Tuesday, November 2, 2010

Tetamu Allah : Semoga Mendapat Haji Mabrur


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Al-Hajj:27)


Sabda Rasulullhah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang maksudnya :” bahawa Rasulullah s.a.w. telah ditanya apakah amalan yang terbanyak keutamaannya. Baginda telah menjawab iaitu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Baginda ditanya lagi, kemudian amalan apakah, dijawab Baginda : berjihad pada jalan Allah, lalu Baginda ditanya lagi : lalu amalan apakah, lalu dijawab Baginda : Haji yang mabrur. “

“Sekarang ni, nak buat kerja ibadah pun kena pakai kabel,” rungut sahabat saya .

“Eh...eh kabel?” tanya saya kehairanan.

“Besar mana. Besar ni ke besar ni?” sambung saya lagi sambil menunjukkan bandingan jari kelingking saya dan penumbuk saya secara bergurau.

“Bukan besar tu tapi kabel yang ini,” jawabnya sambil mengeselkan ibu jari tangannya dengan jari telunjuk sebagai isyarat wang.

Ibadah yang dimaksudkan oleh rakan saya ialah ibadah haji. Beliau memulakan ceritanya mengenai nasib bapa saudaranya yang sudah semakin lanjut usia tapi masih belum dapat menunaikan fardhu haji kerana tarikhnya masih jauh lagi. Walaupun dah merayu tapi tidak berjaya kerana alasan diberi kuota dah penuh.

“Itu kan memang prosedur biasa. Kan kuota tu Kerajaan Arab Saudi yang tetapkan.” Pujuk saya cuba menyejukkan hatinya.

“Kuota tu ada tapi untuk pergi biasa-biasa ni memang dah cukup kuota, tapi kalau kau tanya nak pergi cara pakej ada tak. Pantas nanti adalah yang bagi jawapan masih ada kuota.”
Baru saya faham maksud sahabat saya. Kalau nak menunaikan haji secara pakej yang belanjanya menelan belasan malah puluhan ribu, kuotanya sentiasa mencukupi. Itu kot yang dimaksudkan kabel oleh sahabat saya.

“Kau tau tak sebab apa kalau pakej kuota sentiasa ada. Sebabnya secara pakej bayarannya belasan malahan puluhan ribu. Pi secara biasa tu bayarannya tidak selumayan pakej!”sambungnya lagi .

“Masyaallah...betul ka macam tu?” tanya saya .

“Betulla...takkan aku nak ada-ada cerita kot,” jawab sahabat saya.

Samada benar atau sebaliknya, kisah sahabat saya itu merupakan satu episod malang dalam perjalanan kita menuju menjadi tetamu Allah dan mencari redha-NYA. Jika benar, maka sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan. . Janganlah kita khianati amanah dan kejujuran yang disandarkan kepada kita hanya kerana untuk mendapat habuan dan keuntungan dunia yang sedikit.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Al-Anfal :27)

Jika kisah ini hanya hanya suatu yang digembar gembur oleh sahabat saya, maka saya dengan rendah diri memohon kemaafan. Saya hanya menulis sekadar memberi peringatan terutama kepada saya sendiri dan kepada mereka yang mahu berfikir. Namun yang pastinya dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini, kejujuran dan keikhlasan adalah kunci segala keimanan diri.

Sempena musim haji ini, kepada semua saudara saya muslimin dan muslimat terutama rakan setugas saya Pn. Salmah dan suami, Sdr. Khir yang pada tahun ini dipilih menjadi tetamu Allah, saya mengucapkan Selamat menunaikan ibadah haji dengan penuh ketakwaan dan keimanan. Semoga mendapat haji yang mabrur. Sesungguhnya anda antara insan yang bertuah kerana telah dipilih menjadi tetamu Allah di rumah Allah. Gunakan kesempatan ini sebaik yang mungkin.

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk” (Al-i-‘Imran :97)

Semoga Allah akan memilih kita pula menjadi tetamu-Nya pada masa-masa mendatang. Insyaallah

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company