Tuesday, August 31, 2010

Merdekakah Kita ?



Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta

“Adakah engkau lihat hawa orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhannya dan Allah menyesatkan dia kerana mengetahui (kejahatan hatinya) dan menutup pendengaran dan mat ahatinya serta mengadakan penutupan terhadap pendengarannya. Maka siapakah yang akan menunjukinya sesudah Allah, tidakkah kamu menerima peringatan?” (Al-Jaatsiah :23)

“Wahai orang-orang yang beriman ! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan (merosakkan ) amal-amal kamu ”. (Surah Muhammad: 33)

Daripada Abu Muhammad Abdullah ibn 'Amru ibn al-'Aas r.a. رضي الله عنهما beliau berkata: Rasulullah
SAW telah bersabda:
Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehinggalah hawa nafsunya tunduk menuruti ajaran yang aku bawa.


Pada tahun ini sudah masuk kali kedua negara kita menyambut kemerdekaan dalam bulan mulia Ramadhan al Mubarak. Majlis sambutan pun dibuat secara sederhana. Alahamdulillah, maka secara tidak langsung akan berkurangan majlis keraian bersifat maksiat dan laqo’ seperti konsert, parti dan sebagainya sempena menyambut kedatangan 31 Ogos. Inilah satu hikmah dan rahmat dari Allah Ta’ala.

Istilah Merdeka kalau diterjemah balam bahasa yang mudah membawa makna bebas. Sebuah negara itu dianggap merdeka jika ia bebas dari cengkaman penjajah. Seorang hamba menjadi merdeka bila ia dibebaskan oleh tuannya. Seorang anak remaja ia menganggap dirinya merdeka bila bebas dari konkongan ibu bapa. Seorang pelajar merasai jiwa merdeka bila ia bebas dari alam persekolahan.

Namun apakah semua kebebasan ini boleh kita anggap sebagai merdeka secara menyeluruh? Jawapannya tentulah tidak. Apalah erti kemerdekaan sesebuah negara jika minda, jiwa dan hati kebanyakkan rakyatnya masih dijajah oleh hasad dengki dan persengketaan. Apalah erti kemerdekaan jika budaya, gaya hidup dan pemikiran sekular, hedonism, liberal mewarnai kehidupan kita. Tidak akan bermakna sebuah kemerdekaan jika sikap, gerak laku, fahaman dan gaya hidup anak-anak remaja kita bekiblat ke barat yang penuh kerosakkan dan keruntuhan akhlak. Sebagai bangsa Malaysia yang merdeka, jiwa kita, diri kita, keluarga dan masyarakat kita perlu bebas daripada mengagungkan pemikiran penjajah, bebas daripada amalan penjajah dan bebas daripada idealisme dan undang-undang penjajah.

Istilah merdeka yang sebenar ialah apabila manusia berlumba-lumba mencari redha Allah. Kemerdekaan yang sebenar apabila kita bebas dari cengkaman hawa nafsu dan bisikan syaitan laknatullah. Merdeka yang sebenar, jika kita berjaya menjadi hamba Allah yang sebenar di dunia untuk mendapat ganjaran di akhirat. Sebahagian ulama mengatakan, ” Barangsiapa telah dikuasai oleh nafsunya, maka dia akan menjadi hamba syahwatnya. Ia merengkuk dalam penjara kegilaannya. Dan hatinya semakin lali. Barangsiapa menyirami bumi tubuh ini dengan syahwat, beerti dia telah menanam pohon penyesalan dalam hatinya.

Merdeka yang sebenar ialah apabila kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan berupaya bebas daripada kemaksiatan, keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Kedatangan Islam itu sendiri sejak Nabi Adam hinggalah kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W membawa mesej kemerdekaan kepada ummah daripada terus menjadi perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan. Sesuatu bangsa itu dianggap merdeka dan berjaya jika mereka dapat membebaskan diri dari belenggu keruntuhan akhlak.

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"

Rub’I bin A’mir pernah menjelaskan ketika bertemu panglima tentera Rum yang bernama Rustum tentang hakikat Kemerdekaan dengan katanya yang bermaksud:
”Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Saya selalu berharap agar Allah Ta’ala akan membuka dan memerdekakan hati dan jiwa ini dari segala nafsu dan kemaksiatan. Ayuh mari kita sama-sama berazam memerdekakan diri kita dengan kemerdekaan yang sebenar agar sentiasa mendapat redha dan rahmat Allah.

Selamat Hari Merdeka dan mudah-mudahan Allah membuka pintu hati setiap umat Islam menjauhi persengketaan dan permusuhan sesama saudara Islam terutama di bumi Malaysia Negara tercinta ini.

2 comments:

Mama Murai said...

salam.. betul tue, kita sebenarnya hanya merdeka daripada penjajah, tapi minda kita sebenarnya masih terus dijajah sama seperti zaman jahiliah dulu.. bukan salah bangsa atau agama.. tapi sikap manusia sememangnya macam tue .

Anonymous said...

kita perlu buka minda dan bersatu

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company