Sunday, December 5, 2010

Facebook : Jangan Sampai Menjerat Diri



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabah baginda.'
' Syaitan itu menjanjikan kepadamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat jahat.' ' (Al-Baqarah: 268)

Rasulullah s.a.w. bersabda;
'' Dalam hati ada dua bisikan. Satu bisikan dari malaikat mengajak kebaikan dan mempercayai akan kebenaran. Siapa merasakannya, ketahuilah dari ALLAH dan hendaklah memuji kepadanya yang lainnya bisikan dari musuh (syaitan) mengajak kepada kejahatan dan mendustakan kebenaran, bahkan melarang kebaikan. Siapa menemukannya, hendaklah segera memohon perlindungan kepada ALLAH dan bisikan syaitan yang terkutuk.... ''


Seorang guru wanita berusia 42 tahun di Kota Bharu kerugian RM15,000 akibat diperdaya teman baru Facebooknya yang kononnya mengaku seorang lelaki Iraq. Niat ikhlas guru wanita itu untuk membantu membebaskan “lelaki Iraq” yang kononnya ditangkap pihak Imigresen KLIA akhirnya membawa padah. Kisah penipuan manusia melalui laman sosial Facebook bukanlah sesuatu perkara yang baru di negara kita. Sudah ada puluhan kes yang sama sebelum ini dilaporkan dan malangnya masih ada insan-insan yang mudah tertipu.

Kalau kisah penipuan ini berlaku di dalam dunia realiti adalah sesuatu perkara biasa seperti ditipu saudara atau kenalan sendiri, sindiket gores menang, pelaburan palsu dan sebagainya. Tapi yang menghairankan kita, bagaimana seseorang itu boleh ditipu dalam dunia siber atau maya. Bagaimana seseorang itu boleh mudah percaya kepada seseorang yang dia sendiripun belum pernah bertemu. Sebenarnya inilah penangan dunia siber.

Segala-gala yang mustahil boleh berlaku di dunia siber, apatah lagi dengan wujudnya banyak laman-laman sosial yang memberi ruang untuk sesiapa sahaja berkenalan , bersembang dan berbual secara online dalam dunia tanpa sempadan. Dalam dunia siber, yang kurang kacak boleh menjadi kacak, yang tidak cantik boleh menjadi anggun, yang rendah boleh menjadi tinggi, yang miskin boleh menjadi kaya, yang papa boleh manjadi anak raja, yang anak-anak boleh menjadi remaja dan yang lebih malang lagi bila yang tua boleh menjadi muda. Malahan ada yang sudah berumahtangga boleh menjadi bujang kembali. Inilah bahana dan bahayanya dunia siber.

Bila sudah terjebak dalam dunia chatting (ruang sembang) ia boleh menjadi penyakit yang akhirnya menjerumus seseorang itu menjadi penagih. Ini adalah penyakit sosial alaf baru. Terdapat manusia yang merasakan hidupnya seharian tidak sempurna dan penuh kegelisahan jika berkunjung ke tempat yang tidak ada capaian internet. Malahan ada yang merasakan hidupnya tidak sempurna jika dalam sehari dia tidak dapat membuka atau mengunjungi laman sosial ataupun membuka kotak e-mailnya. Ada pula yang sanggup duduk berjam-jam untuk berchatting. Ni belum dikira masa yang dihabiskan untuk melayari internet lagi. Masyaallah Tabarakallah. Inilah bahayanya dunia siber jika kita tidak dapat mengawal diri.

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (Al-Hadid :20)


Kalau dari segi hiburan , berhibur sehingga melalaikan maka hukumnya haram, bagaimana pula dengan manusia yang dilalaikan dengan dunia siber. Apa tidaknya, seseorang itu boleh lupa waktu makan, mandi, urusan-urusan penting yang lain, anak bini atau suami, malahan lebih parah lagi hingga lupa waktu solat (kalau solatpun akhir-akhir waktu) kerana diasyik masyukkan dengan laman sosial. Inilah persoalan yang perlu dijawab. Maka disinilah peranan para ulama untuk duduk bermuzakarah dan berbincang mengenai masalah sosial sebegini kerana ia sudah mula menjadi satu penyakit yang merbahaya melanda ummah jika tidak dikawal. Malahan beberapa ulama Mesir telah mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, kerana kesan negatifnya kepada pasangan suami isteri.

Di Amerika Syarikat, satu kaji selidik dari Akademi Pengacara Perkahwinan Amerika (AAML) mengikut perincian yang diperolehi daripada data kajian AAML, 66 peratus kes perceraian adalah dari Facebook, Myspace 15 peratus dan Twitter (lima peratus). Timbalan Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustafa berkata, sebanyak 27,110 kes perceraian telah direkodkan daripada 135,136 perkahwinan yang telah didaftarkan pada tahun 2009. Salah satu faktor penceraian (walaupun belum ada kajian menyeluruh) ialah akibat laman sosial.

Saya berpesan pada diri saya sendiri, anak-anak remaja dan juga yang sudah dewasa serta yang berumahtangga, berhati-hatilah bila melayari dunia siber terutama bila memasuki laman sosial. Sesuatu yang berfaedah boleh memudaratkan bukan sekadar jiwa dan minda tetapi juga aqidah dan pegangan agama jika kita menyalahgunakannya. Berpijaklah di bumi nyata.

Semoga Allah sentiasa memberi kita kekuatan untuk terus meletakkan Islam di takah teratas dalam segala apa jua pekerjaan dan perlakuan kita semasa melayari kehidupan di dunia sementara ini. Semoga kita sentiasa mendapat redha ALLAH. Amin

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company