Sunday, June 6, 2010

Piala Dunia dan Habuan Dunia



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.

” “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”
(al-Maidah:90-91)


“Sorakan Satu Dunia” Itulah slogan yang kita sering dengar sejak akhir-akhir ini. Tidak berapa hari lagi bukan sahaja rakyat Malaysia malahan seluruh dunia akan mengalami kegilaan yang tidak menentu iaitu keterujaan menonton perlawanan bola sepakPiala Dunia 2010. Di negara kita pada ketika itu isu panas yang akan dibincangkan di kedai-kedai kopi hingga ke pejabat-pejabat kerajaan dan swasta ialah cerita pasal bola. Labih malang lagi episod cerita bola ini akan merebak menjadi bahan sembang di surau-surau dan masjid-masjid…..Masyallah.

Maka isu-isu kemanusiaan seperti penderitaan rakyat Palestine, keganasan serta kebiadaban Israel, kemiskinan sejagat , kepanasan global, H1N1 dan pergolakan politik akan dilupakan seketika oleh kebanyakkan masyarakat dunia. Begitu hebatnya penangan bola sepak. Ternyata Yahudi dan Nasrani berjaya menjadikan sukan alat atau propaganda yang melalaikan umat manusia , lebih-lebih lagi kepada umat Islam. Jika kita terus lalai dan tidak berhati-hati, umat Islam akan terpedaya dan akhirnya melakukan kemungkaran yang pasti mengundang kemurkaan Allah.

Bersukan itu tidak salah tetapi terlalu taksub dan berlebih-lebihan itu akan membawa kemudaratan. Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan isu pemberian lesen judi untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 . Masyaallah ...Tabarakallah, apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini. Sebagai orang Islam yang cinta pada ALLAH dan Rasul saya merasa terpanggil untuk menulis isu ini untuk tatapan pembaca. Walaupun suara saya hanyalah suara kecil tetapi sekurang-kurangnya saya menyuarakan bantahan saya sabagai umat yang cintakan Islam. Saya bimbang dan takut akan dipersoalkan oleh Allah di Hari Perhitungan nanti jika saya hanya membisu dan tidak melakukan apajua bila berlakunya kemungkaran.

Sabda Rasulullah S.A.W :“Sesiapa yang bermain judi sesungguhnya dia telah menderhakai Allah Taala”
(Riwayat :Ahmad, Malik, Abu Daud dan Ibnu Majah.)


Biar apapun alasan yang diberi, namun ”Matlamat tidak boleh menghalalkan cara”. Dalam Islam hukumnya adalah jelas, halal tetap halal dan yang haram tetap hukumnya haram. Siapakah kita yang ingin mengubah hukum Allah. Mungkin di dunia kita terlepas dari siksaan dan bala Allah tapi bagaimana pula nanti di Hari Pembalasan bila berhadapan Allah Ta’ala. Judi diharamkan oleh Islam dan sebarang bentuk penglibatan dengan unsur perjudian dalam apa jua aktiviti muamalah perlu dihentikan segera. Ini kerana harta yang diperolehi daripada sumber judi adalah haram tidak kira bagaimana bentuk perjudian tersebut. Antara sebab pengharaman judi adalah kerana terdapat unsur penindasan, penipuan, kebergantungan kepada nasib, mencetus permusuhan dan boleh menjejaskan ekonomi individu, masyarakat dan Negara

”mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah Yang mereka akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: “Dermakanlah - apa-apa) Yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:”
(al-Baqarah :219)


Kita berharap pemimpin-pemimpin Islam kita yang mempunyai kuasa masih mempunyai ruang dan masa untuk membatalkan sahaja pemberian lesen judi ini. Kita berdoa agar ulamak-ulamak kita mempunyai kekuatan diberi Allah untuk menasihat dan menyatakan pandangan dengan tegas tentang haramnya unsur perjudian dalam apa jua situasi, suasana, masa dan ketika. Janganlah kita menjadi pemimpin dan ulamak bisu. Bimbangnya kita akan kemurkaan Allah . Janganlah kita terpaksa menjual agama kerana habuan dunia yang sedikit. Dengarlah suara-suara umat Islam yang begitu cinta dan kasihkan Allah. Anda pemimpin yang hebat jika medahulukan hukum Allah melebihi segala-galanya.

Semoga Allah sentiasa melindungi kita semua dari segala kemungkaran dan kemunafikan. Amin

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company