Saturday, July 17, 2010

Ziarahilah Si Pemberi Nasihat Bisu




Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta.


"Setiap yang bernyawa, pasti akan merasakan mati."
( Ali Imran : 185)


“Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”
(Al-Jumu’ah :8)


Ajal maut di tangan Allah. Setiap detik waktu berlalu adalah saat-saat kematian yang menghampiri kita kerana kita tidak ketahui bila Malaikat Maut akan menjemput kita. Namun berapa ramai yang melihat ini dengan penuh keinsafan. Apatah lagi dalam dunia yang penuh maksiat dan kerosakkan ini,. istilah Mati tidak tersenarai dalam kamus kehidupan manusia yang cintakan dunia.

Minggu lepas saya menziarahi ayah saudara saya yang telah kembali ke rahmatullah mengadap Allah yang Esa. Saya berkesempatan menghantar jenazahnya hingga selamat di kebumikan. Ramai rakantaulan dan sanak saudara yang mengiringi jenazah ke kuburan tetapi malangnya tidak semua mengambil kesempatan ikut sama menunaikan solat jenazah kepada arwah. Ramai yang hanya tunggu di luar perkarangan mesjid dan berbual kosong tanpa rasa bersalah untuk menjadikan kematian ini sebagai suatu iktibar.

Sabda Rasulullah S.A.W:
“ Ziarahlah kubur, kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”
( Hadis Riwayat Muslim (976) Kitab Al-Janaiz)


Rasulullah mengalakkan umatnya menziarahi kubur kerana kubur dapat menjadikan manusia insaf dan mengingati mati. Ia juga akan menjadi penyebab utama yang menguatkan hati hati manusia dan melahirkan perasaan takut dan gerun kepada Allah.

Jika setiap kali hari Jumaat ramai akan mengunjungi mesjid untuk menunaikan fardhu Jumaat. Sebelum menunaikan solat makmum akan mendengar Khatib berkhutbah memberi nasihat dan peringatan. Hakikatnya yang member nasihat cuma seorang iaitu Khatib tapi yang mendengarnya ramai. Sebaliknya jika menziarahi kuburan, semua penghuni kubur sebenarnya memberi nasihat kepada si penziarah. Hakikatnya yang memberi nasihat banyak tetapi yang mendengar dan mengambil iktibar sedikit bilangannya. Inilah uniknya sebuat tempat bernama kuburan. Biarpun penghuni kuburan hanya diam tanpa bicara tetapi ia merupakan penasihat bisu yang paling berkesan untuk manusia yang tahu berfikir dan selalu bermuhasabah diri.

Bagi orang yang bertakwa dan bersih hatinya, menziarahi kuburan atau menghantar jenazah ke kuburan mempunyai nilai peringatan yang begitu tinggi untuk menjadikannya manusia yang benar-benar menginsafi. Abu Hurairah apabila melihat jenazah, maka akan diucapkan penuh keinsafan : “ Pergilah dahulu. Aku akan mengikutimu kemudian”. Pernah Ibrahim az-Ziyat melihat orang-orang menziarahi jenazah dan melahirkan rasa simpati kepada si mati. Maka berkata Ibrahim: “ kalau kamu mengasihi dirimu sendiri itu adalah lebih baik. Baginya (Si mati) dia sudah melalui tiga kepedihan; mengadap wajah Malaikat Maut, kecemasan khatimah dan berada di kuburan.” Saidina Usman R.A apabila melalui kuburan, beliau akan berhenti dan selalu menangis hingga janggutnya basah oleh air mata. Dia berkata “ Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
“Kubur itu awal tempat Akhirat. Jika penghuninya selamat di situ, mudahlah sesudahnya. Jika penghuninya tidak selamat di situ, maka sesudahnya adalah lebih sulit.”

Namun hari ini begitu ramai manusia yang lalai. Mereka melihat dan mendengar khabar akan kematian rakan taulan, sanak saudara dan jiran tetangga tetapi hanya sedikit sahaja yang mahu mengambil iktibar. Mereka datang menziarahi jenazah dan menghantar ke kuburan tapi mereka tidak pernah punya rasa keinsafan. Mereka kira menziarahi sebagai syarat tanpa sedar hari ini mereka menziarahi jenazah orang tapi akan tiba saatnya jenazah mereka pula akan di ziarahi. Namun kekerasan hati adakalanya membuat manusia tidak pernah memikirkan akan hal sebegini.

Peringatan menziarahi kubur atau jenazah tidak akan bermanfaat kecuali bagi manusia yang menyakini akan azab dan nikmat kubur. Manusia yang takut akan siksaan Allah. Bagi mereka yang mahu berfikir, tanah kubur yang bisu sebenarnya mempunyai suara yang hanya bisa didengar oleh mereka yang selalu mengingati mati, yang mahu membayangkan kejadian yang akan terjadi kepada dirinya apabila saat kematian tiba. Di zaman jahiliyah moden yang penuh dengan fitnah dan pegangan aqidah yang semakin bercelaru, selayaknya mari kita perkuat dan perkukuhkan akar aqidah kita dengan menjadi hamba yang selalu takut kepada Allah Taala.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company