Monday, September 24, 2012

Onyomat Geset Go : Perlu Ada Sensitiviti

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam Allah bagi Penghulu kita, Nabi Muhammad dan ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-
"Sesungguhnya Allah SWT. itu baik, Dia tidak menerima sesuatu daripada hamba-Nya melainkan yang baik dan Allah SWT. perintahkan (kepada hamba-Nya) seperti yang diperintahkan kepada Rasul-rasulnya" .

Firman Allah SWT. :Bermaksud: "Wahai orang yang beriman!, makanlah daripada benda-benda yang baik ( yang halal ) daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu benar-benar hanya beribadah kepada-Nya". (Al-Baqarah :172 )

Baru-baru ni semasa menukar-nukar channel TV, tetiba saya membuka siaran lawak di Astro Warna. Nama rancangan tu Onyomat Geset Go. Saya selalu juga tengok iklan gahnya di tv tapi ini baru pertama kali nak tengok macam mana ceritenye.
Masa saya menonton , peserta yang terdiri dari pelawak-pelawak sedang menaiki feri ke Pulau Pinang. Siri kali ini peserta bertanding di Pulau Pinang. Namun setelah menonton rancangan ini hati saya begitu kecewa dan sedih melihat betapa tidak sensitifnya pihak Astro, si penerbit mahupun para peserta itu sendiri.
Lawak, lawak juga tapi beberapa perkara yang sensitif perlu diambil kira.

Pertama terdapat beberapa peserta yang bertanding tidak menutup aurat dengan sempurna. Saya percaya yang bertanding tu ada yang dah bekerluarga dan beranak pinak. Sepatutnya pakailah pakaian yang sesuai bukannya berseluar pendek mendedahkan kepala lutut. Buka seorang dua yang menonton tapi berates ribu yang menonton di kaca TV.

Kedua, kesemua gerai yang dipilih untuk membantu pelawak-pelawak mencari clue atau sampul adalah gerai kepunyaan orang bukan Islam. Penerbit mengambarkan seolah-olah di Pulau Pinang susah nak cari orang Melayu atau Islam, begitu juga nak cari gerai kepunyaan orang Islam. Hakikatnya terdapat berlambak gerai-gerai kepunyaan orang Islam (terutama Restoran Nasi kandar ) di sekitar kawasan tersebut. Apa motifnya? Tak Kan penerbit dan pihak Astro tak tahu yang kesemua peserta Onyomat Gesek Go tu beragama Islam!

Ketiga, saya begitu kecewa melihat sebahagian besar pelawak menyembah-yembah kononnya nak mengucap terima kasih kepada beberapa orang pekedai yang memberi clue atau telefon kepada mereka. Apa lawak sangat kah sampai nak sembah macam tu. Di mana letaknya harga diri kita sebagai seorang Islam?
Keempat, yang paling mendukacitakan saya apabila peserta disuruh makan lima mangkuk laksa dan cendul di gerai kepunyaan bukan Islam. Naik geli geleman saya melihat para peserta memakan laksa dengan lahapnya. Sedangkan dalam Islam kita diajar untuk mencari makanan yang bukan sahaja halal tapi ianya mesti suci dan bersih! Malah tanda logo halal yang cuba dihighlightkan di belakang pengacara Amy Mastura amat meragukan. Betulkah itu tanda logo halal JAKIM. Apa tak ada gerai Laksa kepunyaan orang Islam ka kat Pulau Pinang?

Daripada Nukman bin Basyir r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya perkara yang halal itu adalah sesuatu yang nyata dan demikian juga yang haram adalah nyata, (telah dijelaskan oIeh Allah dan Rasul-Nya) namun terdapat di antara kedua-duanya (halal dan haram) itu perkara yang kesamaran (syubhat) yang mana tidak diketahui oIeh ramai di kalangan manusia. Maka barangsiapa yang memelihara dirinya daripada mengambil perkara-perkara yang syubhat, maka terpeliharalah agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang melibatkan diri pada perkara-perkara syubhat bererti ia melibatkan dirinya pada perkara yang haram".
(Riwayat Bukhari)


Mungkin bagi sesetengah orang isu ini merupakan sesuatu yang remeh. Tapi bagi diri saya ia melibatkan sensitiviti . Kalau peserta kesemuanya beragama Islam mengapa tak cari saja gerai-gerai kepunyaan orang Islam. Memanglah Malaysia negara majmuk tapi dalam soal makan minum, Islam ada garis panduannya. Perkara yang kecil ini sebenarnya kalau dibiarkan dan tak diambil kisah akan memberi impak yang besar kepada pembinaan ummah.

Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah supaya lebih berhati-hati dalam setiap apa sahaja perlakuan dan tingkah laku kita. Yang paling penting, ia sentiasa mendapat keredaan Allah.

0 comments:

Lontaran Pendapat

 
Ayyuha'l Walad ™ © 2010 Template Design By Asa's Company