Saturday, September 17, 2011

Kes Aminulrasyid : Iktibar Untuk Semua


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.” (Al-Nahl : 126)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

(Bukhari)

Walaupun Kes Aminulrasyid sudah tidak sepanas semasa tragedi itu baru berlaku pada tanggal 26 April tahun lalu, namun saya terpanggil untuk menulis dalam entri kali ini. Bagi saya, kes Aminulrasyid, pelajar berumur 15 tahun yang ditembak mati oleh polis kira-kira jam 1.10 pagi adalah satu iktibar untuk renungan semua pihak.

Akhbar semalam (16 sept.2011) menyiarkan keputusan mahkamah terhadap Koperal Jenain Subi yang didakwa melepaskan tembakan kepada kereta yang dipandu Aminulrasyid dan menyebabkan kematian pelajar tersebut. Koperal Jenain, bapa kepada empat orang anak ini akhirnya dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Setelah berkhidmat selama 25 tahun dengan rekod bersih dalam perkhidmatan polis, Koperal Jenain tidak pernah menduga begini berakhirnya perkhidmatannya. Semuanya sudah suratan takdir , dia yang sedang menjalankan tugas membenteras jenayah tidak pernah menyangka yang satu hari nanti akan berdiri di kandang pesalah. Koperal Jenain menjalankan tugas, namun mungkin kerana mengikut emosi atau gerak hati menyebabkan koperal Jenain bertindak melebihi bidang kuasa yang sepatutnya. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Hilang pertimbangan apatah lagi bila berada dalam situasi yang Allah sahaja mengetahui, apa=apa sahaja boleh terjadi.

(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. (Al- Nahl : 96)


Saya berharap agar keluarga Koperal Jenain redha dengan ketentuan Allah. Hari ini Allah menguji kita, tapi percayalah pasti ada hikmah disebalik sesuatu kejadian tersebut. Saya mengingatkan diri saya sendiri agar berhati-hati apabila melakukan apa jua pekerjaan. Berharap agar setiap perlakuan kita sentiasa dalam reda Allah.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal” (At- Taubah :51)

Bagi keluarga Aminulrasyid , keputusan mahkamah ini mungkin sesuatu yang boleh melegakan sedikit perasaan sedih, marah dan kecewa. Namun itulah suratan takdir. Sama ada kita sukaatau sebaliknya, itulah ketentuan Allah. Kematian adik Aminurasyid merupakan iktibar kepada para ibu bapa dan juga anak-anak yang di luar sana. Kasih sayang bukan bermakna kita sebagai ibu bapa menurut apa jua kehendak anak-anak. Saya melihat akhir-akhir ini ada ibu bapa yang tidak kisah anak-anak mereka memandu kereta lebih-lebih lagi motosikal tanpa memiliki lesen. Perlulah diingat, mematuhi sesuatu peraturan atau undang-undang yang baik (asalkan tidak bertentangan dengan hukum Allah) adalah dituntut.

Terdapat kes Ibu bapa yang malas ke kedai atau sesuatu tempat, sanggup membenarkan anak-anak mereka membawa kenderaan tanpa lesen untuk memenuhi keperluan mereka. Malahan ada yang dah mengajar anak-anak menunggang motosikal seawal di tahun dua atau tiga. Pernah saya bersua dengan beberapa anak gadis lingkungan tahun lima atau enam menunggng motosikal bersahaja tanpa mempedulikan keselamatan. Dah la tu....siap tak pakai helmet lagi. Pernah saya menegur, bukan mereka nak hormat kepada kita yang lebih dewasa, malahan ada yang membeliakkan biji mata sambil menunjukan muka marah.Masyallah...tabarakallah.

Bila terjadi kes seperti kemalangan, ditangkap pihak berkuasa dan sebagainya, maka sudah pasti ibu bapa mereka tidak mahu meletakkan kesalahan ke atas anak-anak mereka. Sebaliknya orang lain pasti menjadi mangsa keadaan dan habuan melepaskan kemarahan. Kepada anak-anak remaja, kebebasan bukan bermakna kita boleh melanggar peraturan dan undang-undang. Apatah sebagai orang Islam, Rasulullah mendidik kita menjadi hamba yang soleh dan berguna bukan sahaja di sisi Allah tapi juga dalam menjaga hubungan dengan sesama manusia.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah” (Al-Hadid:22)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada keluarag Aminulrasyid dan Koperal Jenain. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Inilah ketentuan Allah.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company