Sunday, January 15, 2012

Ke Arah Mana Perjuangan Kita?


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (An-Nisaa:105)

Mewarnai langkah awal ke tahun 2012 dengan beberapa peristiwa yang membimbangkan. Pertelingkahan ummah di negara kita seolah tiada penyelesaiannya. Masing-masing ingin menegakkan kebenaran walaupun ada kalanya pada hakikatnya, kebenaran tidak berpihak kepada kita.
Daripada Abi Zar Al-Ghiffari radhiallahu`anhu katanya:

Kadangkala bila difikirkan, kita sebenarnya jarang melihat diri kita sendiri di dalam cermin. Walaupun saban kali kita bercermin bila waktu hendak berhias tapi hakikatnya kita jarang melihat cerminan hidup kita yang sebenar. Sebab itulah kita asyik melihat, mencari dan menunjuk kesalahan orang lain tapi sebaliknya kita jarang melihat kesalahan yang ada pada diri kita. Kalau terlihatpun, kita seolah-olah enggan menerima hakikat kelemahan itu. Hebat sangatkah kita?
Kita sering marah dan memperbodohkan puak-puak Arab yang bertelagah di Timur tengah. Mengkeji puak sunnah dan syiah yang bertelingkah dan berbunuhan sesama bangsa sendiri.

Pernahkah kita melihat situasi itu sebenarnya juga berlaku di negara kita. Yang lebih teruk dan membimbangkan, kita di sini bertelingkah bukan atas kefahaman perbezaan mazhab tapi kita di sini bertelegah dan memusuhi sesama mazhab. Orang Melayu (yang sudah semestinya beragama Islam) berpecah dan bercakaran antara satu sama lain. Membimbangkan : Perbezaan kefahaman dan ketaksuban parti ini bakal menjadi api benci yang bisa membakar seluruh ummah Islam di negara ini. Akhirnya kedua-dua pihak yang bermusuhan menanggung rugi. Menang sorak tapi negeri dan negaranya tergadai….yang untungnya SIAPA? Hebat sangatkah kita?

Bila ada pihak yang bercakap hakikat kebenaran, tetapi tidak memihak kepada kita, maka kita berasa tergugat. Sukar untuk kita menerima kenyataan apatah lagi sesuatu yang bisa merugikan di pihak kita. Sedangkan Rasullullah banyak mengajar kita. Daripada Abi Zar Al-Ghiffari radhiallahu`anhu katanya yang Rasulullah S.A.W telah berpesan kepadanya dengan Tujuh Perkara. Salah satu daripanya ialah bercakap benar walaupun sesuatu itu pahit.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Atau kerana mereka mengatakan: Dia kena penyakit gila? (Sebenarnya bukan kerana sesuatu pun dari yang tersebut itu) bahkan kerana Rasul mereka datang kepada mereka membawa agama yang tetap benar dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran.” (Al-Mu’minun :70)

Warnailah tahun Hijrah 1433 dan 2012 dengan membina semula kekuatan ummah. Bersatulah atas panji-panji Islam. Jadikan Al Quran dan As Sunnah sebagi pegagangan kehidupan. Berjuanglah kerana Islam. Bermati-matian kerana menegakkan agama Allah. Kepada anak-anak muda jangan diikut jiwa muda anda. Allah memberi akal untuk kita berfikir. Menuntut ilmu itu wajib dan perlu. Buktikan kepada bukan Islam yang anak-anak muda Islam hebat ilmunya bukan sahaja ilmu Ukhrawi tapi juga ilmu duniawi.

Usah mempergadaikan maruah dan perjuangan kepada yang lain KECUALI atas landasan perjuangan Islam. Tak perlu berdemo dan berguling atas jalan atas perkara-perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal dan salah atau benarnya. Apatah lagi ia hanya membabitkan perjuangan untuk sesuatu pihak sahaja buka kerana agama. Bergulinglah dan bersuaralah bila ada pihak-pihak menghina agama Islam. Barulah anda disanjung sebagai pejuang agama ALLAH. Yang penting jangan menjadi hamba kepada makhluk jadilah hamba ALLAH. Jangan menjual agama dan aqidah kita hanya kerana untuk mendapat habuan dunia yang sedikit!

Ke arah mana perjuangan kita, hanya kita yang mampu menentukannya (dengan izin ALLAH). Terimalah kebenaran dengan hati yang terbuka kerana sebenarnya kita tidaklah sehebat mana. Kita hanyalah makhluk ALLAH, insan kerdil yang penuh dosa dan maksiat.

Firman Allah , maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu". (Al-Ahzab : 70-71)

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company