Thursday, November 18, 2010

Aidil Adha : Berkorban Apa Saja


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya

"Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya."
(Surah al-Baqarah, : 203).


اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ * اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ
Biarpun Aidil Adha 10 Zulhijjah sudah berlalu namun Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah masih ada untuk memberi ruang kepada umat Islamuntuk melakukan ibadah korban. Sesungguhnya ibadah korban yang kita lakukan bukan sekadar mengingati peristiwa Nabi Allah Ibrahim menurut dan mematuhi perintah Allah untuk mengorbankan anak kesayangan baginda iaitu Ismail. Namun apa yang lebih besar ialah mencontohi dan menjelmakan semangat kepatuhan yang penuh keikhlasan seorang hamba kepada Allah Ta’ala . Percayalah, bahawa setiap perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. ada mesej dan pengajaran untuk kita renungi. Demikian juga Syariat Aidil-Adha jelas membawa bersamanya banyak mesej dan pengajaran untuk umat Islam.

Perayaan Aidil Adha bukan sekadar melakukan ibadah korban tetapi memahami maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik ibadah tersebut. Keikhlasan melakukan ibadah korban adalah penting untuk mendapat keredhaan Allah. Semangat atau roh Aidil Adha bukan sekadar mengorbankan binatang ternak semata-mata, akan tetapi menelusuri intipati disebalik tuntutan tersebut. Umat Islam bukan sekadar melakukan ibadah korban tetapi juga mesti berkorban dari segi jiwa dan raga untuk Islam tercinta. Pengorbanan ynag paling besar untuk umat Islam lakukan adalah berkorban menundukkan hawa nafsu agar mampu melaksanakan segala titah perintah Allah.

Persoalannya apakah mampu umat Islam berkorban apa saja demi Islam tercinta di saat dan ketika kemelut hari ini Islam dan ummahnya ditindas, dihina dan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Malangnya umat Islam bukan sahaja dihentam dan diperlekeh oleh orang bukan Islam malahan ada dikalangan orang Islam sendiri yang tidak yakin dan memperkecilkan perjuangan Islam itu sendiri. Nauzubillah…..

Menjelmakan semangat ibadah korban, untuk bangun menjadi ummah yang bermaruah, perkara pokok yang perlu kita lakukan ialah bersatu demi perpaduan ummah. Jika ummah kuat dan bersatu, maka tidak ada ruang untuk musuh Islam memperlekeh dan menghentam Islam dari apa jua penjuru dan dalam apa jua bentuk dakyahnya. Tak perlu kita mengambil contoh umat Islam yang jauh, lihatlah pada umat Islam di dalam negara tercinta kitahari ini. Berpecah belah, bercakaran, saling bermusuhan, tuduh menuduh, memaki hamun sesama sendiri. Apakah ini yang Rasulullah S.A.W tinggalkan pada kita untuk jadi ummah yang hebat bukan sahaja disisi manusia tapi di sisi Allah Ta’ala? Sanggupkah kita berkorban apa jua yang kita cinta sepertimana Nabi Allah Ibrahim demi menyatukan ummah. Sanggupkah kita mengorbankan rasa bongkak dan harga diri demi Islam tercinta?. Sanggupkah kita mengorbankan ideologi politik dan ketaksuban parti demi melihat umat Islam kembali merapatkan saf-safnya yang sudah mula terpisah dan terburai.

Jawapannya hanya ada dalam diri kita sendiri, samada kita sanggup atau tidak mengorbankan segala keegoan diri demi mendapat redha Allah untuk bersatu di bawah satu panji kebesaran iaitu Islam. Semoga Hari Raya Korban memerlukan kita berkorban apa jua demi agama Islam tercinta.

اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ * اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ

“……… dan apa sahaja harta yang halal yang kamu belanjakan ( pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) itu untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidak mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
(al-Baqarah : 272)

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company