Tuesday, September 20, 2011

Hantu Bonceng : Zizan dan Ahmad Idham, Terimalah Teguran Dengan Berlapang Dada


Segala puji-pujian hanya layak milik Allah, Rabb semesta alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W semoga tetap terlimpah kepada sayyidil anam, Nabiyyina Muhammad, beserta keluarga dan para sahabatnya serta pengikutnya yang setia hingga akhir zaman.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah kepada manusia) supaya melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Dan mereka adalah golongan umat yang berjaya. (Surah Ali Imran: 104)

Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud daripada Abu Said Al-Khudrhi, katanya: Saya telah mendengar Rasulullah bersabda, barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegahnya dengan tangan (kekuasaan). Jika tidak mampu, cegahlah dengan lidahnya (memberi nasihat). Jika tidak mampu juga, maka hendaklah mencegah dalam hati (tidak merestui perbuatan mungkar dan maksiat itu) dan ia adalah tahap iman yang paling lemah.
Mengubah pepatah lama “ Makan bukan boleh sebarang makan, cakappun bukan boleh sebarang cakap.” Inilah yang terjadi kepada pelawak dan pelakon Zizan Raja Lawak dalam filem terbarunya “Hantu Bonceng”. Zizan dikatakan menghina Rasulullah SAW dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar Syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan”. Tambah pulak dengan dakwaan pelakon tu juga seolah mempersendakan azan dan memakai baju terdapat tanda salib death note ke masjid dalam adegen filem tersebut.

Walaupun isu ini tidaklah sehangat dunia politik yang menyaksikan umat Islam bercakaran sesama sendiri tapi bagi saya isu mempersenda agama dan Rasulullah adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Terdapat bebarapa blog yang menyiarkan berita keceluparan mulut pelawak ini dalam entri mereka. Namun sesetengah pihak terutama pihak yang bertanggungjawab memandang seolah-oilah isu ini kecil dan terpencil . Kita kata kita sayang dan cinta kepada Rasulullah. Kita selalu impikan masuk syurga Allah dan mendapat syafaat daripada baginda Rasulullah tapi malangnya bila ada pihak menghina agama dan Rasulullah kita sedikitpun tidak terasa sayu, sedih, tercabar apatah lagi marah.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah, tidak mengazab orang ramai dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang yang khusus (Allah tidak mengazabkan orang ramai apabila ada golongan tertentu mengerjakan maksiat di kalangan mereka) sehinggalah mereka melihat maksiat berlaku di kalangan mereka sedangkan mereka mampu mencegahnya tetapi tiba-tiba mereka tidak mencegahnya."

Walaupun Zizan dalam twitternya telah memohon maaf atas kesilapannya menghina Rasulullah dalam filem tapi ia satu peringatan kepadanya, agar berhati-hati bila mengeluarkan sebarang perkataan. Janganlah kerana ingin orang ketawakan kita, kita sanggup menjual dan mempersenda agama dan Rasulullah. Hari ini kita masih hidup mungkin kita tidak terasa apa-apa dek perkataan yang kita lafazkan. Apakah yang akan kita jawab nanti bila kita dipersoalkan di mahkamah Allah nanti. Saya melihat akhir-akhir ini ramai artis kita terutama sesetengah pelawak (mohon maaf kepada yang sentiasa menjaga perkataannya) mempersendakan agama hanya untuk meraih gelak tawa penonton. Bagaimana orang bukan Islam nak menghormati agama Islam jika kita sendiri sebagai penganutnya bersikap biadap , celupar dan sewenang-wenangnya mempersendakan agama dan Rasulullah? Saya menyeru kepada diri saya sendiri , dengan rasa hina diri, mohonlah keampunan bukan kepada manusia tetapi yang penting kepada Allah Ta’ala. Sentiasa beristighfar dan bertaubat diatas ketelanjuran kita.

Malangnya di ketika Zizan mengaku kesilapannya, Saudara Ahmad Idham sebagai pengarah filem “Hantu Bonceng”melenting apabila orang menegurnya mengenai perkara ini. Teguran tidak semestinya datang dari orang yang berilmu apatah lagi kalau kesalahan itu sudah terang dan nyata. Soal samada pihak penapis filem (LPF)sudah lulus atau terlepas pandang,itu membabitlkan persoalan amanah mereka dengan Allah Ta’ala. Jika memang mereka sedar tapi meluluskan juga atau terlepas pandang, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ahmad Idham janganlah terlalu sombong dan bongkak apabila ada orang cuba memberi teguran. Terima sahaja walaupun ianya sesuatu yang pahit untuk diterima. Jatuhkan maruah kita jika kita memohon maaf atas setiap kesilapan yang kita lakukan? Ingat segala kemewahan, kepandaian dan nikmat yang kita dapat hari ini adalah anugerah Allah. Allah belum lagi menguji kita. Janganlah menjual agama dan pegangan aqidah kita hanya untuk mendapat habuan dunia yang sedikit. Andai Allah tarik satu daripada nikmat-nikmatNYA di atas keceluparan kita, apa yang nak kita katakan? Sepatutnya Ahmad Idham berterima kasih kepada saudara seIslam yang masih sayang pada Ahmad Idham dan sudi membuat teguran.


Sifat sombong, hujub, bongkak atau takabur adalah antara sifat tercela yang dibenci Allah Subhanahu Wata'ala sebagai firman-Nya :
"Dan janganlah engkau memalingkan muka kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabur lagi membangakan diri". (Surah Luqman :18)


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam maksudnya :
"Dari Abdullah bin Mashud dari Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam Baginda bersabda : Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya mempunyai sifat sombong walau sebesar zarrah".


Sesungguhnya umat Islam itu adalah bersaudara kerana itu agama Islam mengajar kita supaya mengeratkan hubungan tersebut dengan kasih sayang agar dengannya kita menjadi umat Islam yang kuat dan bersatu padu. Selain itu kita juga dituntut untuk mengelakkan diri dari membuat sebarang perbuatan yang boleh mengakibatkan timbulnya kebencian dan permusuhan sesama Islam yang akhirnya boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dan seterusnya menjadikan kita umat Islam yang lemah.

Saya bukanlah manusia yang berilmu atau seorang alim, tetapi apabila berlaku kemungkaran, apatah lagi bila membabitkan soal penghinaan terhadap agama Allah dan Rasullullah, kita sebagai umat Islam berhak untuk memberi tazkirah kepada saudara-saudara kita yang mungkin alpa dan terlupa. Sekaligus tazkirah juga dapat mengingatkan diri kita sendiri agar-berhati-hati dalam setiap perjalanan hidup ini agar segala apa yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah.

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Sesungguhnya orang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa hina. (al-Ahzab: 57)

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company