Tuesday, September 7, 2010

Iklan Raya TV3 : Kurang Peka atau Pekak



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (surah al-Nisa 115).

Sabda Rasulullah S.A.W : Hendaklah kamu menjauhi sikap melampau-lampau dalam agama, sesungguhnya orang yang terdahulu daripada kamu telah binasa kerana melampau dalam agama. (Riwayat Ibn Majah.Dan diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a. daripada Rasulullah s.a.w.:)

Sungguh menyedihkan bila sebuah syarikat penyiaran yang besar seperti TV3 (yang juga menguasai TV9 dan TV8) boleh menyiarkan iklan yang mencemarkan imej Islam. Walaupun iklan yang mula ditayangkan pada 3 September 2010 ini telah ditarik balik penayangannya pada 5 september 2010, ( klik siaran berita TV3 )namun perbuatan menayangkan iklan sedemikian rupa merupakan suatu yang sukar diterima oleh umat Islam yang beriman dan cinta kepada Allah dan Rasul.

Kita tertanya-tanya bagaimana iklan yang penuh dengan unsur-unsur khurafat dan penuh kesesatan boleh terlepas pandang oleh pihak berkenaan. Setahu kita TV3 mempunyai ramai ustaz dan bijak pandai agama sebagai pekerja tetap dan penasihat. Apakah pandangan mereka tidak diambilkira ataupun mereka ini memang tidak dilibatkan langsung dalam pengiklanan ini.

Jika yang buat iklan ini syarikat pengiklanan dari pihak luarpun, tentu sebelum disiarkan iklan ini, satu sesi pratonton akan diadakan antara pihak tv3 dengan syarikat berkenaan. Mustahil projek iklan yang memakan belanja puluhan (mungkin ratusan) ribu ringgit itu bila sudah siap disiarkan terus tanpa ada sesi pratonton ataupun majlis pelancarannya. (Klik untuk menonton iklan)

Ini menunjukkan pihak TV3 tidak peka kepada sensitiviti umat Islam apatah lagi iklan tersebut adalah bertujuan memperlihatkan suatu hari kebesaran umat Islam selepas sebulan mengharungi Ramadhan al Mubarak penuh dengan ujian dan ketakwaan. Ataupun memang TV3 sedar akan wujudnya unsur-unsur dan imej yang tidak selari dengan syariat Islam tapi hanya pekakkan telinga dan pejamkan mata. Mereka tunggu…jika ada bantahan atau sungutan , baru ditarik balik.

Mungkin bagi TV3 ,iklan tersebut cukup menarik sangat sebab menampilkan imej Satu Malaysia menggabungkan semua imej dan ikon kepercayaan agama lain. Perlulah diingat, dalam Islam tidak ada soal campuraduk. Ini melibatkan persoalan aqidah. Jangan kerana tepersona dan taksub akan sesuatu berbentuk duniawi sehingga sanggup kita memperkotak-katikkan persoalan aqidah dan kefahaman umat Islam. Kita telah mencemar kesucian bulan-bulan terakhir Ramadhan al Mubarak.(Ulasan iklan)

TV3 boleh gabungkan imej Satu Malaysia dalam budaya dan adat resam tapi bukannya dalam agama Islam. Janganlah kita menjadi jahil akan perkara ini. Janganlah kita menggadaikan agama kerana untuk mendapatkan sedikit keuntungan di dunia. Janganlah kita terus memesong dan merosakkan fikiran dan aqidah umat Islam negara ini yang kebanyakkan sudah kacau jiwa mereka. Kalau tidak tahu, rujuklah kepada para ulama’, tuan-tuan guru dan para ustaz yang lebih arif.

"Katakanlah, "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agama kamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka sesat dari jalan yang lurus." (al-Ma'idah:77).

Ramai pihak yang berpendapat sekadar memohon maaf adalah tidak memadai. Pihak pengurusan tertinggi Media Prima dan pihak syarikat yang menghasilkan iklan tersebut perlu tampil memohon maaf secara terbuka mengenai insiden ini. Ia adalah sesuatu yang amat mengaibkan apatah lagi kita merupakan antara negara Islam yang disegani di mata dunia. Kita berharap agar peristiwa sebegini tidak akan sama sekali berulang lagi. Pihak TV3 ataupun pihak-pihak mana sekalipun perlu lebih peka akan sensitiviti umat Islam.

Semoga dalam fasa terakhir Ramadhan al Mubarak ini kita memohon agar diberi keampunan oleh Allah Ta'ala dan dibuka oleh-NYA pintu-pintu syurga untuk kita.

1 comments:

βσвσℓιρƨ said...

Baru hary tu . Tego iklan tuh tak sesuai kot . Sbb ada santaa sme

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company