Sunday, January 24, 2010

Salam Ukhwah Awal Qalam

Bismillahirrahmannirahim
Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.
Salam pertemuan awal dan salam ukhwah kepada semua yang sudi melayari laman blog ini. Ini merupakan artikel sulung saya dalam laman blog baru ini. Meminjam nama kitab besar karangan Al Imam Al Ghazali “Ayyuhal Walad” yang bermaksud ”Wahai Anakku Yang Tercinta” untuk dijadikan blogname saya.
Kitab ini ditulis oleh Al Imam Al Ghazali dalam bahasa Parsi dengan tajuk asal “Al Risalah Al Waladiah”, kemudiannya diterjemah dalam bahasa Arab dan diberi tajuk “Ayyuhal Walad”. Kemudian kitab ini telah diterjemah oleh Ahmad Fahmi Zamzam (Abu Ali Al Banjari An Nadwi) dalam perjalanan beliau menaiki keretapi dari Heyderabad ke Bandar Lucknow pada 1996.
Biarpun hanya setebal 83 muka surat namun ilmu yang terkandung dalam kitab ini begitu berharga dan bermakna untuk kita renungi sebagai bekalan yang sangat diperlukan oleh kita dalam perjalanan menuju kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak. Insyallah.

Kitab ini sebenarnya di tulis oleh Al Imam Al Ghazali r.a. sebagai jawapan kepada sepucuk surat yang di hantar oleh seorang murid beliau yang sangat mencintainya, di mana di dalam surat itu murid beliau meminta agar Imam Al Ghazali r.a. sudi menulis sepucuk surat yang merupakan satu wasiat yang ditujukan kepadanya secara khusus, walaupun ia yakin bahawa isi dan kandungan surat tersebut telah ada termaktub dalam kitab-kitab karangan Imam Al Ghazali r.a.

Lalu Imam Al Ghazali dengan murah hati menjawab surat anak muridnya tadi dan memberikan kepada nya beberapa nasihat yang sangat mahal harganya. Ini adalah sejarah ringkas kitab “Ayyuhal Wallad” menjadi blogname saya.
Namun saya tidak akan menghurai, mengupas atau mengisi ruangan artikel dalam dengan tulisan dalam kitab “ Ayyuhal wallad” semata-mata. Saya hanya sekadar meminjam nama dari kitab besar karangan Al Imam Al Ghazali. Dalam ruangan ini, insyallah kita akan sama-sama mengupas apa saja persoalan, pengalaman, cerita, permasalahan, tazkirah dan pengetahuan untuk dikongsi dan dijadikan renungan demi mencari keredhaan Allah Ta’ala. Sebagaimana keikhlasan Al Imam Al Ghazali semasa menulis kitabnya “Ayyuhal wallad”, saya juga bermohon kepada Allah agar diberi pancaran keikhlasan bila menulis setiap artikel dalam blog ini agar dpat member nasihat, teguran, panduan dan iktibar kepada pembaca terutama golongan remaja yang kini menghadapi zaman penuh fitnah dan mehnah.
Insyaallah Moga kita jumpa lagi.
Semoga anda dan saya akan sentiasa dalam rahmat ALLAH.

Wassallam

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company