merosakkan hubunganmu dan ingin memperdayakanmu. Hendaklah saudara-saudaramu itu merupakan orang-orang yang apabila kamu berpisah daripada mereka ataupun mereka berpisah daripadamu, kamu tidak mencela mereka dan mereka tidak mencelamu.” (Ihya’Ulum Ad-Din, jil 3. hlm 157-158)

Firman Allah : “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;”
(Am-Nisaa : 36)


Dapatkah kita menjadi umat yang hebat dan terhormat bukan sahaja di sisi manusia tapi yang pentingnya di sisi Allah Ta’ala. Insyallah jika semua umat Islam kembali kepada fitrah Allah, berpegang dengan hukum Allah dan yang paling penting meletakkan Islam di kedudukan yang teratas dalam melayari kehidupan. Soalan ini saya lontarkan kepada diri saya sendiri yang banyak melakukan dosa dan maksiat.
Semoga Allah membuka pintu-pintu hati kita menjadi umat yang soleh dan sentiasa dalam lindungan-NYA.
Read more...

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company