Saturday, July 16, 2011

Tiga Jenis Tertawa dan Tiga JenisTidur Dimurkai Allah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Baqarah :195)


Semua manusia yang cinta agama ingin melakukan apa jua pekerjaan menuju keredaan Allah. Namun adakalanya dalam kita melakukan sesuatu perkara , kita telah melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah .

Seorang ahli fiqh yang terkenal iaitu Abullaits Assamarqandi atau nama sebenar Nasher bin Muhammad Assamarqandi telah memberi nasihat mengenai tiga jenis tidur dan tiga jenis ketawa yang dimurkai oleh Allah. Kedua-dua perbuatan ini sememangnya sering terjadi dalam kehidupan kita samada kita sedari ataupun tidak.

Tiga Jenis Tidur di murkai Allah
1. Tidur di dalam majlis zikir .
2. Tidur sesudah solat subuh
Rasulullah S.a.w pernah bersabda akan kelebihan selepas subuh, yang maksudnya:berpagi-pagilah(subuh)dalam mencari rezeki,sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan.(riwayat oleh at-Tabarani dalam al-Awsath). Allah Ta’ala telah berfirman, yang maksudnya,” Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Al-Jumu’ah :10) . Kita lihat bagaimana orang bukan Islam memanfaatkan pagi-pagi dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah seperti memulakan apa jua pekerjaan seperti memulakan aktiviti perniagaan, membuka kedai, bersenam dan sebagainya. Walaupun Rasulullah S.A.W telah mendidik kita umatnya tentangi kepentingan memanfaatkan suasana waktu pagi dengan melakukan sesuatu pekerjaan yang sebaik mungkin, namun malangnya tazkirah ini seolah-olah lebih dimengertikan oleh orang bukan Islam daripada kita sendiri.
3. Tidur di tengah melakukan solat fardhu

Tiga Jenis Ketawa Yang DiMurkai ALLAH
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dari Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi). Islam mendidik kita melakukan sesuatu itu pasti ada keterbatasannya. Jika kita melanggar keterbatasan yang digariskan Islam, pasti akan membawa kepada sesuatu perkara yang memudaratkan. Apatah lagi jika kemudaratan ini sememangnya dibenci oleh Rasulullah dan Allah Ta’ala.
1. Tertawa di belakang jenazah (ataupun ketika menghantar jenazah ke kuburan)
2. Tertawa di majlis zikir.
3. Tertawa di atas kuburan
Biarpun ia hanya nasihat seorang ahli fiqh, namun kita perlu melihat dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Melakukan sesuatu dengan berilmu adalah lebih baik daripada melakukan sesuatu secara melulu dan tanpa ilmu.

Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan cahaya keimanan kepada kita. Amin

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company