Tuesday, January 18, 2011

Ronnie Liu, Laungan Azan dan Kita


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
"Sesiapa yang mendengar laungan azan tetapi beliau tidak hadir ke masjid tersebut, maka tidak sempurnalah solat beliau melainkan kerna keuzuran."
(-Hadis Riwayat Ibn Majah)

Sabda Rasulullah S.A.W : “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.” (Riwayat Bukhari)


Apabila orang mempersendakan sesuatu yang ada kaitan dengan Islam, maka ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh kita sebagai penganutnya. Biar perkara yang dipersenda atau diperlekeh samada perkara yang kecil atau besar tetapi jika ia menyentuh tentang kesucian agama Islam, ianya tetap besar. Tidak ada tolak ansur atau kompromi kepada orang yang mempersendakan Islam, apatah lagi kalau memaki dan menghina Allah dan Rasulnya.

Kes seorang peguam menghantar surat dan mempertikai laungan azan dari sebuah mesjid berdekatan rumahnya perlu dipandang serius walaupun bagi sesetengah orang ianya dianggap kecil. Bantahan itu perlu dilihat dari dua sudut yang berbeza. Pertama jika yang dipertikaikan itu bacaan sebelum azan, kita mungkin boleh terima dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Seperti memperlahankan bacaan zikir sebelum azan atau membetulkan sistem audio agar sedap didengar oleh halwa telinga. Tapi kita tertanya-tanya, takkanlah sudah hidup puluhan tahun di Malaysia ini tak tahu hendak bezakan yang mana azan dengan bacaan zikir atau ayat AlQuran. Walaupun peguam tu bukan Islam tetapi secara tidak langsung mustahil ia tak pernah mendengar azan . Apatah lagi seorang yang bergelar peguam dan berpendidikan. Atau adakah dia cuba menduga sejauh mana sensitiviti masyarakat Islam?

Kedua, jika yang dipertikaikan itu sememangnya laungan azan, maka tindakan beliau adalah sesuatu tindakan yang biadap terhadap kesucian Islam. Isu ini selepas itu dipanjangkan lagi dengan surat desakan naib presiden MCA, Gan Ping Sieu supaya kerajaan mengkaji dan mengawal selia penggunaan pembesar suara di masjid mahupun surau. Dalam masa yang hampir sama, umat Islam dihidangkan lagi dengan kisah kebiadaban seorang exco DAP Ronnie Liu yang mengarahkan MPSJ supaya menarik balik larangan mengharamkan umat Islam daripada bekerja di pusat hiburan yang menjual arak.

Azan ialah sebahagian daripada syiar Islam Al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma` menyatakan bahawa azan adalah suatu syariat di dalam Islam. Ini adalah kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar.Manakala arak hukumnya haram dan termaktub di dalam Al Quran. Bukan setakat bekerja, malahan menjual, membuat, menyediakan, membawa, menghidang arak! Hukumnya sama saperti peminum arak juga! Termasuk golongan yang dilaknat ALLAH. Rezeki yang mereka perolehi adalah haram. Ingin kita lontarkan soalan kepada si biadap-biadap ini. Siapakah mereka yang ingin campurtangan dalam hal urusan agama Islam?

Orang Islam terutama masyarakat kita di Malaysia memang terkenal dengan sifat toleransi dan bertolak ansur sejak dahulu lagi. Bukan budaya Melayu sahaja yang membentuk kita seperti itu tetapi benih-benih semaian dari ajaran Islam yang dipupuk oleh ibu bapa dan datuk nenek kita, secara tidak langsung membentengi kita dari bersifat kurang ajar dan melampau batas terhadap orang lain apalagi kalau berlainan agama. Malahan selama ini orang-orang bukan Islam menjalankan pelbagai perayaan mereka tanpa diganggu oleh orang-orang Islam. Mereka berarak di tengah-tengah jalan raya , mengadakan konsert keagamaan , membakar mercun atas nama keagamaan tanpa dipeduli dan dibantah oleh masyarakat Islam. Kita tahu itu hak mereka dan kita menghormati hak kebebasan agama masing-masing.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!
“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
“Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
“Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
“Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
“Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”. (Al-Kafirun :1-6)

Yang menyakitkan hati kita, mengapa dalam hal ehwal agama Islam mereka hendak campur tangan? Apakah tujuan dan apakah yang mereka mahu? Ingat kalau dalam banyak perkara kita boleh bertolak ansur tetapi bila melibatkan hal-hal hukum dan berkaitan syiar Islamkita tidak boleh berkompromi, Kalau mereka ingin hidup harmoni dalam masyarakat kita mereka perlu belajar menghormati kesucian agama Islam sebagai agama rasmi. Inilah golongan-golongan manusia yang secara terang-terangan menentang Islam dan perundangannya. Lebih malang sekali jika ada dikalangan orang-orang Islam sendiri yang bersetuju dan bersekongkol dengan golongan seperti ini.

Umat Islam perlu bersatu jika ingin memperkuatkan ummah. Kekuatan ini tak akan tercapai jika kita hanya pandai bercakap tapi tidak bersatu hati. Sudah berapa kali saya ingatkan yang kita hari ini dihina dan dicaci oleh orang bukan Islam adalah kerana kelemahan kita sendiri. Mereka berani membantah laungan azan kerana ada dikalangan orang Islam sendiri yang tidak menghormati laungan azan. Malahan tidak pernah rasa gementar hatinya untuk ke rumah Allah dan bersujud kepada NYA bila setiapkali mendengar laungan azan. Akhirnya bila orang kafir mempertikaikan laungan azan , kita dengan bersemangat jihad bersama-sama berdemonstrasi membantah. Padahal apa bezanya kita dengan si kafir itu, sama-sama tidak rasa takut pada Allah bila mendengar azan.

Oleh itu marilah kita sama-sama merapatkan kembali saf-saf yang rompong. Bersatulah kita atas nama syariat Islam. Letakkan Islam di tempat yang paling atas dalam merentasi kehidupan ini. Hari ini kita diterjah dengan pelbagai masalah sosial dan tentangan dari bukan Islam adalah kerana kealpaan kita untuk kembali kepada Allah. Berjuang menegakkan kalimah Allah dengan jiwa dan air mata.

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An’am :162)

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company