Tuesday, November 23, 2010

Pelikkah Kalau Nabil bercium : Berpesan-pesanlah dengan kebenaran


Dengan nama Allah swt Yang Maha Mulia, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah, Rabb semesta alam yang telah melimpahkan rahmat, rezeki serta hidayah kepada hamba-hamba-Nya agar kita sentiasa beribadah kepada-Nya. Selawat dan salam kapada junjungan besar, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta ahli keluarga dan para sahabat tercinta


Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[Surah Al-'Asr Ayat 1-3]

Rasulullah shalallahu alaihi wa salam bersabda, ”Janganlah kamu meremehkan dosa, seperti kaum yang singgah di perut lembah. Lalu seseorang datang membawa ranting dan seorang lainnya lagi datang membawa ranting sehingga mereka dapat menanak roti mereka. Bila saja orang yang melakukan suatu dosa menganggap remeh suatu dosa, maka itu akan membinasakannya.” (HR. Ahmad dengan sanad yang hasan)

Seperti kebiasaannya, saya lebih suka membaca semua tajuk-tajuk berita bermula dari muka depan hingga ke muka belakang terlebih dahulu sebelum membaca keseluruhan isi sesuatu berita atau artikel. Pagi itu seperti kebiasaannya, saya meneliti tajuk-tajuk dalam akhbar Mingguan Malaysia (21 November 2010) terlebih dahulu. Pandangan saya terhenti pada tajuk awal di muka depan akhbar tersebut. “Pelikkah kalau Nabil bercium?” merupakan tajuk berita yang membuat perasaan saya ingin tahu apa keseluruhan isi ceritanya.
Setelah membaca isi beritanya, saya mengucap panjang.

Masyallah...Tabarakallah apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini yang mengaku Islam sebagai pegangan tapi pada masa yang sama perkara-perkara kemaksiatan dianggap bagaikan sesuatu kebiasaan tanpa ada rasa bersalah atau penuh kekesalan. Bila kita mempersoalkan sejauhmana kepatuhan mereka sebagai hamba Allah dan cintanya mereka kepada Rasulullah S.A.W, mereka melenting dan mempersoalkan kita dengan pelbagai tuduhan. Bila ada bekas artis (sekarang pengacara) mengeluarkan kenyataan yang artis tidak boleh dijadikan contoh kerana sikap dan peribadi yang buruk, maka ada pihak-pihak tertentu yang marah.

Abdullah bin Mas’ud radhiallahu anhu berkata, ”Orang beriman melihat dosa-dosanya seolah-olah ia duduk di bawah gunung, ia takut gunung tersebut menimpanya. Sementara orang yang fajir (suka berbuat dosa) dosanya seperti lalat yang lewat di atas hidungnya.”

Saya sedar, sebagai manusia biasa saya tidak terkecuali daripada melakukan dosa dan maksiat. Namun sebagai manusia yang mencari redha Allah, kita akan cepat-cepat insaf, bertaubat dan memohon keampunan Allah jika menyedari setiap kesalahan yang telah dilakukan dan seboleh-bolehnya berjanji tidak akan mengulanginya. Sebagai manusia yang cintakan kepada saudara seagama, tegur menegur, ingat mengingati antara satu sama lain adalah merupakan tanggungjawab kita dalam menjaga hubungan antara manusia dengan manusia.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,
‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.

Bukanlah tujuan saya memperlekeh kredibiliti wartawan hiburan yang menggelar dirinya Siti Jarum apatah lag jika nak dibandingkan dengan diri saya yang ternyata tidak ada sekelumit pun ilmu kewartawanan. Akan tetapi tulisan Siti Jarum mengenai kes Nabil adalah sesuatu yang merbahaya kepada anak-anak remaja Islam. Saya selitkan sedikit tulisan Siti Jarum : “ Siti nak tanya sikit, pelik sangatkah Nabil bercium? Siti tak kata yang dalam gambar itu Nabil tapi pelikkah kalau itu adalah dia? Tapi kita buat heboh seolah-olah yang Nabil tu takut dengan perempuan, nampak perempuan pun pengsan.
Siti tak rasa pelik sikit pun. Ini bukan prejudis tapi daripada pengalaman kita semua, Nabil pernah bercium dengan Irma dalam satu majlis hiburan di Genting Highland. Bagi Nabil, bercium bukanlah isu besar. Kata Nabil, dia bercium tak jejaskan ekonomi negara. Siti suka jawapan cerdik begitu. Jadi tak pelikkan kalau Nabil ini dianggap kaki cium bukan cium kaki.”


Pada pandangan saya, tulisan Siti Jarum boleh mengugat aqidah, keimanan dan ketaqwaan seseorang kepada Allah Ta’ala. Siti seolah-olah merestui perbuatan-perbuatan maksiat sebegini. Sepatutnya Siti sebagai wartawan menegur perbuatan itu secara berhemah kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan adab budaya masyarakat Melayu, malahan yang lebih penting, perbuatan itu adalah haram dan berdosa di sisi agama. Siti sebagai wartawan , sebenarnya mempunyai ruang dan tempat untuk menulis dan menegur peri sikap artis-artis kita yang ternyata semakin hari semakin berani tanpa mempedulikan halal dan haram. Malangnya, tulisan Siti Jarum seolah-olah mengiya dan merestui perbuatan artis tersebut. (Tak tahulah pula saya, jika tulisan itu sebenarnya satu tempelakan).

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al’i- Imran : 104)

Saya juga kesal dengan komen artis bernama Nabil yang dengan berani menyatakan aksinya itu tidak menjejaskan ekonomi negara. Samada dia melakukan perkara itu atau tidak bukan hak saya untuk membuat tuduhan. Tapi sebagai seorang Islam, jangalah melafazkan kata-kata ikut sesuka hati. Orang-orang tua pernah bermadah : Ikut hati mati, Ikut kata binasa. Kelancangan mulut Nabil seolah-olah memperlekehkan benda yang diharamkan oleh Allah, malahan ia seolah-olah menganggap perbuatannya itu hanya suatu perkara kecil. Sebagai seorang artis, setiap gerak geri dan perlakuannya sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Apatah lagi jika perkara yang dilakukan bertentangan dengan hukum dan syariat Islam. Ingat hari ini kita diberi rezeki oleh Allah, kita dikurnia kesihatan yang baik oleh Allah tapi jika kita kufur akan nikamt Allah, maka Allah boleh menarik segala nikmat-nikmat ini dengan sekelip mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,
‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’

Saya memohon maaf jika coretan ini, bisa menguris hati dan perasaan sesiapa sahaja. Sebagai seorang Islam saya rasa adalah perlu kitA saling ingat mengingati. Peringatan ini akan memberi kekuatan kepada diri saya sendiri untuk menjadi umat yang sentiasa patuh pada perintah Allah dan sentiasa ingin mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Saya juga berdoa agar tidak ada yang melatah apatah lagi terlalu emosional bila diberi peringatan.
Semoga Allah mengampun segala dosa-dosa kita dan memberi ketetapan iman dan Islam dalam melayari kehidupan di dunia yang sementara ini.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company