Monday, March 19, 2012

Nasib Masyarakat Orang Asli : Terbiar Selepas DiIslamkan


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

Firman Allah: "Inilah kitab yang kami turunkan kepadamu untuk mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada terang-benderang dengan izin Tuhan mereka kepada jalan yang perkasa, lagi terpuji." (Surah Ibrahim: 1)

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk” (Al- Baqarah :159)

Membaca sisipan Utusan Malaysia Sabtu 10 Mac 2012 mengenai nasib masyarakat Orang Asli membuat hati saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini. Kisah tragis nasib masyarakat Orang Asli selepas diislamkan bukan merupakan episod baru. Masalah ini telah melanda masyarakat Orang Asli sejak puluhan tahun. Walaupun bukan semua, tetapi sebahagian besar mereka diislamkan tapi kemudiannya dibiarkan terkial-kial dengan agama baru mereka.

Pihak-pihak yang bertanggungjawab ada yang lepas tangan, kalau datang melawatpun , bilangannya boleh dikira dengan jari. Ini bukan tuduhan tetapi hakikat. Saya pernah beberapa kali masuk dan tinggal di kawasan masyarakat Orang Asli sekitar Perak dan Pahang , melalui perbualan dan tinjauan mengenai sejauhmana orang-Orang Asli yang diislamkan diberi bimbingan telah mendengar rintihan dan keluhan yang sama . Orang-Orang Asli diislamkan tetapi selepas itu pihak-pihak tertentu yang diamanahkan tidak menjalankan tanggungjawab. Guru-guru yang mengajar di kawasan masyarakat Orang Asli lebih mengetahui mengenai masalah ini.

Pihak kerajaan telah membina pelbagai kemudahan termasuk surau, malah ada kawasan yang mempunyai rumah untuk pegawai- pegawai agama tinggal bagi memudahkan mereka membimbing masyarakat Orang Asli. Malangnya surau-surau dibiarkan sepi, dipenuhi unggas dan serangga, rumah-rumah pegawai terbiar kosong. Misalnya, Perkampungan Orang Asli di Kg Terisu , Cameron Highland, surau dan rumah-rumah pegawai agama terbiar tanpa penghuni. Orang-Orang Asli yang diislamkan terbiar tanpa bimbingan. Mujurlah guru-guru di Sekolah Kebangsaan Terisu begitu prihatin dan sentiasa membimbing murid-murid Orang Asli yang beragama Islam. Ini kita baru sentuh mengenai sebuah kampung Orang Asli yang berhampiran bandar, belum lagi yang tersorok nun jauh di pendalaman.

Cuba lihat bagaimana orang bukan Islam berdakwah. Mereka sanggup datang setiap minggu secara berkumpulan. Ada yang sanggup berjalan kaki meredah hutan antara sejam hingga dua jam demi menyebarkan agama mereka . Dan mereka datang secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Malangnya, kita dibayar gaji tapi masih gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ini bukan omongan kosong tapi realiti yang mengajak semua pihak terutama Majlis agama, Jabatan AgamaIslam negeri , JAPIM dan yang pihak yang berkaitan untuk membuka mata hati. Ini merupakan persoalan aqidah dan maruah agama Islam.

Fikirkan apakah mekanisma yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Kita tidak mahu mendengar lagi kes-kes mengislamkan Orang Asli beramai-ramai kemudian lepas tangan. Hari ini, kita mempunyai ramai anak-anak muda yang menuntut dalam jurusan agama samada di luar ataupun di dalam negara. Mereka memerlukan pekerjaan. Mengapa kita tidak menawarkan pekerjaan kepada mereka sebagai pegawai dakwah yang tinggal di Perkampungan Orang Asli sepenuh masa. Kalau boleh, jangan dibiarkan seorang pendakwah saja yang bertugas. Biarlah dia berteman, dua orang sekali bertugas. Adakan sistem giliran seperti para pekerja di pelantar minyak. Seleps dua minggu mereka boleh keluar dari perkampungan Orang Asli dan dua orang pendakwah lain pula yang akan menggantikan mereka. Mereka samada diberi cuti ataupun menjalankan tugas dipejabat agama berhampiran. Barulah masyarakat Orang Asli boleh dibimbing sepenuhnya.

Ini cuma cadangan saya, mungkin ada pihak lain yang mempunyai cadangan yang lebih baik dan membina. Yang penting, kita tidak mahu ada pihak lainmengambil kesempatan di atas kelemahan kita dalam menjalankan kerja dakwah. Jangan salahkan masyarakat Orang Asli atau pihak pendakwah agama lain jika agama Islam disisihkan. Salahnya ada dalam diri kita. Yang penting kita mampu menerima teguran dengan hati terbuka.
(Disiarkan dalam Utusan Malaysia : 12 Mac 2012)

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company