Sunday, February 13, 2011

Valentine's Day : Jangan Jadi Pak Turut


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Firman Allah : “…janganlah engkau ikuti hawa nafsu hingga menyesatkanmu dari jalan Allah. Sungguh, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat,kerana mereka melupakan hari perhitungan”
(Surah Shad : 26)

Sabda Rasulullah s.a.w :
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian dari mereka.” (HR. Ahmad dan Abu Dawud)


Di saat masyarakat Islam akan menyambut kedatangan Maulidur Rasul demi mengingati kekasih Allah pada 12 Rabiul Awwal bersamaan 15 Februari ini, sehari sebelum itu iaitu pada 14 Februari, anak remaja Islam menghadapi hari yang akan menguji sejauhmana kekuatan aqidah yang ada pada mereka. Pada tarikh tersebut seluruh dunia merayakan Hari Valentine’s atau Hari Memperingati kekasih, yang secara tidak langsung para remaja dinegara kita turut terkena tempiasnya.

Sejak bertahun lamanya para ulama, cendiakiawan Islam dan NGO Islam di negara kita berulangkali memperingati para remaja Islam sama ada melalui kempen ceramah, siri motivasi, majlis ilmu ataupun melalui poster serta edaran brosur tetang bahana dan bahaya menyambut perayaan ini. Malahan dalam internet sendiri terdapat ribuan tulisan yang mencoretkan tentang betapa perlu ramaja Islam menjauhkan diri daripada terlibat dalam budaya merayakan Valentine’s Day ini.

Namun bukan senang untuk menyedarkan setiap remaja Islam mengenai bahaya merayakan Hari Valentine ini disaat jiwa dan cara hidup mereka selama ini ditenggelami oleh budaya hendonisme. Dunia dan hati-hati kebanyakkan mereka dipenuhi dengan hiburan tanpa sempadan. Apatah lagi kebanyakkan remaja kita ini sememangnya terkenal dengan mengamalkan budaya pak turut lebih-lebih lagi kalau benda itu berasal dari barat. Pemikiran mereka seolah-olah didoktrinkan bahawa semua yang datang dari barat ada kelas, baik dan berprestij. Remaja Islam kita pada masa kini yang sebenarnya “buta” terhadap peradabannya sendiri (peradaban Islam) adalah akibat
serangan budaya luar yang masuk menyerang dan menusuk jantung dari pelbagai arah dan saluran.

Sebutlah apa saja yang dari barat semuanya hebat dan baik. Hebatnya minum kopi di Starbuck daripada menghirup secawan kopi Che nah di kedai Kopi Pak Ali walaupun bandingan harganya bagai langit dengan bumi. Apa standardnya kalau setakat makan ayam goreng pasar malam berbanding bersantai sambil menikmati ayam di KFC atau Kenny Rogers. Apa barang kalau setakat makan burger Ramly dipinggir jalan berbanding hebatnya menikmati burger di Mc Donald atau Burger King. Itu baru bab nafsu makan sahaja kita boleh melihat bagaimana para remaja Islam tewas dengan budaya barat malah ada yang menjadikannya sebahagian daripada amalan harian.

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka."
(al-Baqarah :120).


Kalau bab meniru dari budaya asing, remaja kita memang hebat. Malahan adakalanya kita pula yang lebih daripada orang barat sendiri. Kalau di barat, golongan lelaki nya memakai subang untuk membezakan yang mereka dari kumpulan homoseks tapi remaja kita di sini bertindik telinga meniru dari barat tanpa tahu hujung pangkalnya. Begitu juga dengan bab sambut menyambut ni. Majlis Fatwa sudahpun mengariskan bahawa adalah salah dan bertentangan dengan syariat Islam untuk kita mengamalkan sambutan Hari Valentine tapi malangnya masih ada remaja kita yang membutakan mata dan hati mereka atas nama kebebasan hidup. Jiwa mereka terseret dan hanyut dalam arus besar peradaban dunia yang serba permisif, hedonis dan materialistik.

Nampaknya pada tahun ini semacam ada kesedaran dari pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh dalam usaha menangani budaya Hari Valentine ini di kalangan remaja Islam. Tapi malangnya di sebalik ada pihak yang bersungguh-sungguh menanganinya, ada pula pihak yang tidak perihatin langsung mengenai masalah ini. DJ atau penyampai radio dan tv (terutamanya radio swasta) seolah-olah tidak sensitif mengenai masalah ini. Mereka tanpa rasa bersalah menggembar gemburkan tarikh Hari Valentime ini, malahan ada yang menyediakan segmen ucapan khas sempena Hari Valentine. Sedangkan kebanyakkan DJ dan penyampai tersebut adalah mereka yang beragama Islam. Masyallah....Tabarakallah

Pada anak-anak remaja, ketahulah bahawa Islam tidak melarang cinta dan kasih sayang . Islam sendiri adalah agama yang penuh dengan kasih dan menjunjung cinta pada sesama manusia .Islam ,emgakui cinta dan kasih sayang adalah fitrah manusia dan Islam mengakui fenomena cinta yang tersembunyi dalam jiwa manusia. Namun demikian Islam tidak menjadikan cinta sebagai barangan yang rendah nilai dan murah harganya. Dalam Islam nilai cinta diletakkan pada tempat yang tinggi dan ada pemeringkatannya. Kecintaan utama kita tentulah kepada Allah Tuhan Pencipta Alam dan Rasulullah S.A.W mengatasi segala-galanya termasuk ibu dan bapa kita. Kemudian barulah kepada kedua ibubapa kita dan seterusnya.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (At – Taubah :24)

Kini bukan masanya untuk kita terus menjadi pak turut dan menjadi mangsa keadaan. Bukan semua yang datang dari barat penuh dengan kebaikan dan berprestij . Kita boleh tiru apa sahaja dari barat boleh tapi biarlah meniru dengan berilmu dan ada batas-batasnya. Kita punya pegangan hidup dalam medindingi kehidupan ini iaitu Al Quran dan As-sunnah. Janganlah kita mengikut secara membuta tuli yang akhirnya kita menanggung kesannya bila berhadapan Allah di akhirat kelak.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (Al-Maidah :51)

Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada kita dalam melayarikehidupan ini. Ayuh!Katakan TIDAK kepada Hari Valentine’s.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company