Tuesday, March 16, 2010

Setiap detik adalah kehidupan

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta


Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Surah Al-Asr)


Bagaikan baru terasa masuknya tahun baru 2010, sedar tak sedar sekarang sudah melewati bulan Mac. Kalau perkiraan bulan Islam kita sudahpun berada di bulan Rabiulawal. Masyaallah, terlalu cepatnya waktu berlalu. Saya menconggak kembali apakah perubahan yang telah saya lakukan. Bimbang takut-takut tiada perubahan dalam diri untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Lajunya putaran dunia. Siang berganti malam, hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Subhanallah…itulah kekuasaan-Nya, Allah yang Maha Esa.

Teringat saya sepotong hadith Nabi S.A.W yang dikumpul dalam buku “Empat Puluh Hadis Peristiwa Akhir Zaman” susunan Ustaz Abu Ali Al-Banjari An Nadwi mengenai masa akan menjadi singkat.
Daripada Anas bin Malik r.a berkata : Rasulullah S.A.W bersabda;
” Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api”.
(H.R Tirmizi)


Biarpun Rasulullah S.A.W telah meninggalkan kita lebih dari 1400 tahun yang lalu, namun kebimbangan baginda terhadap kita sebagai umatnya telah digambarkan oleh baginda melalui hadith-hadith baginda. Ternyata kini apa yang dibimbangi oleh Rasulullah S.A.W dalam hadith-hadith baginda satu persatu menyusul terjadi dalam kehidupan kita. Lihat dan renunglah kitab-kitab atau buku-buku yang menyiarkan hadith-hadith akhir zaman dan bandingkan dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi bukan sahaja di dunia hari ini malahan dalam masyarakat kita hari ini, ternyata apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W telah banyak berlaku. Subhanallah.

Samada kita sedar atau tidak, bila setiap detik berlalu sebenarnya kita menjadi lebih tua dari usia kita sebelumnya. Dan ini bermakna langkah-langkah kita sudah semakin menghampiri sesuatu yang pasti datang menjemput kita iaitu saat kematian. Namun berapa ramai yang kisah akan hal ini. Kita terkejar-kejar dunia seiring dengan peredaran masa seolah-olah tidak ada penghujungnya dalam kehidupan ini. Kita tidak pernah kisah apakah bekalan yang telah kita sediakan untuk menghadapi saat-saat kematian dan hari akhirat. Sebaliknya apa yang kita selalu kisahkan ialah kelazatan, kenikmatan dan kekayaan dunia yang sebagaimana yang dapat kita miliki. Memanglah tidak menjadi kesalahan untuk kita mencari habuan dan kekayaan di dunia ini namun yang salahnya apabila kita membiarkan diri kita terus menjadi hamba dunia dan berpaut pada dunia sehingga melupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah di muka bumi yang fana ini. Kita disibukkan dengan hal dunia sehingga terlupa untuk berbuat ibadat dan kebajikan untuk dijadikan bekalan hari pengadilan di hadapan Allah Ta’ala. Hingga Allah Ta’ala menguji kita dengan pelbagai peristiwa dan bencana yang sebelum ini tidak terfikir oleh akal fikiran kita yang ia akan terjadi. Namun berapa ramai yang sedar dan kembali kepada agama Allah yang sebenar?
Saya melihat kebimbangan dunia hari ini ke dalam diri saya sendiri. Saya mencerminkan kehidupan dunia hari ini dengan cerminan kehidupan saya sendiri. Terlalu jauh saya tersasar . Kadangkala memang benar, kesibukkan urusan dunia menyebabkan kita dilalaikan dengan urusan terhadap Allah Ta’ala. Masyaallah Tabarakalah…

Bila menghitung-hitung kembali, setelah tahun demi tahun berganti kita masih di takuk lama. Tidak ada pembaharuan langsung dalam ibadat yang kita kerjakan seharian. Biarpun saban kali menjelangnya samada tahun baru masihi atau tahun baru hijrah, maka kita akan berjanji di dalam hati sanubari ini: “Aku ingin menjadi lebih baik dari semalam, ibadah ku akan kugandakan lebih dari semalam” namun hakikatnya masih seperti dulu. Malahan yang lebih membimbangkan kalau-kalau ia menjadi lebih teruk dari semalam. Di mana seluruh hidup dan masa kita ditipu oleh habuan dunia.

Telah berkata para hukama apabila ditanya tentang masa dan peredaran dunia.
“ Dunia adalah waktu yang tengah kau hadapi. Masa yang berlalu tidak akan kau temukan lagi. Masa yang belum datang tidak boleh pula kau ketahui. Masa adalah hari di mana detik-detiknya merangkak menenggelankan manusia dalam perubahan dan kekurangan. Masa selalu membawa perpecahan golongan dan persatuan serta memindahkan kekuasaan. Angan-angan terlalu panjang sedang umur terlalu pendek. Ingatlah. Sedang segala sesuatu akan kembali kepada Allah jua.”

Pada suatu ketika, Saiddina Ali ra berkhutbah. Berkata Ali ra dalam khutbahnya:
“ Aku wasiatkan kepadamu agar bertaqwa kepada Allah dan tinggalkan dunia. Jika kamu tidak suka meninggalkan segala yang merosakkan jasadmu itu, padahal kamu ingin memperbaharuinya, maka kamu dan dunia seperti kaum yang tengah bermusafir menempuh jalan seolah-olah merka telah menempuh jalan dan sampai di tempat tujuan. Betapa banyak orang ingin terus berjalan, tetapi akhirnya tersesat ke hutan. Betapa banyak orang yang ingin tambahan umur sehari saja. Jangan engkau gementar oleh kemanisan dan kepahitan dunia. Dia akan hancur. Jangan terpaut oleh gemerlapan dan kenikmatan dunia kerana ia akan lenyap. Sungguh aku hairan kepada pemburu dunia, sedang mati tengah memburunya. Ia lalai, padahal mati tidak pernah melupakannya.”

Firman Allah Ta’ala:
“ Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa-apa yang ada di atas muka bumi itu, sebagai perhiasannya untuk Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka itu amat baik amalannya.”
(al-Kahf : 7)


Kita selalu berkata atau terdengar baris-baris dialog yang menyatakan bahawa dunia ini ibarat pentas sandiwara dan kita adalah para pelakonnya. Apabila terputusnya kita dengan hubungan dunia, akan ada kehidupan abadi yang menanti di sana. Namun sayang sekali, ungkapan masih tinggal ungkapan, dan kita masih lagi melakonkan watak yang sama di atas pentas sandiwara dunia. Kita melalui hari-hari dengan begitu sibuk sesibuk-sibuknya. Cuba kita renung dalam diri kita. Apa tidak sibukkah kita? Bekejar ke sana ke mari mengejar masa yang begitu cepat berlalu. Kesibukkan kita mengejar cita-cita dan panjang angan-angan dunia akhirnya menyebabkan kita sesama Islam berantakkan, bercerai berai, bercakaran dan seribu satu masalah kehidupan menulari dalam diri kita. Semuanya ini terjadi kerana kita meninggalkan Islam jauh-jauh. Perasaan ketaatan kepada Allah dan Rasul serta kecintaan kepada Islam sudah mula pudar dalam masyarakat kita. Kita tidak mengamal dan mengambil ajaran Islam secara total. Yang mana menguntungkan kita kita amalkan, manakala yang mana merugikan kita maka kita jauhkan. Masyallah. Inilah yang melanda umat Islam hari ini. Kita menjadi umat yang lemah.

Sebagai tazkirah kepada diri sendiri dan renungan para pembaca, sebagai hamba Allah yang cintakan kepada Islam kita perlu mempunyai rasa bimbang akan nasib yang menimpa umat Islam samada di dunia mahupun dalam lingkungan masyarakat kita hari ini. Kita dilanda oleh pelbagai penyakit duniawi yang memerlukan kita bermuhasabah dan kembali kepada pegangan kita yang sebenar iaitu Al Quran dan Sunnah. Kita perlu bersama-sama membetulkan diri kita untuk menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya bertaqwa kepada Nya. Hari kita sudah menyimpang jauh dari perjalanan yang sebenar. Lihat masyarakat kita hari ini Islam sesama Islam bergaduh antara satu sama lain, dengki mendengki, hina menghina dan masing-masing cuba menunjukkan yang mereka dan golongan mereka lebih baik dari orang lain. Maka wujudnya penyakit bongkak, takabbur, ujub ,riya dan sebagainya.

Allah berfirman:
“Sesungguhnya manusia itu bertindak melanggar batas disebabkan ia mendapati dirinya serba cukup.”
(Al-Alaq : 6-7)

“Sesungguhnya Allah tiada mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri”
(Surah Luqman :18)


Kepada anak-anak remaja kembalilah kepada Islam. Jadikan salah satu golongan yang akan merasakan nikmat syurga Allah apabila anda banyak menghabiskan masa remaja anda ke jalan Allah apatah lagi menjadi pemuda yang cintakan rumah Allah. Berhati-hatilah dengan dugaan dan fitnah dunia hari ini. Musuh-musuh Islam akan sentiasa menghujani diri anak-anak dengan hiburan yang melampau ( kerana mereka tahu bahawa senjata utama yang boleh meracuni fikiran anak muda ialah melalui medium hiburan) yang akhirnya membuat anda terleka dan lalai dengan tanggungjawab anda sebenar kepada Allah, Rasul dan agama.

Kepada para pemimpin Islam baik di peringkat bawah hinggalah ke peringkat tertinggi, janganlah bercakaran sesama sendiri hanya kerana hendak merebut jawatan dunia. Sedangkan tanggungjawab anda sebagai pemimpin adalah terlalu berat. Jangan kita sanggup menghina saudara seagama kerana kepentingan diri dan memutuskan silaturahhim sedangkan pada masa yang sama sanggup berbaik-baik dengan musuh-musuh Islam yang ternyata menikam kita dari belakang.

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Mencaci –maki seseorang Mu’min itu fasiq (durjana) dan memeranginya kufur.”


Kepada para ulama, janganlah kita berbalah untuk sesuatu yang ternyata merugikan ummah dan menjatuhkan kredibiliti kita sebagai orang yang berilmu. Hentikan tuduh menuduh, kata mengata dan yang paling menyedihkan ialah hari ini berlaku saman menyaman antara sesama ulama. Bersatulah demi kepentingan dan survival umat Islam. Malang sungguh bagi umat Islam jika pihak ulama bertelagah kerana ia akan menjadi bahan ketawa pihak musuh Islam. Ulama sepatutnya duduk bersama berbincang dan mencari jalan bagaimana hendak menyelamatkan ummah buknnya masing-masing cuba menunjukkan ketinggian dan kehebatan ilmu masing-masing.

“Dan bacalah kepada mereka berita orang yang Kami berikan keterangan-keterangan kami kepadanya, lalu dibuangnya. Sebab itu, mereka telah didatangi syaitan, syaitan itu termasuk orang-orang yang sesat jalan”
(Al-A’raf : 175)


Rasulullah bersabda:
“Aku bimbang ke atas kamu orang-orang yang lebih dashsyat dari Dajjal. Bila ditanya: Siapakah mereka itu? Jawab baginda :Ulamaus-Su’.”


Dan kepada orang-orang awam seperti saya, marilah kita bersatu dan mengembalikan kegemilangan syiar Islam. Jadikan syariat Islam sebagai penyuluh dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh dengan ranjau dan duri ini. Berhati-hati dengan tipu daya syaitan dan dunia. Dan detik-detik yang berlalu dengan cepat menjadi cabaran untuk saya terus memperingatkan diri saya dan bermuhasabah. Terlalu jauh perjalanan saya tersasar dari perjalanan sebenar menuju ke jalan Allah. Anda bagaimana? Semoga anda membaca dengan berlapang dada dan hati yang terbuka.
Jumpa lagi…Insyallah.

Rujukan

Abu Ali Al Banjari An Nadwi. 40 hadis: Peristiwa Akhir Zaman. Khazanah Banjariah, Kedah Darulaman. Cetakan Kedua 2000

Imam Al Ghazali. Mukashafah Al Qulub. Wholesale-Mart Sdn Bhd. Selangor Darul Ehsan. 2008

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company